Media Sosial Mempengaruhi Pilihan Snek Dalam Kalangan Kanak-Kanak – Ini Cara Bina Tabiat Snek Bijak

November 14, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Pengambilan snek secara umumnya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada kanak-kanak. Di satu sisi, snek memberikan tenaga, memuaskan selera, dan mengurangkan rasa lapar di antara waktu makan. Namun, pengambilan yang tidak terkawal atau pilihan snek yang kurang sihat boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan.

Oleh itu, untuk mengawal pengambilan snek berlebihan, waktu snek boleh dijadikan peluang untuk mendidik kanak-kanak mengenai pemilihan makanan yang bijak. Dengan membimbing mereka untuk menikmati hidangan yang seimbang dari segi nutrien termasuk buah-buahan, bijirin penuh dan sumber protein — tabiat pemakanan yang sihat dapat dipupuk secara semula jadi.

Pada masa yang sama, aktiviti ini menjadi peluang untuk berkongsi pengalaman bersama keluarga, mengeratkan kasih sayang, membina suasana kebersamaan, dan menanam nilai menghargai makanan sejak usia muda.

Untuk pengetahuan anda, tabiat makan kanak-kanak kini banyak dipengaruhi rangsangan luar sama ada melalui cadangan media sosial ataupun melibatkan pengaruh pempengaruh.

Menurut Laporan State of Snacking Report Mondelēz International, 60% pengguna mencuba snek baharu akibat pengaruh media sosial, manakala 62% Gen Z dan Milenial mendapat idea daripada selebriti atau pempengaruh.

Walaupun arus trend ini sukar dielakkan, keseimbangan masih boleh dicapai, dan segalanya bermula di rumah. Rumah adalah tempat pertama kanak-kanak belajar berinteraksi dengan makanan. Apabila momen snek dinikmati dengan kesedaran, mereka bukan sahaja belajar apa yang dimakan, tetapi juga mengapa, bila dan bagaimana. Kesedaran ini menjadi asas penting dalam membina hubungan sihat dengan makanan.

Cara Menjadikan Momen Snek Lebih Bijak Dan Sihat

Berita baiknya, mengamalkan tabiat snek bijak ini sebenarnya tidak memerlukan perubahan besar. Ia boleh dilakukan dengan cara yang mudah dan menyeronokkan. Berikut lima pendekatan untuk menjadikan waktu snek lebih bermakna dan berharga bersama keluarga:

#1 Jadikan masa snek sebagai momen sekeluarga

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan jenis snek dan masa pengambilannya bagi kanak-kanak. Sebagai contoh, dengan menyediakan pilihan snek yang berkhasiat dan menetapkan waktu tertentu untuk menikmatinya, ibu bapa bukan sahaja membantu anak-anak mengurus pengambilan kalori, tetapi juga membimbing mereka membina tabiat pemakanan yang sihat sejak kecil.

Pendekatan ini secara tidak langsung mengajar anak-anak tentang keseimbangan antara keseronokan dan nutrisi, sambil mengekalkan rutin harian yang teratur. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menjadikan peluang ini untuk berehat sejenak, mengurangkan penggunaan gajet, dan berkongsi kegembiraan bersama anak-anak.

Ajak mereka meneroka warna, tekstur, dan rasa makanan, serta tanyakan snek mana yang membuat mereka berasa gembira, tenang, atau bertenaga. Menurut laporan State of Snacking, 71% golongan muda berkongsi snek sebagai cara menunjukkan kasih sayang. Oleh itu, menjadikan waktu snek sebagai ‘ritual‘ bersama dapat mengeratkan hubungan anak-anak dengan makanan dan memperkukuh ikatan kekeluargaan.

#2 Susunan dan visual snek yang kreatif

Seterusnya, kanak-kanak cenderung memilih untuk melihat sebelum merasai. Jadinya, susunan snek yang berwarna-warni dapat menjadikan ramuan ringkas kelihatan lebih menarik.

Gabungkan buah-buahan segar, bijirin penuh, sumber protein, serta sedikit hidangan kegemaran untuk mencipta pinggan seimbang yang menyeronokkan. Dengan menyediakan snek dalam saiz hidangan terkawal atau berperingkat, anak-anak secara semula jadi mula memahami konsep keseimbangan dan membina tabiat makan yang sihat sejak awal.

#3 Bergerak aktif sambil menikmati snek

Selain dinikmati, snek memberikan tenaga untuk aktiviti harian. Dengan menyelitkan permainan atau aktiviti luar semasa waktu snek, anak-anak dapat belajar kaitan antara makanan dan daya yang mereka miliki. Contohnya, bermain di halaman atau menari sekejap mampu meningkatkan kesedaran tubuh dan minda.

#4 Pilihan baik bukan sekadar rasa

Amalan snek bijak juga bermaksud menghargai asal-usul makanan. Masa snek boleh digunakan untuk berbual tentang bagaimana makanan ditanam, dihasilkan dan dikongsi. Perbincangan tentang buah berwarna-warni, hasil tempatan, atau pembungkusan mesra alam membuka minda anak terhadap impak makanan kepada kesihatan dan alam sekitar.

#5 Biarkan kanak-kanak membuat keputusan

Berikan anak peluang memilih snek mereka sendiri, mencipta campuran snek, atau membantu menyusun snek keluarga. Tindakan kecil ini membina keyakinan diri, rasa berdikari dan kreativiti.

Bukan itu sahaja, memberi anak ruang untuk membuat pilihan membantu mereka lebih sedar terhadap tubuh sendiri dan mengenal pasti makanan yang memberi kepuasan, ketenangan atau tenaga.

Dengan memahami cara menikmati snek dengan bijak, anak-anak bukan sahaja mempelajari nilai pemakanan seimbang, tetapi juga merasai kehangatan hubungan keluarga, menghargai setiap hidangan, dan membina tabiat serta tradisi yang bermakna.

Untuk lebih tip dan inspirasi, layari www.snackmindful.com/.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd