‘Comfort Is The New Luxury’ – Marriott International Memperlihatkan Laporan Future Of Food 2026

October 21, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Marriott International memperkenalkan laporan Future of Food 2026 di Malaysia melalui pengalaman kulinari eksklusif bertemakan “Flavours of the Forgotten”, yang berlangsung di The St. Regis Kuala Lumpur.

Acara ini menandakan penyertaan rasmi Malaysia dalam perbincangan serantau mengenai bagaimana kemampanan, penceritaan deria dan warisan tempatan membentuk masa depan dunia gastronomi di rantau Asia Pasifik.

Menelusuri Evolusi Selera Makan Malaysia

Laporan Future of Food 2026 mendedahkan perubahan ketara dalam landskap kulinari Asia Pasifik yang mana dahulunya rata-rata penyedia makanan memberikan penekanan terhadap menu berasaskan keselesaan (comfort-driven menus) dan pengalaman deria – dan kini lebih memfokuskan kepada peningkatan permintaan terhadap sumber tempatan dan amalan lestari.

Di Malaysia, trend ini semakin jelas. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan ke atas pasukan F&B Marriott International di 270 hartanah merentasi 20 pasaran Asia Pasifik:

  • 68% pelanggan di Malaysia kini memilih hidangan tempatan Asia berbanding sajian antarabangsa,
  • 74% hotel menyajikan hidangan tradisional menggunakan kaedah masakan warisan,
  • 42% melaporkan peningkatan permintaan terhadap makanan berasaskan keselesaan, lebih tinggi berbanding purata serantau sebanyak 29%.

Dapatan ini meletakkan Malaysia sebagai antara pasaran kulinari paling dinamik di rantau ini yang mana penggemar makanan semakin mencari pengalaman asli yang meraikan budaya serta komuniti tempatan.

Flavours of the Forgotten: Mengangkat Rasa Warisan

Pelancaran di Malaysia mengetengahkan bahan-bahan asli seperti ulam raja, daun kaduk, daun pegaga dan kerdas melalui menu moden gaya fine-casual ciptaan Chef Eksekutif Nor Azizi.

Sajian ini dihasilkan dengan kerjasama BoomGrow — peneraju pertanian bandar di Malaysia yang menekankan hasil segar dan lestari.

Turut memeriahkan acara ialah Sustainable Marketplace, pameran yang menghimpunkan rakan-rakan Marriott Bonvoy tempatan seperti BoomGrow, Brotani, WonderBrew, Limelight, serta kolaborasi antara Korte Chocolate dan Hétam+.

Setiap jenama menampilkan cara tersendiri dalam menggabungkan sumber bertanggungjawab dengan kreativiti dan keaslian.

Keselesaan Sebagai Kemewahan Baharu

Di seluruh Asia Pasifik, makanan berasaskan keselesaan kini menjadi simbol kemewahan baharu. Dan di Malaysia, perubahan ini amat ketara kerana setiap bahan mempunyai kisah tersendiri, dan setiap resipi mencerminkan warisan budaya.

Oleh itu, Flavours of the Forgotten menggabungkan inovasi dengan tradisi, mengingatkan kita bahawa hidangan paling bermakna ialah yang berakar pada budaya dan kesedaran.

Malaysia kini mendahului rantau ini dalam transformasi digital, melalui:

  • 95% hartanah Marriott menggunakan sistem tempahan digital sepenuhnya
  • 84% telah mengintegrasikan sistem POS serta maklum balas pelanggan bagi meningkatkan pengalaman menjamu selera.
  • Media sosial juga memainkan peranan besar, dengan 84% tetamu tempatan bergantung kepada cadangan atas talian untuk memilih tempat makan.

Walaupun trend hiburan dalam pengalaman makan semakin meningkat di peringkat serantau, pelanggan Malaysia kekal setia pada citarasa yang menenangkan dan berhubung dengan emosi.

Ia seiring dengan tema utama Future of Food 2026 bahawa “keselesaan ialah kemewahan baharu” yang mana teknik fine dining dipadukan dengan sajian harian bagi mencipta pengalaman yang mewah namun mudah didekati.

Bukan itu sahaja, kajian turut menunjukkan minat terhadap hidangan sihat semakin meningkat di Asia Pasifik, dengan peningkatan permintaan terhadap pilihan vegan (63%), vegetarian (64%) dan bebas gluten (54%).

Dalam masa yang sama, sos klasik seperti sos cili, kicap dan mayonis kekal popular di kebanyakan pasaran.

Selain itu, bar di Asia juga dilihat semakin bereksperimen dengan konsep baharu seperti koktel rendah alkohol, minuman omakase-style, serta penggunaan bahan tempatan bagi menonjolkan identiti serantau.

Selain itu, para cef di seluruh rantau kini giat meneroka bahan tradisional seperti kondimen diperam, garam artisan dan cuka warisan — mencipta rasa berani yang sarat nilai budaya. Usaha ini turut disokong oleh pergerakan makanan lestari yang digerakkan oleh pengusaha tempatan, sekali gus membentuk ekosistem kulinari baharu yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan.

Melalui pelancaran laporan ini, Marriott International bukan sahaja menegaskan komitmennya terhadap kelestarian dan inovasi, tetapi juga mengangkat Malaysia sebagai peneraju penting dalam membentuk masa depan kulinari Asia Pasifik — di mana keselesaan dan warisan menjadi definisi kemewahan sebenar

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd