Airbnb Memperkenalkan Ciri Sosial Baharu — Kini Boleh Berhubung Dengan Tetamu Lain Sebelum, Semasa Dan Selepas Perjalanan

October 22, 2025
Aplikasi

Lina Rosli

Jika sebelum ini pengalaman Airbnb hanya tertumpu pada aktiviti yang anda sertai, kini Airbnb hadir dengan kemaskini baharu iaitu pengenalan ciri sosial baharu. Menerusi ciri ini, ia membolehkan para tetamu untuk berhubung dengan tetamu lain — bukan saja semasa pengalaman berlangsung, tapi juga sebelum dan selepas perjalanan.

Menurut Airbnb, dengan adanya ciri sosial baharu ini, ia akan menghidupkan kembali semangat komuniti dan menjadikan setiap pengalaman lebih peribadi dan berpanjangan.

Antara ciri menarik yang diperkenalkan termasuk:

  • Tetamu lain – Berdasarkan tinjauan, lebih 8 daripada 10 pengguna di Malaysia ingin tahu siapa lagi yang akan menyertai sesuatu pengalaman. Kini, sebelum menempah, para tetamu boleh melihat tetamu lain yang sudah membuat tempahan serta negara asal mereka.
  • Pemesejan langsung – Bukan itu sahaja, tetamu juga boleh terus menghantar mesej kepada tetamu lain melalui aplikasi Airbnb untuk kekal berhubung atau merancang pengalaman seterusnya bersama.
  • Hubungan dalam profil – Di tab Profil Airbnb, terdapat bahagian baharu yang dipanggil Connection, di mana para tetamu boleh melihat individu yang pernah ditemui melalui pengalaman terdahulu – berfungsi seakan album digital.

Untuk pengetahuan anda, para pengguna aplikasi ini masih lagi mempunyai kawalan penuh terhadap privasi — sama ada mahu berkongsi profil dengan tetamu lain atau mengehadkan siapa yang boleh menghantar mesej.

Carian Lebih Pintar, Bayaran Lebih Fleksibel

Bukan itu sahaja, Airbnb juga memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memudahkan pengguna mencari penginapan yang ideal:

  • Karusel fleksibel – Menerusi carian yang dilakukan, sistem juga turut akana mencadangkan pilihan lain yang mungkin sedikit di luar kriteria carian — contohnya penginapan dengan kemudahan tambahan atau di bandar berdekatan dengan harga lebih rendah.
  • Peta yang dipertingkatkan – Peta baharu Airbnb kini membolehkan para pengguna menapis hasil carian berdasarkan tarikan popular, restoran berdekatan, atau mercu tanda menarik. Individu juga boleh lihat jarak dari penginapan yang dipilih, dan tidak lama lagi, paparan peta ini akan ditambah dengan mod satelit, jalan dan transit.
  • Tempah Sekarang, Bayar Kemudian – Dengan pilihan Book Now, Pay Later, anda boleh menempah penginapan tanpa perlu membayar apa-apa deposit. Pilihan ini akan diperluaskan ke seluruh dunia tahun depan, termasuk untuk perjalanan antarabangsa.

Bagi hos, Airbnb turut memperkenalkan beberapa alat baharu yang memudahkan pengurusan penginapan:

  • Polisi pembatalan dinamik – Hos boleh menetapkan polisi berbeza untuk musim puncak dan luar musim.
  • Tip harga yang diperbaharui – Hos kini boleh melihat cadangan harga untuk tempoh sehingga setahun lebih awal.
  • Papan pemuka pendapatan baharu – Bermula tahun depan, hos dapat melihat trend pendapatan tahunan serta membandingkan prestasi berdasarkan musim.

Dengan semua penambahbaikan ini, Airbnb menjadikan setiap perjalanan bukan sekadar percutian — tetapi satu ruang untuk membina kenangan, persahabatan dan pengalaman yang kekal lama selepas anda pulang ke rumah.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd