Bungkus Kaw Kaw Kini Mempunyai Aplikasi Pesanan Tersendiri
Lina Rosli
Buat penggemar nasi lemak bungkus dan juga kopi ‘kaw‘ dari Bungkus Kaw Kaw, kini jenama ini mula memperkenalkan aplikasi pesanan tersendiri.
Untuk pengetahuan anda, Bungkus Kaw Kaw merupakan sebuah jenama hidangan makan pagi yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Menawarkan variasi jenis hidangan dari kuih-muih hingga ke nasi lemak udang sambal petai dan banyak lagi, pastinya jenama ini sangat sinonim dengan kebanyakan individu yang tinggal di bandar yang memerlukan pilihan makanan dan minuman yang mudah tetapi lengkap.

Secara umumnya, Bungkus Kaw Kaw bermula sebagai sebuah kiosk kecil yang menawarkan sarapan ringkas dalam bentuk bungkus — diinspirasikan daripada suasana warung klasik tempatan yang sering menjadi pilihan ramai pada waktu pagi.
Dengan konsep hidangan ‘grab and go’, jenama ini berjaya menambat hati pelanggan yang sentiasa sibuk namun masih mahu menikmati juadah tradisional yang segar dan penuh rasa.
Kini, selari dengan gaya hidup moden dan keperluan pelanggan masa kini, Bungkus Kaw Kaw melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan aplikasi pesanan tersendiri. Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh membuat pesanan terus dari telefon bimbit dan melakukan pembayaran menerusi perbankan atas-talian (FPX).

Walau bagaimanapun, buat masa ini, pilihan penghantaran yang tersedia hanyalah ambil di kedai (pickup) – yang mana pelanggan boleh memilih cawangan berdekatan menikmati makanan dan minuman yang dipesan.
Lebih menarik, aplikasi ini turut menampilkan beberapa fungsi tambahan seperti sistem ganjaran untuk pelanggan setia, serta promosi eksklusif yang hanya boleh didapati melalui platform tersebut.
Langkah ini jelas memperkukuh kehadiran digital Bungkus Kaw Kaw dalam industri F&B tempatan, di samping memastikan pengalaman menikmati nasi lemak bungkus dan kopi ‘kaw’ kegemaran ramai menjadi lebih mudah dan pantas.
Bagi yang ingin memuat-turun aplikasi pesanan Bungkus Kaw Kaw, ia kini tersedia di kedai atas-talian App Store dan juga Play Store.