Ulasan Samsung Galaxy Buds3 FE – Dari Muzik Hingga Ke Produktiviti

October 17, 2025
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Dalam kehidupan moden yang serba pantas, keperluan untuk memiliki fon telinga yang serba boleh dan tahan lasak semakin menjadi keutamaan — terutamanya bagi individu yang aktif, sentiasa bergerak dan menjadikan muzik atau panggilan harian sebagai teman sepanjang hari.

Dengan pengenalan Samsung Galaxy Buds3 FE, jenama ini sekali lagi memperkukuh reputasinya dalam menawarkan pengalaman audio berkualiti tinggi pada harga yang lebih berpatutan.

Saya berpeluang menggunakan Samsung Galaxy Buds3 FE selama beberapa minggu, dan berikut ialah pengalaman sebenar sepanjang tempoh tersebut yang merangkumi daripada kualiti bunyi sehinggalah kepada keselesaan pemakaian dan prestasi harian.

Rekaan Minimalis, Ringan Dan Sesuai Untuk Gaya Hidup Aktif

Secara umumnya, walaupun bukan model utama dalam siri Buds3, versi FE ini masih mengekalkan banyak ciri utama yang menjadikannya relevan dalam rutin harian yang sibuk. Pada pengalaman saya sendiri, ia cukup selesa untuk mendengar muzik ketika mulakan hari hinggalah ke mesyuarat maya yang panjang di waktu petang.

Samsung Galaxy Buds3 FE tampil dengan rekaan yang lebih ringkas berbanding Buds3 Pro yang mana ia tidak hadir dengan rekaan lampu pada bahagian batang buds. Apa yang menarik fon telinga ini hadir dengan rekaan baharu yang dikenali sebagai blade design.

Bagi saya yang bertudung, bentuk fon telinga ini tidak menekan bahagian telinga dan tidak mengganggu cara pemakaian tudung. Ia juga mempunyai kemasan matte yang tidak mudah licin, menjadikannya mudah dikendalikan walaupun tangan sedikit berpeluh.

Walaupun Buds3 FE tidak mempunyai pencahayaan LED seperti Buds3 Pro, rekaan pod pengecas yang kompak dan tahan calar memberikan sentuhan praktikal. Ia mudah disimpan di dalam beg kecil atau poket, sesuai untuk mereka yang sentiasa dalam perjalanan.

Terdapat dalam dua pilihan warna iaitu Black dan Gray, setiap satu hadir dengan kemasan matte yang halus untuk gaya minimalis namun moden. Kemasan ini bukan sahaja menyerlahkan elemen sofistikated, tetapi juga menambah daya tahan terhadap cap jari dan calar ringan.

Kualiti Audio Yang Konsisten

Salah satu perkara yang saya hargai tentang Galaxy Buds3 FE ialah keseimbangan antara harga dan kualiti audio. Walaupun tidak dilengkapi sistem audio dwi-pemandu seperti Buds3 Pro, ia masih menawarkan pengalaman mendengar yang jelas dengan bass lembut dan vokal yang terang.

Ketika mendengar muzik lo-fi semasa bekerja, setiap butiran instrumen masih jelas tanpa terasa terlalu kuat. Begitu juga semasa menonton video atau menyertai panggilan Google Meet, suara kekal stabil dan jelas.

Dari segi prestasi audio, Galaxy Buds3 FE dilengkapi dengan pembesar suara yang lebih besar berbanding model terdahulu. Hasilnya ialah bunyi yang lebih penuh dan dinamik, dengan bass yang bertenaga serta vokal yang jelas.

Bagi pengguna yang gemar pengalaman mendengar yang lebih imersif, ciri 360 Audio memberikan kesan bunyi ruang seolah-olah dikelilingi oleh sumber bunyi dari pelbagai arah. Ia menghasilkan pengalaman mendengar menyerupai sistem teater mini, terutamanya apabila menonton filem atau mendengar konsert secara langsung.

Ciri ini menyokong peranti Galaxy dengan One UI 3.1 dan ke atas, serta tersedia dalam mod Direct Multi-channel bagi peranti dengan One UI 4.1.1 dan ke atas.

Pengalaman Audio Lebih Baik Dengan Pembatalan Hingar (ANC)

Seterusnya, Samsung Galaxy Buds3 FE turut dilengkapi dengan teknologi Active Noise Cancellation (ANC) yang berfungsi untuk mengurangkan bunyi persekitaran seperti deruman trafik, dengungan mesin atau hiruk-pikuk di kafe.

Dengan ANC diaktifkan, pengguna dapat menikmati muzik, menjawab panggilan, atau menonton kandungan hiburan dengan lebih fokus dan tenang, tanpa gangguan daripada bunyi luar.

Bagi situasi yang memerlukan kesedaran terhadap persekitaran, mod Ambient Sound boleh diaktifkan bagi membenarkan bunyi sekitar masuk secara semula jadi — ideal untuk kegunaan semasa berjalan di jalan raya atau menunggu pengumuman di tempat awam.

Ketahanan Bateri Yang Mampu Bertahan Seharian

Dari segi bateri, Galaxy Buds3 FE menawarkan ketahanan yang cukup baik — sekitar 6 jam dengan ANC aktif, dan sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas. Ia memberikan ketenangan fikiran bagi saya yang sering lupa mengecas peranti kecil seperti ini.

Saya boleh menggunakannya sepanjang hari bekerja, termasuk beberapa panggilan dan sesi muzik ringan tanpa risau kehabisan bateri. Selain itu, sokongan pengecasan pantas membolehkan saya mendapat hampir satu jam waktu mendengar hanya dengan pengecasan selama 10 minit.

Walaupun tidak menyokong pengecasan nirwayar seperti model Pro, kehadiran port USB-C tetap memberikan kelebihan dari segi keserasian yang mana ia masih menggunakan kabel yang sama dengan peranti Galaxy lain. Ciri ini sememangnya praktikal dan memudahkan, terutamanya ketika berada dalam perjalanan.

Kawalan Sentuhan Yang Lebih Intuitif

Apa yang menarik juga pada Samsung Galaxy Buds3 FE ini juga adalah ia menampilkan fungsi Pinch Control dan Swipe Control.

  • Pinch sekali untuk memainkan atau menjeda lagu
  • Pinch dua kali untuk melangkau ke trek seterusnya
  • Pinch tiga kali untuk kembali ke lagu sebelumnya
  • Leret ke atas atau ke bawah pada batang earbud untuk melaras tahap volum

Pada pendapat saya sendiri, kawalan ini direka agar responsif dan praktikal tanpa perlu menyentuh telefon pintar, sesuai untuk pengguna yang kerap bergerak.

Selain itu, pengguna boleh menyesuaikan tahap bunyi, kesan ANC atau mod audio terus daripada widget pada peranti Galaxy — membolehkan pelarasan segera ketika menonton video di YouTube atau mendengar lagu di Spotify.

Sambungan Pantas Dan Auto Switch

Proses penyambungan Galaxy Buds3 FE ke peranti Galaxy adalah mudah — hanya buka bekas pengecas dan pop-up sambungan akan muncul secara automatik di skrin. Fungsi Auto Switch membolehkan pertukaran sambungan antara telefon, tablet dan komputer riba Galaxy dilakukan secara automatik apabila aktiviti audio dikesan.

Sebagai contoh, jika anda sedang menonton video di Galaxy Tab dan menerima panggilan di Galaxy Z Flip4, sambungan akan beralih secara serta-merta tanpa perlu menukar tetapan secara manual.

Integrasi Galaxy AI Dan Google Gemini

Ciri baharu yang membezakan Galaxy Buds3 FE ialah integrasi Galaxy AI untuk fungsi seperti Interpreter dan Live Translate. Pengguna kini boleh mendengar terjemahan secara masa nyata tanpa perlu melihat skrin telefon, menjadikannya alat komunikasi berguna ketika berinteraksi dengan individu berlainan bahasa.

Selain itu, Samsung Galaxy Buds3 FE turut menyokong Google Gemini, yang membolehkan pengguna memberi arahan suara secara langsung melalui fon telinga atau jam tangan Galaxy. Dengan hanya menyebut “Hey Google,” pengguna boleh mendapatkan maklumat, menetapkan peringatan, atau menjawab mesej — semuanya tanpa perlu menyentuh peranti.

Jadi, Apa Pendapat Anda?

Pada pendapat saya, Samsung Galaxy Buds3 FE menawarkan pakej audio yang lengkap untuk pengguna moden — menggabungkan kualiti bunyi mantap, rekaan ergonomik, kawalan intuitif dan integrasi AI yang memperkayakan pengalaman harian.

Bagi mereka yang mencari fon telinga pintar dengan fungsi ANC, 360 Audio dan Galaxy AI pada harga yang lebih berpatutan, Galaxy Buds3 FE ialah pilihan yang sangat ideal dalam kategori premium mid-range – yang mana ia berharga RM499 sebuah. Ia bukan sekadar alat mendengar muzik, tetapi juga pelengkap gaya hidup digital masa kini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd