ZUS Gula Melaka Dan Iced Ube Latte Mencatatkan Jualan Lebih 4 Juta Cawan Sejak Dilancarkan

November 17, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Siri Taste The World bukan sekadar meraikan perjalanan ZUS Coffee di rantau ini, tetapi turut membuktikan betapa kuatnya sambutan terhadap perisa Asia Tenggara. Daripada empat minuman serantau yang diperkenalkan, prestasi jualannya menunjukkan bahawa pengguna benar-benar mencari sesuatu yang terasa dekat dengan rumah.

Di Malaysia, dua perisa yang dilancarkan lebih awal iaitu ZUS Gula Melaka dan Iced Ube Latte — terus mendominasi carta jualan. Lebih 2.5 juta cawan Gula Melaka dan 1.5 juta cawan Ube Latte telah dinikmati sejak diperkenalkan, menandakan minat yang mendalam terhadap perisa asli dan nostalgia.

Menambah kepada momentum itu, Thai Milk Tea sebagai perisa terbaru pula menunjukkan penerimaan yang sangat pantas. Sejak pelancarannya pada 3 November 2025, minuman ini sudah mencecah sekitar 100,000 cawan terjual — satu angka yang mengesahkan tempatnya sebagai pilihan baharu di kalangan peminat minuman serantau.

Selari dengan kejayaan jualan siri minuman ini, ZUS Coffee turut meraikan satu lagi pencapaian besar — jenama tempatan ini kini sudah mencapai 1,000 cawangan di seluruh negara. Pertumbuhan yang begitu pesat ini menyaksikan yang mana sebuah kedai baharu muncul setiap 27 jam sepanjang 2024, menjadikan ZUS antara rangkaian kopi yang paling cepat berkembang di rantau ini.

Apa yang lebih menarik, perjalanan ZUS kini melangkaui sempadan Malaysia. Dari Filipina ke Singapura, Brunei dan terbaru, Thailand, ZUS Coffee terus mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara dengan membawa identiti dan inovasi minuman yang dekat di hati pengguna serantau.

Menurut ZUS, langkah ke hadapan bukan sekadar tentang membuka lebih banyak cawangan, tetapi tentang menjadi sebahagian daripada ekosistem kejiranan di setiap lokasi — sama ada di bandar mahupun di kawasan luar bandar. Mereka mahu hadir sebagai “2.5 space” untuk semua yang menawarkan ruang singgah yang selesa dengan tempat duduk, WiFi dan secawan minuman yang lazat untuk dinikmati.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd