Cincin Dan Perhiasan Perkahwinan Di Malaysia – Lambang Cinta Dan Warisan Budaya
Lina Rosli
Perhiasan perkahwinan bukan sekadar aksesori, tetapi refleksi warisan budaya, makna agama dan kepercayaan turun-temurun dalam masyarakat Malaysia.
Setiap cincin yang disarungkan, setiap gelang yang dihadiahkan, serta setiap rantai yang dikalungkan membawa simbolik tersendiri tentang cinta, restu dan penyatuan dua keluarga. Dalam sebuah negara berbilang kaum, kepelbagaian ini menjadikan adat perkahwinan lebih kaya dan penuh nilai.
Oleh itu, menerusi artikel ini, Tajria bersama HABIB menghimpunkan tradisi cincin serta perhiasan perkahwinan bagi masyarakat Melayu, Punjabi, Iban, Cina, Kadazan Dusun dan India — dengan tumpuan khusus terhadap makna, evolusi serta penggunaan barangan kemas moden seperti koleksi emas dan berlian.

Adat Melayu – Cincin Sebagai Lambang Permulaan, Persetujuan Dan Penyatuan
Dalam masyarakat Melayu, cincin bukan sekadar perhiasan yang disarungkan pada jari pengantin, tetapi sebuah simbol yang menandakan perkembangan hubungan antara dua keluarga.
Perjalanan menuju perkahwinan dalam adat Melayu lazimnya melalui tiga tahap utama iaitu merisik, bertunang dan akad nikah.
Pada setiap peringkat ini, cincin memainkan peranan yang berbeza yang mana ia bermula daripada tanda “permulaan”, kepada tanda “setuju”, dan akhirnya tanda “bersatu”.
Cincin Risik – Tanda Bertanya Hati Dan Restu Keluarga
Merisik ialah langkah pertama sebelum sesuatu hubungan dipersetujui secara rasmi oleh kedua-dua keluarga.
Dalam adat ini, rombongan lelaki yang lazimnya diwakili kedua ibu bapa akan berkunjung ke rumah pihak perempuan untuk mengetahui status dan kesediaan gadis berkenaan. Cincin belah rotan emas 999 digunakan sebagai tanda setuju bahawa hubungan tersebut boleh diteruskan ke peringkat pertunangan. Sifatnya yang sederhana namun sarat makna menjadikannya pilihan klasik sehingga hari ini.

Cincin Belah Rotan Emas 999 9GR00321024
Cincin Tunang – Mengikat Janji Secara Rasmi
Majlis pertunangan masyarakat Melayu biasanya sederhana tetapi penuh erti. Lazimnya, cincin batu berlian menjadi pilihan untuk disarungkan ke jari bakal pengantin wanita. Reka bentuk moden dan minimalis menarik minat pasangan muda, namun masih mengekalkan simbolik yang sama iaitu sebuah janji untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Cincin Berlian Emas Kuning 750 A06030225
Cincin Nikah – Simbol Status Suami Isteri
Cincin nikah merupakan perhiasan paling signifikan dalam adat Melayu kerana ia menandakan kesahihan penyatuan dua insan dari segi agama dan budaya.
Dalam majlis pernikahan, cincin ini disarungkan oleh pengantin lelaki ke jari manis kanan pengantin perempuan sebaik sahaja akad dilafazkan dan upacara membatalkan air sembahyang disempurnakan. Lazimnya, cincin nikah direka lebih mewah berbanding cincin risik atau tunang, dengan penggunaan emas 750 dan batu berlian yang lebih besar sebagai lambang kemuliaan, penghormatan dan tanggungjawab seorang suami kepada isterinya.

Cincin Berlian Emas 750 11663
Namun, ada juga pasangan yang memilih pasangan cincin nikah yang sepadan bagi kedua-dua mempelai, sekali gus melambangkan keseragaman, kesatuan dan permulaan hidup bersama sebagai suami isteri.
Masyarakat Punjabi – Upacara Meriah Yang Dihiasi Pelbagai Perhiasan
Majlis perkahwinan masyarakat Punjabi terkenal dengan siri upacara yang mempunyai lapisan yang mana masing-masing memiliki aturan tersendiri dan disertai perhiasan khusus yang membawa makna mendalam dalam budaya mereka.
Setiap upacara bukan sahaja diraikan dengan meriah melalui muzik, warna dan kehangatan keluarga, tetapi turut disempurnakan dengan pemakaian barangan kemas yang melambangkan restu, keberkatan serta penyatuan dua individu yang bakal mengatur kehidupan bersama.

Dalam setiap peringkat yang bermula daripada pertunangan sehingga hari perkahwinan, semua perhiasan yang dipilih memainkan peranan penting, bukan sekadar memperindah pengantin, tetapi juga memperkukuh tradisi yang diwarisi turun-temurun.
- Mangni atau Sagai – Upacara pemberian cincin pertunangan ini menandakan wanita tersebut sudah “dimiliki” oleh bakal suaminya. Reka bentuk cincin yang gah, termasuk daripada koleksi Sicilia, menjadi tumpuan utama kerana melambangkan keyakinan dan kekuatan hubungan.
- Shagun dan Chunni Chadai – Dalam upacara ini, pengantin perempuan dihiasi gelaran kemuliaan melalui barangan kemas yang indah. Gelang rona unik seperti gelang Sicilia digunakan sebagai simbol penghargaan dan sebagai persiapan menyambut hari perkahwinan yang bakal tiba.
- Chooda Chadana – Gelang tangan dalam rona merah dan kuning menjadi simbol cinta, kesetiaan dan kesuburan. Kedatangan koleksi moden seperti gelang Cavo dalam emas kuning dan ros menjadikannya lebih menarik untuk dipadankan dengan busana tradisional.


Masyarakat Iban – Antara Warisan Tembaga Dan Evolusi Perhiasan Moden
Dalam tradisi masyarakat Iban, cincin bertunang pada asalnya diperbuat daripada tembaga dan sering dianggap sebagai cincin pusaka keluarga yang membawa nilai warisan turun-temurun. Namun, perubahan gaya hidup dan cita rasa generasi masa kini menyaksikan peralihan terhadap pilihan yang lebih moden, terutamanya cincin emas putih bertatahkan berlian.


Reka bentuk kontemporari seperti berlian bersijil GIA berbentuk oval, cincin berinspirasikan flora dengan susunan berlian halus, serta wedding band yang mempunyai rekaan minimalis semakin mendapat tempat dalam kalangan pasangan muda, khususnya apabila majlis pertunangan atau perkahwinan diadakan di gereja.
Walaupun evolusi dari segi bahan buatan dan gaya berlaku, makna cincin sebagai lambang kesetiaan dan komitmen tetap dipelihara, terus mengekalkan roh adat Iban dalam suasana moden hari ini.
Masyarakat Cina – Set Barangan Kemas Sebagai Tanda Restu Keluarga
Pemberian satu set barangan kemas merupakan adat penting dalam perkahwinan masyarakat Cina, khususnya ketika menyambut menantu perempuan ke dalam keluarga. Set perhiasan ini bukan sekadar hadiah, tetapi lambang restu dan tanda penghormatan kepada pengantin wanita yang bakal memulakan kehidupan baharu sebagai isteri.
- Rantai Leher Berlian – Melambangkan penghormatan, kebahagiaan serta restu kepada pengantin wanita. Ia dianggap sebagai tanda permulaan hidup baharu yang diberkati.
- Gelang Tangan Berlian – Melambangkan penyatuan dua individu sebagai suami isteri. Gelang ini turut membawa maksud sokongan pasangan antara satu sama lain sepanjang perkahwinan.
- Subang Berlian – Subang biasanya dipakaikan oleh ibu mertua sebagai tanda menerima menantu dengan penuh kasih. Maknanya lebih halus yang mana ia melambangkan harapan agar menantu mendengar nasihat, menjaga hubungan dan membawa keharmonian dalam keluarga.
- Cincin Emas Berlian – Cincin perkahwinan mengesahkan ikatan rasmi dua mempelai dan menandakan bahawa pengantin perempuan kini menjadi sebahagian daripada keluarga suami.

Gelang Tangan Berlian 16.2 karat DBJ00125 | Rantai Leher Berlian 15.5 karat DNJ00064
Masyarakat Kadazan Dusun – “Cincin Menanti Mimpi” Sebagai Lambang Harapan
Dalam adat Mouaboi, keluarga lelaki datang meminang dengan membawa cincin dahulu yang diperbuat daripada tembaga untuk dinilai keluarga pihak perempuan.
Namun sejak kebelakangan ini, rekaan moden seperti emas kuning bertatah berlian atau batu permata berwarna menjadi pilihan utama. Cincin ini digelar “cincin menanti mimpi”, menggambarkan harapan masa hadapan yang bakal dibina pasangan tersebut. Walaupun reka bentuknya kini lebih kontemporari, makna budaya kekal tersimpan di dalamnya.


Masyarakat India – Thali Sebagai Ikatan Suci yYang Mengikat Hidup Suami Isteri
Bagi masyarakat India, Thali ialah simbol paling penting dalam perkahwinan. Ia merupakan benang atau rantai yang mengikat kedua-dua mempelai secara sah. Dahulunya, perhiasan ini diperbuat daripada daun palma, kini Thali dihasilkan daripada emas kuning agar lebih tahan lama dan bernilai.
Rekaan moden termasuk:
- Thali berpintal
- Thali bersauh mesin padu
- Thali dengan perincian ukiran halus
Selain itu, gelang tangan emas 916 menjadi simbol kesejahteraan dan kemakmuran rumah tangga. Semakin banyak gelang yang dihadiahkan atau semakin teliti pembuatannya, semakin besar doa untuk kebahagiaan pasangan.

Gelang Tangan Emas 916 SG63160325-BI
Dengan ini, kita dapat lihat yang mana setiap cincin dan setiap perhiasan yang disarungkan dalam adat perkahwinan Malaysia bukan sekadar hiasan fizikal, tetapi pernyataan rasa dan restu antara dua keluarga. Walaupun generasi kini semakin memilih rekaan moden seperti emas ros, berlian bersijil atau rekaan Itali, makna di sebalik setiap pemberian tidak berubah.
Ini kerana menerusi pemberian barang perhiasan ini, ia menjadi saksi cinta tidak kira dalam kalangan adat Melayu, Punjabi, Iban Cina, Kadazan Dusun hingga India. Dalam dunia yang semakin moden, ia terus menjadi pengikat budaya dan penyambung warisan merentas generasi.