Etika Melancarkan Program Pengurusan Sisa Di Semporna Bagi Memelihara Ekosistem Marin
Lina Rosli
Etika Sdn Bhd terus memperluas komitmennya terhadap kelestarian dengan melancarkan Program Pengurusan Sisa Semporna, satu inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa berasaskan komuniti di Kampung Sri Aman, Semporna.
Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) dan disokong oleh Malaysian Recycling Alliance (MAREA) – bertujuan untuk membantu penduduk tempatan mengurus kebersihan serta memelihara ekosistem marin yang menjadi nadi kehidupan di kawasan pesisir.
Masalah pengurusan sisa dan pencemaran plastik bukan isu baharu di Semporna — namun melalui pendekatan ini, Etika dan rakan strategiknya mahu membina model pengurusan yang praktikal, mampan dan boleh dijadikan contoh di kawasan lain di Sabah.

Bukan itu sahaja, inisiatif ini turut disambut baik oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) yang melihatnya sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan lestari di negeri tersebut. Dengan melengkapkan komuniti Kg Sri Aman dengan kemahiran serta infrastruktur pengurusan sisa, program ini bukan sahaja melindungi keindahan alam sekitar, tetapi juga memberi kuasa kepada penduduk untuk menjadi penjaga alam sekitar mereka sendiri.
Menjelang tahun 2028, sebanyak 99 isi rumah di kampung berkenaan dijangka akan dilengkapi tong sisa dengan sekurang-kurangnya 90% penyertaan aktif dalam aktiviti pengasingan sisa.
Dalam jangka panjang, inisiatif ini menyasarkan pengalihan lebih 10,000 kilogram sisa daripada persekitaran semula jadi.
Lebih menarik, program ini juga membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk kampung — mereka dilatih sebagai pengutip dan penyelaras sisa, dengan bahan kitar semula dihantar ke pusat pengumpulan. Keuntungan yang dijana pula akan digunakan semula bagi memperkukuh program pengurusan dan kitar semula komuniti.