Hilton Petaling Jaya Kini Berwajah Lebih Moden
Lina Rosli
Hilton Petaling Jaya kini berwajah baharu selepas melalui transformasi menyeluruh yang bukan sahaja menampilkan imej lebih moden, tetapi juga memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan untuk pengembara moden.
Dengan gabungan hospitaliti bertaraf dunia, sentuhan budaya tempatan dan pengalaman eksklusif, hotel ikonik ini kembali menonjol sebagai mercu tanda hospitaliti di Petaling Jaya. Transformasi ini melibatkan rekaan semula bilik, ruang awam, kemudahan mesyuarat, serta pilihan kulinari yang lebih pelbagai.
Menurut Pengurus Besar Hilton Petaling Jaya, Andre Gomez, inisiatif tersebut membawa lebih daripada sekadar perubahan estetik kerana ia memberi definisi baharu terhadap cara tetamu menikmati pengalaman penginapan.
Penginapan Moden Dengan Sentuhan Tempatan
Hotel ini kini menawarkan 547 bilik dan suite yang diubahsuai sepenuhnya. Rekaan bilik menggabungkan gaya kontemporari dengan elemen seni halus budaya Malaysia, mencipta suasana yang elegan tetapi tetap dekat dengan identiti tempatan.
Tetamu juga boleh menikmati kemudahan lounge dan Executive Lounge yang lebih luas, dilengkapi pod produktiviti serta susun atur intuitif yang sesuai untuk pertemuan kerja mahupun interaksi santai.

Ruang Mesyuarat Fleksibel dan Mesra Alam
Hilton Petaling Jaya turut memperkukuh reputasinya sebagai destinasi mesyuarat dan acara dengan menawarkan ruang seluas 1,748 meter persegi. Kristal Ballroom tanpa tiang mampu menampung sehingga 1,000 tetamu, manakala 20 bilik mesyuarat moden dilengkapi teknologi A/V terkini serta kemudahan ‘wireless casting’.
Selaras dengan komitmen kelestarian, hotel ini memperkenalkan pakej “Meet with Purpose” yang menekankan mesyuarat bermakna dan mesra alam. Antara ciri yang ditawarkan termasuk pilihan neutral karbon melalui kerjasama eksklusif dengan ClimeCo, waktu rehat yang memberi tenaga semula, serta aktiviti ‘Discovery Breaks’ berinspirasikan budaya tempatan seperti sesi merasa kopi artisan atau bengkel budaya mini.

Pengalaman Kulinari Dipertingkat
Hilton Petaling Jaya terus menjadi destinasi gastronomi dengan pilihan restoran yang meraikan kepelbagaian citarasa. Restoran Toh Yuen menampilkan hidangan Kantonis autentik, Genji menyajikan masakan tradisional Jepun, manakala Paya Serai kekal sebagai destinasi ikonik untuk menjamu selera dengan hidangan berasaskan warisan tempatan.


Bagi tetamu yang mencari suasana lebih eksklusif, Rye menawarkan pengalaman intim dengan seleksi minuman berasaskan wiski, manakala Drip Café menyediakan kopi berkualiti tinggi dan pastri dalam suasana tenang.
Dengan transformasi ini, Hilton Petaling Jaya bukan sahaja memperkukuh kedudukannya dalam industri hospitaliti, tetapi juga menetapkan penanda aras baharu dalam pengalaman penginapan yang menggabungkan keselesaan moden, kelestarian, dan keterhubungan budaya. Ia mencerminkan aspirasi Hilton untuk terus kekal relevan kepada pengembara masa kini yang menghargai keseimbangan antara urusan kerja, percutian, dan pengalaman tempatan yang autentik.