Secret Recipe Memperkenalkan ZUS Indulgence Cake – Dijual Pada Harga RM142 Untuk Kek 8-Inci
Lina Rosli
Dua jenama tempatan yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia, Secret Recipe dan ZUS Coffee kini bekerjasama memperkenalkan pencuci mulut terbaharu yang menggabungkan dua kegemaran utama – coklat dan kopi. Kolaborasi ini menampilkan ZUS Indulgence Cake – iaitu pencuci mulut yang mengharmonikan rasa kek moist berasaskan coklat bersama aroma kopi yang kaya, menjadikannya pengalaman indulgence yang segar dan unik.
ZUS Indulgence Cake merupakan reinterpretasi daripada kek ikonik Secret Recipe, iaitu Chocolate Indulgence. Namun, kali ini ia hadir dengan sentuhan baharu menerusi mocha sponge cake, lapisan krim coklat putih, coffee mousse, serta krim putar berperisa kopi yang kemudiannya dilapisi dengan topping coklat. Hasilnya ialah gabungan rasa coklat yang mewah bersama kehalusan kopi, sesuai untuk peminat kedua-duanya.

Bukan sahaja pada rasa, kolaborasi ini turut ditampilkan melalui rekaan kotak istimewa yang menggunakan warna biru ikonik ZUS Coffee serta motif bendera Malaysia – menekankan semangat kerjasama jenama tempatan. Kotak ini tersedia untuk pilihan sebiji kek penuh bersaiz 8 inci atau potongan kek individu.
Bagi yang berminat, ZUS Indulgence Cake dijual pada harga RM142 untuk kek penuh (8 inci) atau RM13.50 untuk sepotong. Kek ini mula ditawarkan pada 15 September 2025, bersempena sambutan Hari Malaysia, di cawangan terpilih Secret Recipe, sebelum diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia pada minggu berikutnya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman rasmi Secret Recipe di www.secretrecipe.com.my