Laporan RMFLS 2025 – Gen Z Lebih Progresif Dalam Amalan Menyimpan
Lina Rosli
Data terkini daripada RMFLS 2025 menunjukkan bahawa Gen Z sedang membentuk pola kewangan yang lebih positif berbanding generasi terdahulu. Walaupun sering dilabel sebagai generasi yang lebih cenderung kepada perbelanjaan gaya hidup dan teknologi, dapatan ini membuktikan bahawa Gen Z semakin dikenali sebagai kelompok yang lebih disiplin dan strategik dalam mengurus kewangan.
Hasil kajian mendapati 40% daripada Gen Z berjaya menyimpan lebih daripada RM500 sebulan, meningkat daripada 36% pada tahun 2024. Lebih signifikan, hanya 11% responden dalam kelompok ini yang mengakui tidak membuat sebarang simpanan, menjadikan kadar ini yang paling rendah berbanding generasi lain. Angka ini memperlihatkan tahap kesedaran kewangan yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.

Dari segi keupayaan bertahan dengan simpanan, sebanyak 47% Gen Z dilaporkan mampu menampung perbelanjaan antara satu hingga tiga bulan menggunakan simpanan sedia ada. Peningkatan ini menunjukkan daya tahan kewangan mereka semakin kukuh, sekali gus memberi gambaran bahawa Gen Z lebih bersedia menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Fenomena ini sebahagiannya dipacu oleh keterbukaan mereka terhadap penggunaan teknologi kewangan digital. Penerapan aplikasi perbankan dalam talian, e-dompet, serta platform pelaburan mudah alih menjadikan proses menyimpan dan mengurus wang lebih mudah, telus dan konsisten.

Berdasarkan laporan ini juga, kita boleh lihat yang mana Gen Z membuktikan bahawa literasi kewangan tidak hanya bergantung pada faktor usia atau pengalaman, sebaliknya boleh diperkukuh melalui adaptasi teknologi dan disiplin dalam mengurus pendapatan.
Tabiat menyimpan yang konsisten serta keupayaan menyesuaikan diri dengan instrumen kewangan moden wajar dijadikan contoh dalam memperkukuh daya tahan kewangan masyarakat secara keseluruhan.