Bilakah Kali Pertama Kopi Ditemui? Dari Qahveh Khaneh Hingga Kopi Moden
Lina Rosli
Pada setiap 1 Oktober pada setiap tahun, dunia menyambut International Coffee Day sebagai penghargaan terhadap minuman yang bukan sahaja menghidupkan deria, tetapi juga membentuk budaya dan ekonomi global.
Untuk pengetahuan anda, kopi kini dinikmati oleh lebih 2 bilion orang setiap hari, menjadikannya antara komoditi paling bernilai selepas minyak mentah.
Di Malaysia, kopi mempunyai kedudukan yang istimewa. Dari kopi kampung yang diwarisi sejak turun-temurun di kedai kopi tradisional, hinggalah kepada pilihan specialty coffee di kafe moden – yang mana budaya kopi terus berkembang dan disesuaikan dengan gaya hidup generasi baharu.

Bilakah Kopi Pertama Kali Ditemui?
Tahukah anda bahawa kopi pertama kali ditemui di Ethiopia sekitar abad ke-9, sebelum berkembang ke dunia Arab dan seterusnya ke Eropah?
Menurut perkongsian, individu pertama yang menemui kopi adalah Kaldi, yang merupakan seorang pengembala kambing di sebuah kawasan kampung di sekitar Ethiopia. Pada ketika itu, Kaldi mendapati bahawa kambing-kambingnya kelihatan segar dan bertenaga selepas memakan buah daripada satu batang pokok. Beliau kemudiannya mencuba buah berkenaan dan merasakan pengalaman yang sama.
Selain Ethiopia, Yaman turut memainkan peranan penting dalam sejarah kopi. Secara umumnya, sejarah kopi di Semenanjung Arab bermula pada sekitar abad ke-15 yang mana ia pokok kopi mula ditanam di sekitar Yaman. Dari situ, ia tersebar ke Mesir, Syria, Iran dan Turki, dengan rumah kopi atau qahveh khaneh muncul sebagai pusat sosial dan intelektual.

Di ruang ini, masyarakat bukan sahaja berkumpul untuk menikmati kopi, tetapi juga untuk mendengar muzik, bermain catur, menyaksikan persembahan dan bertukar pandangan. Fungsi kopi sebagai pemangkin perbincangan dan pertukaran idea inilah yang menjadikan rumah kopi digelar sebagai “Schools of the Wise.”
Menjelang abad ke-17, kopi sampai ke Eropah dan menerima reaksi bercampur-baur. Ada yang menganggapnya sebagai minuman berbahaya, malah di Venice ia pernah digelar “the bitter invention of Satan.”

Namun, Pope Clement VIII yang ketika itu diminta membuat keputusan, akhirnya memberi pengiktirafan setelah merasai sendiri keenakan minuman tersebut. Dari situ, kopi terus berkembang pesat dengan kedai kopi mula dibuka di bandar-bandar besar Eropah seperti London, Paris, Amsterdam dan Vienna.
Apabila permintaan semakin tinggi, kuasa kolonial mula membawa tanaman kopi ke tanah jajahan mereka. Belanda memperkenalkan kopi di Jawa, Sumatera dan Sulawesi, manakala Perancis membawanya ke Vietnam pada abad ke-19.

Kisah penyebaran kopi ke Martinique pada tahun 1723 juga menjadi legenda apabila Gabriel de Clieu dikatakan membawa anak benih kopi dalam pelayaran panjang melintasi Atlantik. Dari situ, kopi merebak ke Caribbean, Amerika Tengah dan Amerika Selatan, menjadikan rantau ini pengeluar utama kopi dunia. Brazil pula muncul sebagai pengeluar terbesar selepas Francisco de Mello Palheta berjaya membawa benih kopi dari Guiana, sekaligus membina industri yang kekal dominan hingga ke hari ini.
Kopi Pada Masa Moden
Seiring perkembangan global, kopi bukan sahaja menjadi komoditi utama dalam perdagangan antarabangsa. Malah kini, kopi merupakan komoditi kedua terbesar selepas minyak mentah—tetapi juga memberi kesan ekonomi yang besar kepada negara-negara pengeluar. Setiap tahun, lebih daripada 2 bilion cawan kopi diminum di seluruh dunia, menjadikannya minuman paling popular selepas air.

Memasuki abad ke-20 dan ke-21, kopi terus mengalami transformasi. Gelombang pertama menyaksikan kopi dihasilkan secara besar-besaran untuk kegunaan harian. Gelombang kedua menekankan pengalaman minum kopi melalui kedai kopi moden yang menawarkan suasana dan gaya hidup.
Kini, gelombang ketiga membawa dimensi baharu apabila kopi dipandang sebagai produk artisanal dengan penekanan terhadap single origin, kaedah penyediaan khusus, serta isu kelestarian dan keadilan kepada para petani.

Daripada ladang di Ethiopia dan Yaman, ke rumah kopi di Istanbul dan London, hinggalah ke kafe moden yang menjadi gaya hidup hari ini, perjalanan kopi telah membentuk bukan sahaja selera, tetapi juga budaya dan peradaban manusia.
Maka setiap kali kita meraikan International Coffee Day, ia bukan sekadar tentang secawan kopi, tetapi juga penghargaan terhadap sejarah panjang, kisah perdagangan, dan inovasi yang menjadikan kopi sebagai salah satu minuman paling berpengaruh di dunia.
Sumber: National Coffee Association