Volvo Bakal Hadir Dengan Model XC60, EC40 Dan XC90 Baharu Pada Tahun 2026

October 17, 2025
Automotif

Lina Rosli

Volvo Car Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam segmen kenderaan premium dengan pengumuman barisan model tahun 2026 yang merangkumi pelbagai kemaskini menarik — termasuk pelancaran rasmi Volvo XC60 facelift, pengenalan varian baharu EC40 Single Motor, serta penawaran warna luaran baharu untuk XC90 serba baharu.

Menurut Volvo Car Malaysia, kemaskini ini mencerminkan komitmen berterusan Volvo dalam menawarkan kenderaan yang seimbang dari aspek keselamatan, prestasi dan kelestarian.

Bukan itu sahaja, Volvo turut sedang bersedia untuk memperkenalkan sedan elektrik penuh pertama Volvo di Malaysia, yang bakal menjadi pencapaian penting dalam strategi elektrifikasi jenama tersebut.

Volvo XC60 Facelift

Untuk model Volvo XC60 facelift, ia tampil dengan rekaan yang lebih moden dan elegan. Antara pembaharuan utama termasuk gril depan baharu, sistem suspensi udara yang dipertingkat, serta integrasi teknologi pemanduan terkini untuk pengalaman lebih intuitif.

Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid bermula pada harga RM362,888, dan XC60 B5 AWD Mild Hybrid pada harga RM328,888.

Bagi mereka yang mencari keseimbangan antara kuasa dan kecekapan, varian T8 AWD menawarkan jarak pemanduan elektrik penuh sehingga 89 km (WLTP) serta tork maksimum melebihi 450 Nm. Manakala versi B5 Mild Hybrid memberikan kemudahan pemanduan harian tanpa memerlukan pengecasan.

Volvo EC40 Single Motor

Sementara untuk Volvo EC40 yang merupakan SUV elektrik penuh pertama Volvo, kini mereka hadir dengan pilihan varian Single Motor yang ditawarkan pada harga RM248,888.

Menariknya, varian ini dipacu oleh motor elektrik belakang 175 kW (238 hp) yang membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 7.3 saat. SUV ini dilengkapi bateri 70 kWh, yang mencapai jarak sehingga 488 km (WLTP) dan menyokong pengecasan pantas DC 10–80% dalam tempoh hanya 26 minit.

Pilihan warna luaran turut diperluas dengan warna baharu Sand Dune, yang diinspirasikan daripada pesisir pantai barat Sweden, di samping pilihan sedia ada seperti Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White.

Volvo XC90 Serba Baharu

Sebagai SUV mercu untuk keluarga Volvo, model XC90 serba baharu mengekalkan reputasi sebagai model mewah dengan gabungan prestasi dan keselesaan tinggi. Bagi tahun 2026, ia kini hadir dengan warna baharu Aurora Silver bersama pilihan Onyx Black, Denim Blue dan Crystal White.

Terdapat dua varian utama ditawarkan:

  • XC90 Ultra T8 Plug-in Hybrid – bermula pada RM434,888, dengan kuasa maksimum 462 hp dan tork 709 Nm.
  • XC90 Ultra B5 Mild Hybrid – berharga RM418,888, dengan output 249 hp dan tork 350 Nm.

Kedua-duanya dilengkapi dengan spesifikasi Ultra, termasuk paparan tengah 11.2 inci dengan sistem UX generasi baharu Volvo Cars, head-up display, kamera 360 darjah, sistem audio Bowers & Wilkins, serta tempat duduk depan berkuasa dengan fungsi ventilasi dan memori.

Bagi model tahun 2026, semua kenderaan Volvo akan menampilkan Volvo Car UX – sistem antaramuka pengguna generasi baharu yang direka untuk menjadikan interaksi lebih lancar dan mesra pengguna. Ia menampilkan reka bentuk menegak, butang besar serta pintasan dinamik untuk akses pantas ke fungsi utama seperti mod pemanduan atau kamera 360 darjah.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd