Pak Mat Western Bakal Buka Cawangan Pertama Di Sarawak Pada 13 September Ini

September 10, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Selepas beberapa tahun beroperasi di Semenanjung Malaysia, nampaknya jenama Pak Mat Western kini memperluaskan penawaran mereka ke Borneo pula menerusi pembukaan cawangan pertamanya di Sarawak yang terletak di Miri.

Bagi yang tidak mengetahui, Pak Mat Western terkenal dengan penawaran hidangan sedia makan ala barat. Dari menu seperti chicken chop, lamb grill hingga ke pasta, ramai pelanggan menjadikannya tempat pilihan untuk menjamu selera bersama keluarga dan rakan.

Selain restoran Western, jenama ini juga telah mengembangkan sayap dengan memperkenalkan beberapa sub-jenama lain termasuk Mat Coffee yang menawarkan minuman kopi dengan harga berpatutan, serta Mat Chicken and Burger yang memberi fokus kepada menu makanan segera. Kehadiran jenama-jenama ini memperlihatkan strategi Pak Mat Western dalam memenuhi cita rasa berbeza pelanggan di pasaran tempatan.

Menurut perkongsian Pat Mat Western, cawangan di Miri ini bakal dibuka secara rasmi pada 13 September 2025 bermula jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam. Kehadiran cawangan baharu ini dijangka memberi peluang kepada warga Sarawak, khususnya di Miri, untuk merasai sendiri pengalaman menjamu selera dengan harga berpatutan tetapi suasana yang selesa.

Bagi yang ingin berkunjung ke Pak Mat Western Miri ini, lokasi kedainya terletak di Lot 1261, Block 1, Senadin Venture Light Industrial Park, Jalan Lutong, Kuala Baram.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd