Tekanan Maskuliniti – Cabaran Yang Dihadapi Para Lelaki Dalam Menjaga Kesihatan Mental

October 23, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang berlangsung baru-baru ini, Dr. Serena In, ahli psikologi klinikal dan pensyarah kanan di Universiti IMU, menyingkap pelbagai cabaran yang dihadapi lelaki dalam menjaga kesihatan mental mereka.

Perbincangan tentang kesihatan mental bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya dalam kalangan lelaki, kerana topik ini sering kali disambut dengan keengganan atau penolakan. Menurut Dr. Serena, stigma terhadap isu kesihatan mental masih kuat berakar umbi dalam masyarakat Malaysia. Namun, kita tidak boleh terus menafikan atau melarikan diri daripada realiti tersebut.

Statistik menunjukkan trend yang membimbangkan. Data tahun 2015 menganggarkan kadar gangguan mental di Malaysia mencecah 29%, peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun 1996.

Sementara itu, data tahun 2023 mendedahkan bahawa sekitar satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan – lebih dua kali ganda berbanding tahun 2019.

Hakikatnya, tahap kesihatan mental rakyat Malaysia berada pada paras yang merisaukan, dan situasi ini lebih ketara dalam kalangan lelaki. Hal ini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir tradisional tentang peranan lelaki dalam masyarakat, bagaimana mereka sepatutnya bertingkah laku, serta batasan terhadap apa yang dianggap boleh diterima.

Masculine Discrepancy Stress – Krisis Senyap Yang Mempengaruhi Kesihatan Mental Lelaki

Dalam banyak keadaan, wanita cenderung untuk lebih terbuka dalam mengakui dan berkongsi perasaan dengan rakan-rakan. Namun, lelaki sering diharap untuk kekal tabah, kuat dan tidak beremosi.

Tabiat ini akhirnya menjadi pegangan dalaman yang sukar diubah. Sejak kecil lagi, anak lelaki dibesarkan dengan tanggapan bahawa menunjukkan emosi atau meminta pertolongan adalah tanda kelemahan. Akibatnya, ramai lelaki berasa malu apabila gagal memenuhi harapan diri sendiri atau orang lain.

Apabila lelaki berasa tertekan kerana tidak mampu menepati harapan tersebut, keadaan ini dikenali sebagai masculine discrepancy stress, atau tekanan akibat ketidaksesuaian dengan jangkaan maskuliniti. Hal ini menambah lagi beban mental dan emosi yang mereka tanggung, di samping masalah lain yang sedang dihadapi.

Selain itu, lelaki turut memikul beban tambahan dalam menghadapi cabaran harian kehidupan seperti waktu kerja yang panjang, tuntutan berterusan, serta tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah.

Lelaki lazimnya dilihat sebagai pencari nafkah utama keluarga. Apabila berdepan kesukaran kewangan, tekanan serta perasaan tidak mencukupi mudah timbul. Keadaan ini sering diperburuk oleh pengaruh media sosial yang menonjolkan gaya hidup ideal dan serba sempurna.

Gabungan semua faktor ini boleh menjadi terlalu berat untuk ditanggung sesiapa pun. Namun, kesannya lebih mendalam terhadap lelaki yang mudah terkesan dengan pandangan negatif serta kritikan.

Tanda-Tanda Tekanan Kesihatan Mental

Tanda-tanda gangguan kesihatan mental selalunya tidak jelas kelihatan. Dalam banyak keadaan, masalah ini berkembang secara perlahan-lahan dan mudah terlepas pandang.

Bagi sesetengah individu, mereka menyembunyikan pergolakan dalaman di sebalik sikap dan tingkah laku yang kelihatan terkawal. Mereka sudah terbiasa berlakon seolah-olah semuanya baik-baik saja, tahu apa yang perlu dikatakan dan bagaimana harus bertindak – sehingga tiada siapa menyedari apa sebenarnya yang mereka alami.

Antara tanda amaran yang boleh diperhatikan termasuk:

  • Perubahan tingkah laku dan emosi seperti mudah marah, gelisah, atau cepat naik angin.
  • Ada yang menunjukkan tingkah laku kasar, mengawal, atau agresif – sama ada secara lisan mahupun fizikal.
  • Sesetengah individu pula mula menunjukkan tingkah laku berisiko seperti penyalahgunaan alkohol atau dadah, memandu secara melulu, terlibat dalam sukan ekstrem, atau mengalihkan tekanan melalui ketagihan permainan video, kerja berlebihan, atau berjudi.

Cara Memberi Sokongan Dan Bantuan Mental

Ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja memainkan peranan penting dalam memerhati perubahan tingkah laku serta menawarkan sokongan – sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Antara langkah mudah termasuk mendengar dengan penuh perhatian dan tanpa menghakimi. Ramai lelaki sukar meluahkan perasaan secara terbuka, namun mereka mungkin menyatakan keresahan dalam bentuk keluhan seperti keletihan berpanjangan, hilang semangat atau rasa kosong.

Kehadiran seseorang juga amat bermakna. Kadangkala, mereka hanya memerlukan teman di sisi sementara menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi. Lelaki mungkin lebih selesa melakukan aktiviti seperti bersukan atau minum bersama daripada berbual secara langsung tentang perasaan.

Selain itu, dorongan untuk mendapatkan bantuan profesional juga amat penting. Ramai yang masih keberatan untuk berjumpa kaunselor atau ahli terapi. Sokongan boleh diberikan dengan membantu mereka membuat janji temu, menemani mereka ke sesi rawatan, atau mencadangkan alternatif dalam talian jika pertemuan bersemuka terasa terlalu berat.

Perspektif Sihat Tentang Kesihatan Mental

Adalah penting untuk memahami bahawa setiap individu tanpa mengira jantina yang mana individu boleh berdepan dengan cabaran kesihatan mental, dan semua orang memerlukan bantuan dari semasa ke semasa.

Mengalami isu kesihatan mental tidak semestinya bermaksud seseorang menghidap gangguan serius atau memerlukan rawatan intensif. Namun, yang penting ialah emosi tersebut perlu diakui dan diurus dengan cara yang sihat. Antara langkah asas termasuk berbual dengan rakan, bersenam secara teratur dan mendapatkan rehat mencukupi.

Dr. Serena turut menegaskan bahawa lelaki perlu melihat kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Sama seperti kita berjumpa doktor apabila tidak sihat secara fizikal, mendapatkan khidmat kaunselor atau ahli terapi juga wajar dipertimbangkan apabila terganggu dari segi mental atau emosi.

Menjaga minda dan emosi bukan tanda kelemahan, tetapi bukti bahawa seseorang itu berani untuk peduli terhadap kesejahteraan dirinya sendiri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd