Pusing-Pusing Kuala Lumpur Menaiki Volvo EX30 – Pengalaman Parkir Di Kawasan Sempit, Kegunaan ADAS Di Tengah Bandar

September 24, 2025
Automotif

Lina Rosli

“Big on Tech, Big on Safety.”

Tagline yang ringkas ini mula terngiang-ngiang dalam fikiran saya sebaik sahaja menerima kunci untuk ujian pandu Volvo EX30. Bagi yang tidak mengetahui, Volvo EX30 ini merupakan sebuah SUV elektrik paling kecil keluaran Volvo – namun masih menawarkan ciri-ciri utama dari Volvo yang merangkumi teknologi keselamatan dan prestasi pemanduan yang berkuasa.

Untuk menguji sejauh mana tagline itu benar, saya memilih untuk membawa EX30 mengelilingi Kuala Lumpur — dari pejabat, ke lebuh raya AKLEH, menelusuri Jalan Ampang, berhenti seketika di Bukit Bintang sebelum kembali semula ke pejabat.

Sepanjang perjalanan, saya mendapati pengalaman bersama EX30 bukan sekadar memandu sebuah SUV kompak, tetapi merasai bagaimana sebuah kenderaan elektrik boleh benar-benar direka untuk bandar.

Bermula Dari Pejabat – Dengan Kapasiti Bateri 68%

Perjalanan bermula di pejabat dengan paparan bateri pada 68% iaitu sekitar 265km. Untuk pengetahuan anda, secara umumnya, EX30 dilengkapi dengan bateri 69kWh jenis NMC (Nickel Manganese Cobalt) yang menawarkan jarak sehingga 480km mengikut standard WLTP.

Jadi, untuk pemanduan pusing-pusing Kuala Lumpur bermula dari pejabat (Amanz Media-AKLEH-Ampang-Bukit Bintang-Amanz Media) dan kembali semula ke lokasi awal, ia menampilkan jarak kira-kira 30km.

Bercakap mengenai reka bentuk Volvo EX30 ini, ia hadir dengan reka bentuk luar yang ringkas tetapi moden — garisan tajam, lampu hadapan Thor’s Hammer, dan siluet yang kompak memberi kesan bahawa kereta ini mungkin kecil, tetapi bukan kereta biasa-biasa.

Masuk ke dalam kabin, saya disambut dengan suasana minimalis ala Scandinavia. Hanya satu skrin besar 12.3 inci di tengah sebagai pusat kawalan, dilengkapi sistem infotainment Google terbina dalam. Semua fungsi — dari kawalan pendingin hawa hingga navigasi — dilakukan melalui paparan ini.

AKLEH – Ujian Pecutan 0-100km/j

Destinasi pertama adalah lebuh raya AKLEH. Di sinilah saya benar-benar mahu menguji prestasi pecutan EX30. Apabila tekan pedal sahaja, dalam sekelip mata meter kelajuan terus meningkat dengan pantas.

Untuk versi Twin Motor Performance, angka rasmi 0-100km/j adalah hanya 3.6 saat, menjadikannya Volvo terpantas setakat ini. Model Single Motor pula sekitar 5.7 saat — masih cukup pantas untuk sebuah SUV kompak.

Di atas jalan AKLEH yang agak lengang, EX30 terasa stabil, walaupun saiz badannya kecil. Bukan itu sahaja, stereng juga memberikan respons yang tepat, malah suspensi menyerap permukaan jalan dengan baik – lebih-lebih lagi kawasan jalan yang tidak rata dan ini sekaligus memberikan pengalaman yang cukup selesa.

The Coffee Bean & Tea Leaf Ampang – Ujian Saiz dan Praktikaliti

Dari lebuh raya, saya singgah ke The Coffee Bean & Tea Leaf yang terletak di kawasan sempit berdekatan dengan Ampang Point. Jika anda pernah ke lokasi ini, kawasan sekitar TCBL ini terkenal dengan lorong sempit dan ruang parkir yang terhad. Ini medan sesuai untuk menguji praktikaliti EX30.

Dengan panjang sekitar 4.2 meter, EX30 lebih kecil berbanding kebanyakan SUV di jalan raya. Masuk parkir di antara dua kenderaan lain jadi lebih mudah, apatah lagi dengan bantuan kamera 360 darjah yang memberi pandangan jelas setiap sudut.

Jalan Ampang Ke Bukit Bintang – Ujian ADAS Dalam Trafik Sibuk

Jalan Ampang, seperti biasa, penuh dengan kenderaan. Inilah tempat terbaik untuk menguji sistem keselamatan ADAS (Advanced Driver Assistance System) Volvo. Dengan Adaptive Cruise Control, kereta mengekalkan jarak selamat secara automatik. Lane Keeping Aid pula memastikan kereta kekal di lorong walaupun ada gangguan kecil.

Apa yang paling saya hargai ialah Blind Spot Information System (BLIS). Ketika sebuah motosikal muncul tiba-tiba dari belakang, cahaya amaran di cermin sisi terus menyala. Situasi yang berpotensi berbahaya dapat dielakkan. Inilah DNA Volvo — keselamatan sebagai teras utama, dan EX30 jelas tidak terkecuali.

Sekitar Pavilion Kuala Lumpur – Kawasan Bandar Dan Trafik Sesak

Seterusnya ke Bukit Bintang, kawasan paling sibuk di Kuala Lumpur. Jalan sempit, lampu isyarat rapat, pejalan kaki melintas, dan kenderaan keluar masuk ke kompleks membeli-belah. Dalam keadaan begini, EX30 masih terasa mudah dikawal kerana saiznya yang padat.

Namun, di sinilah saya terasa satu kekurangan ketara — tiada Head-Up Display (HUD). Untuk kereta elektrik moden dengan teknologi tinggi, HUD sepatutnya melengkapkan pengalaman memandu. Tanpa HUD, saya perlu kerap menunduk melihat skrin tengah untuk semak kelajuan atau arahan navigasi.

Walau bagaimanapun, sistem inforia dengan Google Maps dan Spotify sedikit sebanyak menebus kekurangan ini. Navigasi jelas, arahan suara membantu, dan muzik dari sistem Harman Kardon menjadikan pengalaman terperangkap dalam trafik lebih menyenangkan.

Kembali Ke Pejabat – Bateri Masih Meyakinkan

Selepas hampir seharian memandu, dari lebuh raya ke bandar, dari parkir sempit ke jalan penuh motosikal, saya kembali ke pejabat dengan baki bateri sekitar 60% iaitu menampilkan jarak sekitar 235km.

Setibanya di perkarangan parkir pejabat, saya sempat mencuba ciri Park Pilot Assist — sistem parkir automatik. Tekan sahaja butang Park Pilot Assist, pilih jenis parkir, dan kereta mula bergerak sendiri, memusing stereng dan masuk ke petak parkir dengan kemas.

Walau bagaimanapun, saya pada mulanya agak gusar untuk mencuba ciri ini sewaktu di kawasan sempit. Ini mungkin disebabkan faktor tidak biasa. Namun, keseluruhannya, pengalaman menggunakan ciri Park Pilot Assist ini cukup menarik.

Pengalaman Pengecasan

Satu perkara yang sering jadi tanda tanya bila sebut tentang kereta elektrik ialah – macam mana dengan pengecasannya?

Untuk pengetahuan anda, kereta ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 153 kW. Saya sempat cuba di stesen pengecasan pantas DC berhampiran Jalan Ampang sebelum balik ke pejabat. Dari 16% ke 80%, masa yang diambil adalah sekitar satu jam.

Sambil menunggu kereta dicas, saya sempat menikmati makan tengah hari di kawasan sekitar, dan tidak lama kemudian kereta sudah sedia digunakan semula. Jadi, untuk anda yang merancang perjalanan jauh, memang lebih praktikal untuk mencari stesen pengecasan DC kerana ia jauh lebih pantas.

Untuk pengecasan AC pula, Volvo EX30 dilengkapi dengan onboard charger 11 kW yang sesuai digunakan di rumah atau pejabat. Saya juga sempat mencuba pengecasan AC di IOI Mall Putrajaya melalui port ChargeEV. Dari 16% ke 30%, masa yang diambil hampir dua jam.

Jadi, jelas pilihan ini kurang efisien sekiranya bateri berada pada tahap rendah dan anda perlu meneruskan perjalanan dengan segera. Namun, jika digunakan untuk pengecasan semalaman di rumah, ia sebenarnya cukup praktikal dan mudah.

Ciri Lain Yang Ingin Diketengahkan – Regenerative Braking

Selain bab pengecasan, saya juga sempat mencuba ciri regenerative braking yang biasanya jadi “trademark” kereta elektrik. Bagi yang biasa dengan EV lain, ada kereta yang boleh hampir berhenti sepenuhnya hanya dengan angkat kaki dari pedal – cukup praktikal bila memandu di bandar yang sibuk.

Tapi untuk Volvo EX30, saya perasan regennya tidak terlalu kuat. Memang ada rasa perlahan bila lepas pedal, tetapi tidak cukup agresif untuk hentikan kereta sepenuhnya tanpa sentuhan brek. Maksudnya, kalau kita harap nak pandu gaya “one-pedal driving”, rasa tu agak kurang di sini.

Walaupun begitu, sebenarnya ada sisi positif. Ia menjadikan pengalaman pemanduan lebih semulajadi, terutama untuk pemandu yang baru beralih dari kereta petrol. Transisi rasa lebih lembut, kurang mengejutkan, dan tidak membuatkan penumpang rasa terganggu.

Jadi, Volvo EX30 Ini Best Atau Tidak?

Secara keseluruhannya, walaupun Volvo EX30 ini merupakan SUV paling kecil dalam keluarga Volvo, namun, ia tidak pernah terasa kecil dari segi pengalaman. Kuasanya besar, teknologinya besar, dan yang paling penting, keselamatannya tetap menjadi fokus utama.

Volvo EX30 bukan sekadar SUV elektrik kompak. Ia adalah gambaran bagaimana mobiliti bandar sepatutnya — ringkas, selamat, berkuasa dan bergaya. Dari pecutan pantas di AKLEH, ke parkir sempit di Ampang, ke trafik sibuk Bukit Bintang, dan akhirnya kembali ke pejabat Amanz, setiap lokasi mengukuhkan satu mesej: “Big in Tech, Big in Safety” bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang dapat dirasai di setiap kilometer perjalanan.

Dengan harga sekitar RM288,000 (bergantung kepada varian), EX30 mungkin bukan pilihan semua orang. Tetapi bagi mereka yang mahukan sebuah SUV elektrik bandar yang kompak, premium dan benar-benar mementingkan keselamatan, mungkin anda boleh pertimbangkan Volvo EX30 di dalam senarai pembelian.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd