Tealive Memperkenalkan Siri Minuman Cha Zen – Menampilkan Pilihan Minuman Berasaskan Matcha Dan Hojicha
Lina Rosli
Bagi anda yang menggemari teh Jepun, pastinya anda tidak ingin ketinggalan dalam menikmati pengalaman baharu menerusi siri minuman Cha Zen oleh Tealive.
Untuk siri minuman Cha Zen ini, Tealive hadir dengan dua pilihan serbuk teh Jepun iaitu Premium Nishio Fine Matcha dan Hojicha – yang menawarkan pengalaman teh Jepun dengan citarasa lebih halus dan premium.

Dikenali dengan profil rasa yang lembut dan berkrim, Matcha hadir dalam pilihan seperti Matcha Latte (RM10.28), Matcha Mousse Latte (RM11.23) dan Bang Bang Matcha Mousse Latte (RM11.23).
Menurut Tealive, mereka menggunakan Nishio Fine Matcha yang berasal dari Nishio, Jepun — kawasan terkenal dengan penghasilan matcha berkualiti tinggi. Dengan kandungan kafein yang sederhana dan tekstur halus, matcha sesuai untuk dinikmati pada waktu pagi atau tengah hari bagi membantu meningkatkan fokus dan tenaga.
Sementara itu, untuk mereka yang mencari minuman lebih tenang dan rendah kafein, siri Hojicha pula menampilkan Hojicha Latte (RM10.28), Hojicha Mousse Latte (RM11.23) serta Bang Bang Hojicha Mousse Latte (RM11.23). Ia dihasilkan daripada daun teh hijau panggang, Hojicha menawarkan rasa “roasty” dan beraroma kacang, menjadikannya pilihan ideal untuk waktu petang atau malam bagi membantu anda berehat selepas seharian bekerja.

Bagi yang berminat, kedua-dua siri minuman Premium Nishio Fine Matcha dan Hojicha kini boleh didapati di semua cawangan Tealive di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, pelanggan boleh melayari laman rasmi atau media sosial Tealive.