Alliance Bank BizSmart 2025 – Tiga Pengasas Wanita Mendefinisikan Semula Kejayaan Dalam Era Baharu Keusahawanan
Lina Rosli
Dalam usaha memperkasa usahawan wanita tempatan, Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) menampilkan sesi panel “Women Founders: Redefining Success” sempena Alliance Bank BizSmart® Business Conference 2025 (ABBBC2025) yang berlangsung di W Kuala Lumpur. Sesi ini mengetengahkan suara dan pengalaman para pengasas wanita yang telah mengemudi perniagaan masing-masing dengan ketahanan dan keberanian dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi pasca pandemik.
Perbincangan ini membuka perspektif baharu terhadap makna sebenar kejayaan. Jika sebelum ini kejayaan sering dikaitkan dengan pencapaian kewangan semata-mata, kini para pengasas wanita mentakrif semula kejayaan mereka melalui impak yang mampu mereka berikan — bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada komuniti di sekeliling mereka.

Antara pengasas yang turut berkongsi pengalaman ialah Nadira Yusof dari Kiddocare, yang menekankan bagaimana kejayaan sebenar datang daripada kemampuan untuk menyelesaikan masalah sosial. Bagi Nadira, kejayaan bukan sekadar membina perniagaan yang berkembang, tetapi membina ekosistem yang menyokong wanita untuk terus bekerja tanpa mengorbankan keseimbangan keluarga.
Melalui Kiddocare, beliau mencipta peluang pekerjaan untuk pengasuh profesional sambil membantu ibu bapa mendapatkan penjagaan anak yang selamat dan boleh dipercayai.
Sementara itu, Madiha Fuad dari PlusVibes turut berkongsi bagaimana perjalanannya dalam bidang kesihatan mental mengajarnya bahawa kejayaan boleh wujud dalam bentuk empati dan sokongan. PlusVibes bukan sahaja platform untuk kesejahteraan emosi, tetapi juga satu inisiatif yang menghubungkan individu dengan komuniti yang memahami — menjadikan impak sosial sebagai asas kepada pertumbuhan jenama.
Ketahanan Dan Kejelasan Tujuan
Salah satu topik yang turut menjadi perbincangan para panelis adalah melibatkan resilience atau ketahanan. Bagi Nini Tan, pengasas DobiQueen, tempoh pandemik COVID-19 menjadi antara fasa paling mencabar dalam perjalanan keusahawanannya.
Dengan operasi yang terjejas dan sekatan pergerakan yang ketat di Selangor, beliau memilih untuk bertindak secara proaktif — bukan menunggu keadaan pulih, tetapi memindahkan sebahagian kakitangan ke Kuala Lumpur bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan. Langkah strategik ini bukan sahaja memastikan kelangsungan perniagaan, malah membuktikan ketahanan mental dan keupayaan beliau untuk membuat keputusan pantas di saat genting.
Dalam masa yang sama, Dobiqueen turut memperkenalkan perkhidmatan ambil dari rumah, yang membolehkan pelanggan mendapatkan servis dobi tanpa perlu keluar dari kediaman. Pendekatan ini bukan sahaja mengatasi cabaran pergerakan semasa pandemik, tetapi juga membuka peluang baharu dalam model perniagaan mereka — menyesuaikan perkhidmatan dengan gaya hidup masyarakat yang lebih berhati-hati dan selesa berada di rumah.

Para panelis turut menyatakan yang mana cabaran dan ketahanan ini bukan sekadar tentang bekerja keras tanpa henti, tetapi tentang mengetahui apa yang benar-benar diperlukan untuk berkembang. Kadangkala, ketahanan juga bermakna berani untuk berhenti seketika, menilai semula hala tuju, dan mencari bantuan daripada mereka yang mampu memberi panduan — sama ada melalui komuniti keusahawanan, mentoring mahupun coaching.
Keusahawanan bukan tentang melakukan semuanya seorang diri, tetapi tentang membina jaringan sokongan yang dapat membantu anda berkembang. Menurut PlusVibes, dalam dunia perniagaan moden, visibility atau keterlihatan merupakan kunci utama — bukan sekadar untuk memastikan jenama dikenali, tetapi juga untuk membuka akses kepada peluang pelaburan, jaringan rakan kongsi strategik serta komuniti yang menyokong. Melalui pendedahan dan keterlihatan yang lebih luas, usahawan bukan sahaja dapat membina kredibiliti, malah memperkukuh daya saing perniagaan mereka di pasaran yang semakin mencabar.
Inisiatif seperti Entrepreneurs’ Organization (EO) serta program di bawah Alliance Bank BizSmart memainkan peranan penting dalam memperkukuh ruang sokongan ini — membantu pengasas wanita menajamkan hala tuju dan memperluas potensi perniagaan mereka.
Kiddocare – Mengubah Penjagaan Kanak-Kanak dengan Teknologi
Di acara Alliance Bank BizSmart juga, Kiddocare turut berkongsikan tentang bagaimana teknologi boleh menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan mereka – selari dengan keperluan masyarakat moden.
Bermula sebagai platform yang menghubungkan ibu bapa dengan penjaga kanak-kanak, Kiddocare kini berkembang menjadi sebuah ekosistem menyeluruh yang bukan sahaja menyentuh aspek penjagaan, tetapi juga memperkasakan komuniti wanita dan penyedia perkhidmatan profesional.
Menurut Kiddocare, mereka bermula dengan penyelesaian On-Demand yang mana ia berfungsi sebagai platform yang memecahkan halangan tradisional dalam mencari penjaga yang boleh dipercayai. Dengan lebih 25,000 penjaga profesional berdaftar dan terlatih, platform ini membolehkan ibu bapa mendapatkan bantuan penjagaan secara fleksibel dan segera, di mana sahaja dan bila-bila masa mereka perlukan.

Selain membantu ibu bapa, Kiddocare turut membuka ruang kepada individu untuk menjana pendapatan yang stabil dan bermakna. Malah, ada antara penjaga yang berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM12,000 sebulan, membuktikan potensi sebenar ekonomi gig apabila digabungkan dengan latihan, kepercayaan dan teknologi.
Bergerak ke hadapan, Kiddocare turut merancang untuk memperluaskan tawaran perkhidmatannya kepada penjagaan berpantang, tuisyen dan intervensi awal perkembangan kanak-kanak, sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia penjagaan keluarga yang komprehensif dan berimpak sosial tinggi.
DobiQueen – Kepimpinan Wanita Dalam Rangkaian Servis Tempatan
Menyedari bahawa “not everyone is born for doing laundry”, DobiQueen hadir sebagai penyelesaian untuk mengurangkan beban rutin harian pelanggan, terutama bagi mereka yang menjalani gaya hidup sibuk di bandar. Pendekatan ini membuktikan keupayaan jenama untuk memahami keperluan sebenar masyarakat moden dan menyesuaikan perkhidmatan agar lebih relevan dan mudah diakses.
Menurut Nini Tan, rangkaian dobi layan diri mereka kini sudah mempunyai lebih 90 cawangan di Lembah Klang dan sedang berkembang pesat. Dan pada tahun 2025, pelbagai inisiatif baharu turut dirancang bagi memperluaskan impak terhadap pemberdayaan wanita dalam tenaga kerja.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk memperkukuh promosi insentif cukai di bawah Career Comeback Programme (CCP), memupuk amalan kepelbagaian, kesamarataan dan keterangkuman (DEI) di peringkat universiti, serta bekerjasama dengan pihak industri bagi memperluas peluang pekerjaan kepada wanita di pelbagai sektor.
Langkah-langkah ini bukan sahaja memberi sokongan kepada wanita untuk kembali bekerja, malah membina ekosistem yang lebih inklusif — selari dengan visi jenama seperti DobiQueen yang berpegang kepada nilai memperkasakan komuniti dan mewujudkan keseimbangan dalam kehidupan seharian.
PlusVibes – Meningkatkan Akses Sokongan Kesihatan Mental
Bagi PlusVibes, perjalanan keusahawanan bukan hanya tentang membangunkan produk, tetapi bagaimana mencipta ekosistem yang mampan melalui kolaborasi. Diasaskan oleh wanita yang percaya pada kuasa komuniti dan sinergi perniagaan, PlusVibes komited dengan pendekatan strategik yang berpaksikan kerjasama dan impak jangka panjang.

Walaupun bermula sebagai platform kesejahteraan mental, PlusVibes merancang untuk melangkah lebih jauh dengan membina rangkaian kolaborasi bersama pelbagai entiti perniagaan tempatan dan antarabangsa.
Menurut Madiha, beliau percaya bahawa apabila pengasas wanita berganding bahu — berkongsi pengetahuan, peluang dan kekuatan — barulah ekosistem keusahawanan dapat berkembang secara inklusif dan lestari. Itulah definisi sebenar kejayaan bagi generasi pengasas wanita masa kini yang mana kejayaan berlaku apabila ia dibina bersama.