Era Baharu Fesyen Mesra Muslim – Tiga Jenama Malaysia Menembusi Pentas Dunia

September 25, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Dunia fesyen dan gaya hidup berlandaskan kesopanan menyaksikan detik penting apabila tiga jenama mesra Muslim tempatan, NARA, CAMELLIA dan MZH, dilancarkan secara rasmi di peringkat global menerusi Majlis Perdana Global Premiere Ceremony yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur.

Mengangkat tema “Era Baharu Pesona Anggun Berlandaskan Kesopanan”, acara ini menampilkan sebuah persembahan eksklusif yang menggabungkan keindahan seni, fesyen kontemporari dan nilai keimanan. Ia bukan sahaja meraikan keanggunan sopan sebagai satu gaya hidup moden, malah turut memperlihatkan aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat rujukan global dalam fesyen mesra Muslim.

Malaysia Sebagai Hab Fesyen Sopan Dunia

Pelancaran tiga jenama ini menjadi simbol kepada keupayaan usahawan tempatan dalam mempersembahkan kreativiti yang mampu menembusi pasaran antarabangsa. Dengan sokongan padu daripada kerabat diraja serta kepimpinan perniagaan yang berpengalaman, inisiatif ini dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama fesyen sopan di rantau ini, seterusnya di peringkat dunia.

Acara ini juga memperlihatkan bagaimana fesyen mesra Muslim kini tidak lagi terikat pada konvensi semata-mata, sebaliknya berkembang dengan inovasi dan nilai estetik moden. Dari rekaan beg tangan mewah hinggalah kepada produk penjagaan kulit, setiap perincian menekankan keseimbangan antara warisan, kesopanan dan kemodenan.

NARA – Keanggunan Abadi dan Sofistikasi

Diasaskan oleh Yang Mulia Tengku Khairul Adena, NARA hadir dengan identiti yang mewah dan elegan. Koleksi yang dihasilkan meliputi beg tangan mewah dan kosmetik premium, menampilkan rekaan yang menggabungkan unsur warisan dengan cita rasa kontemporari.

Jenama ini membawa aspirasi untuk meraikan keanggunan wanita melalui gaya klasik yang tetap relevan dengan trend semasa, menjadikannya simbol kemewahan abadi.

CAMELLIA – Keaslian dan Keyakinan Wanita

Jenama kedua, CAMELLIA, merupakan refleksi minat mendalam Raja Haniza binti Raja Dato’ Hanipuddin terhadap dunia kecantikan sejak usia remaja. Berinspirasikan pengalaman keluarganya dalam industri kecantikan dan kesihatan premium, CAMELLIA memberi fokus kepada produk penjagaan kulit dan kosmetik yang menekankan keaslian serta keyakinan diri.

Setiap produk dibangunkan untuk meraikan kecantikan semula jadi, dengan matlamat memberi pengalaman yang tulen, anggun dan beraspirasi kepada wanita moden.

MZH – Inspirasi Seni dan Inovasi Budaya

Sementara itu, MZH, jenama utama yang diasaskan oleh Sophia, seorang Muslimah Hui berketurunan Cina dan seniman seni jerami terkenal, menampilkan perspektif berbeza.

Berakar daripada kecintaannya terhadap seni, fesyen dan warisan budaya, MZH menghadirkan rangkaian produk meliputi penjagaan kulit, solekan hingga ke wangian yang menekankan reka bentuk moden serta kualiti bertaraf tinggi. Identiti MZH melangkaui sempadan geografi, mencerminkan ekspresi global yang meraikan keanggunan sopan dalam bentuk kontemporari.

Melangkah Ke Pasaran Antarabangsa

Ketiga-tiga jenama ini kini dipasarkan menerusi TikTok Shop Malaysia, dengan perancangan untuk mengembangkan capaian ke peringkat serantau dan antarabangsa dalam masa terdekat. Strategi pemasaran ini bukan sahaja menekankan elemen digital dan akses mudah, tetapi juga memperlihatkan kesungguhan untuk mendekatkan produk kepada generasi pengguna yang lebih muda dan global.

Pelancaran bersejarah ini menandakan titik tolak baharu bagi industri fesyen mesra Muslim di Malaysia. Dengan sokongan struktur perniagaan yang kukuh, penglibatan kerabat diraja, serta dedikasi terhadap nilai inovasi, keaslian dan keanggunan, NARA, CAMELLIA dan MZH dijangka akan menjadi antara jenama yang mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd