Birkenstock Memperkenalkan Konsep Kedai Serba Baharu Di 1 Utama – Pertama Di Asia Tenggara

October 24, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Pastinya, anda pernah melihat rekaan kasut ikonik Birkenstock (hadir dengan rekaan tali tebal dan tapak kasut seperti diperbuat daripada gabus) — dipakai oleh individu terdekat anda, bukan?

Jenama dari Jerman ini kini tampil dengan nafas baharu menerusi pembukaan semula kedai mereka di 1 Utama, yang juga merupakan kedai pertama di Asia Tenggara menampilkan konsep runcit baharu daripada Birkenstock.

Dengan lebih 250 tahun warisan pembuatan kasut, Birkenstock terus mengekalkan keaslian rekaan klasik sambil membawa sentuhan kontemporari untuk generasi masa kini.

Melalui konsep baharu ini, pelanggan bukan sahaja dapat menikmati koleksi kasut dan sandal yang dikenali kerana keselesaan unggulnya, tetapi juga menerokai dunia Birkenstock dalam suasana yang direka khusus untuk meraikan nilai ketukangan dan keselesaan yang menjadi DNA jenama tersebut.

Antara koleksi yang boleh didapati termasuk sandal ikonik seperti Arizona, Gizeh dan Madrid, yang terkenal dengan reka bentuk minimal dan tapak ergonomik, serta kasut tertutup seperti Boston clog dan Bend sneaker yang menawarkan keselesaan harian dengan gaya kasual yang versatil.

Bagi pencinta fesyen, pelanggan juga boleh menemui koleksi eksklusif pasaran Malaysia yang menampilkan gaya moden tanpa mengorbankan nilai keselesaan.

Menariknya, kedai baharu ini hadir dengan perkhidmatan eksklusif Hot Stamping, di mana pelanggan boleh menambah sentuhan peribadi pada barangan pilihan mereka seperti mengukir inisial pada tali sandal kulit — menjadikannya lebih unik dan istimewa.

Dengan pembukaan semula kedai di 1 Utama ini, Birkenstock bukan sahaja memperkukuh kehadirannya di Malaysia, tetapi turut memperkenalkan cara baharu menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih eksklusif, kontemporari dan berjiwa semula jadi seiring dengan semangat jenama yang tidak pernah lekang oleh masa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd