Daput Berpusat NakNak Kini Diiktiraf Halal JAKIM – Turut Memperkenalkan Cawangan Pandu Ambil Pertama Di KLGCC

November 14, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

NakNak mengumumkan yang mana dapur berpusat mereka kini secara rasmi diiktiraf halal oleh JAKIM.

Untuk pengetahuan anda, Dapur Pusat NakNak merupakan nadi utama penghasilan bahan seperti sos, daging burger, dan perasa untuk semua cawangan. Melalui pengiktirafan ini, ia bukan sahaja memberi jaminan kualiti dan kebersihan sepanjang proses penyediaan makanan, tetapi juga memastikan kesegaran dan konsistensi hidangan di seluruh negara.

Pensijilan ini memberikan keyakinan penuh kepada pelanggan Muslim terhadap setiap hidangan yang disajikan.

Seiring dengan pensijilan halal, NakNak terus memperluas kehadirannya di Lembah Klang dengan pembukaan cawangan baharu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Setia City Mall, dan IOI Mall Damansara.

Tidak berhenti di situ, pada bulan Disember, jenama ini dijangka menambah lokasi baharu di Petronas NKVE Arah Damansara dan 1 Utama Shopping Centre, menjelang akhir 2025 menandakan operasi 13 cawangan di seluruh negara.

Apa yang menarik juga, KLGCC merupakan cawangan pandu ambil pertama NakNak (kerbside pickup). Ia menawarkan kemudahan lebih mudah bagi pelanggan yang ingin terus pulang ke rumah selepas pembelian. Bagi meraikannya, NakNak memperkenalkan promosi “Swing Back For Joy”, di mana pelanggan yang membuat pesanan melalui pandu ambil akan menerima baucar kejutan untuk lawatan seterusnya.

Sementara itu, pelanggan di Setia City Mall (SCM) dan IOI Mall Damansara (IMD) boleh menikmati keseronokan promosi “Lucky Tray”, di mana sesetengah dulang mengandungi lapik khas dan pelanggan bertuah yang menerimanya akan memenangi hadiah serta-merta seperti biskut, Fuze Tea dan sundae percuma.

Dengan visi untuk menyebarkan kegembiraan melalui makanan, NakNak bertekad membawa hidangan selesa berinspirasikan Korea kepada lebih ramai rakyat Malaysia, menyatukan komuniti melalui pengalaman kulinari yang menyeronokkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd