Hyundai Malaysia Kini Buka Pratempah Untuk STARIA CKD – Dijual Pada Harga Bermula RM179,888

October 8, 2025
Automotif

Lina Rosli

Selepas mengumumkan yang mana mereka akan menguruskan sendiri operasi di Malaysia, Hyundai Motor Malaysia (HMY) mula mengumumkan yang mana model MPV premium mereka, STARIA kini dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Langkah ini bukan sahaja menandakan komitmen Hyundai terhadap pasaran Malaysia, tetapi juga menjadikan model futuristik ini lebih mudah diakses dengan harga bermula dari RM179,888 hingga RM267,888 bergantung pada varian.

Untuk versi CKD ini, Hyundai memperkenalkan empat pilihan warna baharu iaitu Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea, yang sesuai untuk pelbagai cita rasa dan gaya hidup.

Dari segi ruang dalaman, STARIA dikenali sebagai antara MPV yang paling luas dalam kelasnya. Ia direka dengan keselesaan penumpang sebagai fokus utama — sama ada untuk kegunaan keluarga besar, perjalanan jauh atau kegunaan korporat.

Bukan itu sahaja, STARIA juga menawarkan konfigurasi tempat duduk yang fleksibel serta ruang kaki dan kepala yang lapang.

Dengan pemasangan tempatan ini, pelanggan bukan sahaja menikmati harga yang lebih kompetitif, tetapi juga mendapat jaminan bahawa kualiti dan ciri global Hyundai tetap dikekalkan. Ini termasuk elemen keselamatan, sistem infotainment moden, serta pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan senyap.

Bagi yang berminat, tempahan kini dibuka di semua pengedar sah Hyundai di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, anda boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Hyundai Malaysia atau melayari laman web rasmi mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd