Abbott Dan BIG CARiNG Group Lancar Program Kesedaran Influenza Di Seluruh Negara Bagi Menggalakkan Tindakan Awal Terhadap Kesihatan

October 28, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan persekitaran yang semakin sibuk, kesedaran terhadap penyakit seperti influenza sering kali diabaikan. Ramai menganggapnya sekadar selesema biasa, sedangkan jangkitan ini boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius, terutama bagi golongan berisiko tinggi.

Bagi meningkatkan pemahaman orang ramai tentang pentingnya pencegahan awal, Abbott bersama BIG CARiNG Group (BCG) melancarkan Program Kesedaran Influenza yang akan dijalankan di seluruh Malaysia dari tahun 2025 hingga 2027.

Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan melalui pelbagai pendekatan komuniti, termasuk Hari Kesihatan Influenza di lokasi awam dan saluran digital, program kesedaran di sekolah dan universiti, kempen kesihatan di tempat kerja, serta penyertaan dalam pameran pelancongan bagi mendekati pengembara dengan maklumat tentang risiko jangkitan dan langkah perlindungan.

Inisiatif ini menekankan kepentingan tindakan awal dalam mencegah penyakit. Influenza bukan sekadar demam atau batuk biasa, tetapi boleh menyebabkan komplikasi seperti radang paru-paru dan memburukkan keadaan penyakit kronik sedia ada.

Pada tahun 2024, Malaysia mencatat lebih daripada 30,000 kes influenza dengan 17 kematian dilaporkan. Golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak bawah dua tahun, wanita hamil serta individu yang menghidap penyakit kronik.

Selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi tahunan terus menjadi langkah pencegahan paling berkesan. Kementerian Kesihatan Malaysia turut memperluaskan program vaksinasi kebangsaan dengan menawarkan vaksin influenza percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi di fasiliti kerajaan terpilih.

Kerjasama antara Abbott dan BIG CARiNG ini turut memperkukuh peranan farmasi komuniti sebagai sumber pendidikan kesihatan yang mudah diakses. Melalui kempen kesedaran dan sesi interaktif, kedua-dua pihak menyasarkan agar lebih ramai rakyat Malaysia memahami perbezaan antara influenza dan selesema biasa serta kepentingan melindungi diri melalui vaksinasi dan gaya hidup sihat.

5 Langkah Mudah Melindungi Diri Daripada Influenza

  1. Ambil vaksin setiap tahun – Perlindungan vaksin berkurangan dari masa ke masa, dan strain virus juga boleh berubah setiap tahun.
  2. Amalkan kebersihan tangan – Basuh tangan dengan sabun atau gunakan pembasmi kuman berasaskan alkohol.
  3. Tutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin – Gunakan tisu atau siku, dan cuci tangan selepas itu untuk elak penyebaran titisan.
  4. Tingkatkan kualiti udara dalam rumah – Buka tingkap, gunakan penapis udara, atau luangkan masa di luar untuk pengudaraan lebih baik.
  5. Kekalkan gaya hidup sihat – Tidur mencukupi, makan seimbang, bersenam dan kawal tekanan untuk menguatkan sistem imun.

Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat lanjut tentang influenza di farmasi BIG dan CARiNG seluruh negara atau melalui laman web medicines.abbott.com.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd