Kesum Kini Dibuka – Menawarkan Pilihan Makanan Pada Harga Bawah RM5
Lina Rosli
Pada 8 November 2025 yang lalu, cawangan pertama Kesum telah dibuka secara rasmi di Pandan Indah, Selangor. Kedai makan ini mengetengahkan pelbagai pilihan hidangan, semuanya dijual pada harga di bawah RM5 — menjadikannya alternatif baharu untuk mereka yang mencari makanan yang mengenyangkan, sedap dan tetap berpatutan.
Pengenalan Kesum ini selari dengan misinya untuk menyediakan makanan berkualiti pada harga mampu milik. Di bawah pimpinan Rafizi Ramli melalui organisasi sosial Ayuh Malaysia, inisiatif ini bertujuan menawarkan pilihan makan harian yang bukan sahaja mesra bajet, tetapi turut membawa manfaat kepada komuniti setempat.


Menariknya, Kesum beroperasi berasaskan konsep perusahaan sosial — iaitu model perniagaan yang menekankan impak sosial berbanding keuntungan semata-mata.
Melalui pendekatan ini, Kesum memberi peluang pekerjaan kepada anak muda, menyokong pembekal tempatan dan memastikan harga makanan kekal berpatutan menerusi model perkongsian keuntungan.

Bagi yang ingin berkunjung, Kesum menawarkan rangkaian hidangan ‘value meal’ seperti nasi lemak ayam, nasi ayam berempah, lempeng kari, mi goreng dan pelbagai pilihan lain pada harga sekitar RM1.00 hingga RM4.95 setiap satu.
Untuk minuman pula, semua minuman ditawarkan pada harga bermula RM1.20 hingga RM1.50 — termasuk kopi ais, sirap ais, teh tarik dan banyak lagi.


Selain Kesum, Rafizi turut bereksperimen dengan Fleximart di Shah Alam — sebuah kedai runcit yang turut mengamalkan konsep perusahaan sosial. Di kedai runcit ini, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai pilihan produk keperluan rumah dan dapur pada harga yang berbaloi. Bukan sekadar itu, ia juga hadir dengan penawaran makanan pada harga di bawah RM5 dan juga kopi yang dijual pada harga sekitar RM2.90 hingga RM4.00 secawan.
Dengan kehadiran dua jenama ini, ia diharap dapat membentuk ekosistem perniagaan baharu yang lebih inklusif, mampan dan berpaksikan kepentingan pengguna.