Temu Bual: PRISM+ Menghubungkan Inovasi Pintar Dengan Kehidupan Seharian
Lina Rosli
Dari sebuah jenama kecil yang bermula di Singapura pada 2017, PRISM+ kini mengorak langkah lebih besar dalam industri teknologi gaya hidup serantau.
Bermula dengan monitor mesra bajet yang pantas menguasai pasaran, PRISM+ kemudiannya meluaskan penawaran kepada televisyen Android 4K dan berjaya menempatkan diri sebagai jenama yang sinonim dengan kualiti premium pada harga mampu milik.
Dan hari ini, PRISM+ memperkukuh kehadirannya di Malaysia dengan memperkenalkan rangkaian produk rumah pintar yang disokong oleh aplikasi kendiri, PRISM+ Connect, sekaligus menjadikan jenama ini lebih daripada sekadar pengeluar TV dan monitor.
Dalam satu sesi temu bual eksklusif bersama Eric Kam, Country Director PRISM+ Malaysia, beliau berkongsi mengenai visi syarikat, cabaran pasaran, dan masa depan ekosistem pintar yang ingin dibawa ke dalam kediaman pengguna Malaysia.

Mengapa PRISM+ memilih untuk memasuki pasaran rumah pintar pada masa ini?
PRISM+ melihat bahawa rumah moden semakin berkembang fungsinya, namun pengguna masih berdepan dilema antara harga, prestasi, dan reka bentuk.
Di Malaysia khususnya, faktor harga kekal menjadi penghalang kepada kadar penggunaan teknologi pintar berbanding negara lain.
Berbekalkan pengalaman dalam menawarkan produk televisyen dan monitor yang memecahkan dilema tersebut, PRISM+ kini memperluaskan prinsip yang sama ke dalam kategori teknologi pintar atau smart living. Matlamat utama adalah untuk menawarkan teknologi yang benar-benar membantu pengguna dalam kehidupan harian tanpa membebankan kos.

Apakah trend pengguna yang mempengaruhi keputusan ini?
Menurut Eric, terdapat sekitar tiga perubahan utama dikenal pasti.
Pertama, peningkatan permintaan terhadap kemudahan melalui kawalan pintar, sama ada dengan sentuhan mahupun arahan suara.
Kedua, pengguna kini lebih berhati-hati dalam membuat pembelian dan cenderung memilih ekosistem yang mampu memberikan nilai jangka panjang.
Ketiga, perubahan gaya bekerja dari rumah meningkatkan permintaan terhadap teknologi yang mampu menyokong keselesaan dan produktiviti.

Inovasi apakah yang dibawa oleh PRISM+ ke dalam pasaran teknologi pintar untuk rumah?
PRISM+ menekankan pembangunan ekosistem bersepadu yang mampu memberi pengalaman lebih menyeluruh berbanding sekadar peranti berasingan.
Produk seperti kipas siling pintar dan pendingin hawa bukan sahaja dilengkapi dengan fungsi kawalan jauh, penjadualan, serta pemantauan penggunaan, tetapi juga direka untuk berinteraksi antara satu sama lain. Contohnya, pendingin hawa boleh dimatikan secara automatik apabila kipas siling dihidupkan pada waktu malam bagi menjimatkan tenaga.
Kesemua integrasi ini disokong oleh aplikasi PRISM+ Connect yang dibangunkan sepenuhnya secara dalaman. Dengan kawalan penuh terhadap platform perisian, PRISM+ berupaya memastikan pengalaman pengguna yang konsisten serta membuka ruang kepada lebih banyak inovasi baharu pada masa hadapan.

Bagaimanakah PRISM+ membezakan dirinya daripada pesaing?
Tiga aspek utama menjadi tumpuan iaitu reka bentuk, integrasi, dan sokongan selepas jualan.
Dari sudut reka bentuk, PRISM+ memberi perhatian terhadap estetika dengan menawarkan kipas siling dalam pelbagai warna dan kemasan agar sesuai dengan gaya dalaman berbeza. Dari segi integrasi, produk PRISM+ direka untuk berfungsi secara harmoni dalam satu ekosistem pintar yang menjimatkan tenaga dan mudah digunakan. Manakala dari aspek perkhidmatan, PRISM+ mengekalkan model sokongan dalaman sepenuhnya bagi memastikan kualiti dan kecekapan khidmat selepas jualan.
Bagaimana falsafah reka bentuk diaplikasikan dalam produk PRISM+?
Reka bentuk PRISM+ tidak terhad kepada aspek fizikal semata-mata, tetapi turut menekankan pengalaman menyeluruh pengguna.
Setiap produk dihasilkan dengan kemasan moden, pilihan penyesuaian dan keupayaan automasi melalui aplikasi tunggal. Ini memastikan produk bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi juga memberikan nilai estetika kepada ruang kediaman.

Sejauh mana maklum balas pengguna membentuk strategi produk?
Maklum balas pelanggan memainkan peranan penting dalam pembangunan produk. Sebagai contoh, permintaan terhadap peti sejuk berkapasiti besar untuk kegunaan musim perayaan mendorong PRISM+ memperkenalkan model empat pintu dengan harga yang lebih rendah berbanding pesaing antarabangsa.
Bagi kategori kipas siling, kebimbangan pengguna terhadap kestabilan dan bunyi bising membawa kepada keputusan untuk menggunakan sistem pemasangan parallel ball mount yang lebih selamat dan senyap berbanding kaedah tradisional.
Apakah cabaran utama yang dijangkakan dalam pengembangan ini?
Cabaran terbesar adalah memenuhi jangkaan pengguna gaya hidup moden, khususnya dalam kategori peralatan teknikal seperti pendingin hawa, kipas siling, dan peti sejuk yang memerlukan pemasangan serta penyelenggaraan profesional.
Selain itu, pembangunan aplikasi PRISM+ Connect yang berterusan turut memerlukan pelaburan berpanjangan bagi memastikan sistem kekal stabil dan mesra pengguna.

Apakah perancangan masa hadapan PRISM+ Malaysia?
PRISM+ menegaskan bahawa ciri pintar hanya akan diperkenalkan apabila ia benar-benar memberi manfaat kepada pengguna. Fokus masa hadapan akan tertumpu kepada modulariti, fleksibiliti, serta penyesuaian reka bentuk agar setiap produk serasi dengan gaya hidup moden.
Dengan pendekatan ini, PRISM+ berhasrat untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai jenama yang mendefinisikan semula konsep kehidupan pintar melalui gabungan inovasi, kualiti premium, dan harga mampu milik.