Strok Dan 72 Jam Pertama – Detik Penentu Dalam Pemulihan Pesakit

October 27, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Apabila mendapat serangan strok, setiap saat adalah bernilai. Hampir 1.9 juta neuron hilang bagi setiap minit selepas seseorang itu diserang strok.

Strok kekal sebagai punca kedua kematian, dengan lebih 12.2 juta kes baru yang dilaporkan pada tahun 2019 di seluruh dunia. Di Malaysia, angka yang dicatatkan turut membimbangkan, dengan 47,911 kes strok baru dan hampir 20,000 kematian telah direkodkan pada tahun yang sama.

Dr Aaron Lai Kuo Huo, Pakar Perubatan Kecemasan, dan Dr Mohamad Imran Bin Idris, Pakar Neurologi dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway menerangkan bahawa tempoh 72 jam pertama selepas strok adalah waktu kritikal bagi rawatan pemulihan.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk individu mendapat intervensi pantas, pemantauan yang teliti dan pendekatan multidisiplin untuk meningkatkan keberhasilan rawatan dan mengurangkan kecacatan untuk jangka masa panjang.

Setiap Minit Adalah Berharga Selepas Strok

Ketika kempen kesedaran awam banyak menumpukan kepada cara mengenal pasti gejala strok melalui akronim B.E. F.A.S.T., aspek rawatan selepas pesakit tiba di hospital sering kali kurang diberi perhatian. Dalam tempoh 72 jam pertama selepas serangan strok, setiap langkah rawatan memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada pesakit mampu pulih sepenuhnya atau berisiko mengalami kecacatan jangka panjang.

Apabila strok berlaku, aliran oksigen ke bahagian tertentu otak akan berkurangan dan menyebabkan kerosakan pada sel-sel otak. Oleh itu, intervensi segera seperti pemberian ubat cair darah atau prosedur trombektomi amat penting bagi menyelamatkan nyawa serta mengekalkan fungsi otak.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang menerima terapi trombolitik dalam tempoh 4.5 jam pertama selepas gejala awal strok mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk kembali pulih dengan baik. Tempoh ini sering digelar sebagai waktu keemasan, kerana rawatan yang diberikan dalam jangka masa tersebut boleh meningkatkan kebarangkalian pemulihan menyeluruh secara signifikan.

Kepentingan Tempoh 72 Jam Pertama

Sebaik pesakit strok tiba di hospital, sekumpulan tenaga pakar daripada pelbagai bidang akan segera digerakkan bagi memastikan rawatan diberikan dengan pantas dan berkesan. Tempoh 72 jam pertama, yang sering dirujuk sebagai jendela waktu penting, menjadi penentu utama antara kehidupan dan kematian, serta antara pemulihan sepenuhnya dan kecacatan kekal.

Dalam tempoh ini, pasukan perubatan memberi tumpuan kepada pencegahan komplikasi seperti strok sekunder atau pembengkakan otak. Selepas prosedur awal seperti trombolisis atau trombektomi dijalankan, pemantauan rapi dilakukan bagi memastikan tiada pendarahan atau kesan sampingan lain.

Imbasan otak biasanya dilakukan berulang kali dalam tempoh 24 jam pertama bagi mengesan sebarang perubahan yang berpotensi mengancam nyawa.

Selain rawatan utama, kestabilan faktor fisiologi pesakit turut diberi perhatian. Tekanan darah, paras gula dalam darah, dan tahap penghidratan perlu dikawal dengan teliti kerana ketidakseimbangan pada aspek ini boleh memburukkan kerosakan sel otak.

Dalam masa yang sama, pemulihan awal turut dimulakan, lazimnya dalam tempoh 48 hingga 72 jam selepas rawatan awal, bagi membantu pesakit mendapatkan semula keupayaan mobiliti serta mengurangkan kebergantungan jangka panjang.

Kesan positif rawatan awal dapat dilihat melalui banyak kes pemulihan pantas.

Contohnya, pesakit yang tiba di hospital dalam tempoh sejam selepas menunjukkan gejala strok — seperti kelemahan pada satu bahagian badan dan percakapan yang tidak jelas berpeluang besar untuk pulih sepenuhnya apabila menerima rawatan ubat cair darah dalam masa kurang daripada sejam selepas gejala dikesan. Keputusan cepat untuk mendapatkan rawatan menjadi faktor utama yang membezakan antara pemulihan sepenuhnya dan komplikasi berpanjangan.

Salah Tanggapan Tentang Strok 

Antara salah tanggapan yang berbahaya adalah “strok mini“, atau serangan iskemik sementara (TIA), adalah tidak serius.

Dr Mohamad Imran menegaskan agar pesakit tidak terpedaya dengan ilusi ‘rasa selamat’ apabila gejala strok mula hilang. Beliau menjelaskan bahawa istilah ‘strok mini’ seolah-olah meremehkan tahap keparahan keadaan tersebut. Walhal, serangan iskemik sementara (TIA) merupakan petanda awal kepada strok sebenar dan perlu diberi perhatian serius.

Menurut beliau, risiko untuk diserang strok penuh adalah sangat tinggi, terutama dalam tempoh 48 jam pertama selepas gejala TIA berlaku. Justeru, mendapatkan rawatan perubatan dengan segera amatlah penting bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Dalam masa yang sama, Dr Aaron turut menekankan bahawa pesakit yang mengalami TIA tidak seharusnya menunggu sehingga gejala berulang. Walaupun simptom seperti kelemahan anggota badan atau pertuturan tidak jelas hanya berlangsung sementara, ia merupakan amaran awal daripada tubuh.

Kajian menunjukkan bahawa satu daripada lima pesakit yang mengalami TIA akan diserang strok dalam tempoh 90 hari, dan separuh daripadanya berlaku dalam masa 48 jam pertama. Oleh itu, tindakan pantas mendapatkan rawatan boleh menjadi perbezaan antara pemulihan dan kecacatan kekal.

Peningkatan Strok Dalam Kalangan Golongan Muda

Di Malaysia, golongan muda semakin terdedah untuk menghidap strok. Ia berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat seperti diet tidak seimbang, obesiti, tabiat merokok dan kurang aktiviti fizikal.

Kajian menunjukkan peningkatan sebanyak 53.3 peratus dan 50.4 peratus kes strok dalam kalangan lelaki dan wanita dalam julat umur 35 hingga 39 tahun. Dan rata-rata golongan muda sering terlepas pandang dalam mengenal pasti tanda awal strok, malah ada yang cenderung melengah-lengahkan rawatan dengan tanggapan simptom tersebut akan hilang dengan sendirinya.

Sikap ini boleh mengakibatkan kerosakan otak yang lebih teruk dan menjejaskan peluang pesakit untuk pulih sepenuhnya.

Pendekatan Holistik Dan Multidisiplin Bagi Pemulihan Strok

Penjagaan strok yang berkesan tidak hanya bergantung kepada rawatan kecemasan, tetapi juga pada pendekatan komprehensif yang melibatkan pelbagai pakar termasuk neurologi, fisioterapi, terapi pekerjaan dan terapi pertuturan.

Menurut pakar, memulakan proses pemulihan sebaik sahaja pesakit stabil mampu meningkatkan peluang untuk kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala, termasuk kemampuan berjalan, menelan dan bercakap.

Bukan itu sahaja, sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam proses pemulihan. Pemandiri yang mendapat dorongan daripada insan tersayang lebih cenderung untuk pulih dengan baik. Keluarga juga perlu dibimbing dalam membantu pesakit menguruskan ubat-ubatan serta menangani cabaran emosi yang mungkin melambatkan pemulihan.

Oleh itu, tempoh 72 jam pertama selepas strok amat penting sebagai penentu kelangsungan hidup pesakit. Dengan peningkatan kes strok di Malaysia, kesedaran terhadap gejala awal dan penjagaan selepas strok kini menjadi semakin penting — bukan hanya untuk menyelamatkan nyawa, tetapi juga untuk memelihara kualiti hidup pesakit.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd