PROTON Saga 2025 Mencatatkan 10,000 Tempahan Dalam Masa Lima Hari
Lina Rosli
PROTON sekali lagi mencuri tumpuan industri automotif tempatan apabila Saga 2025 merekodkan 10,000 tempahan hanya dalam tempoh lima hari selepas harga anggaran diumumkan pada 10 November.
Jumlah ini bersamaan 2,000 tempahan sehari, 83 setiap jam, atau satu tempahan setiap 43 saat.

Menurut PROTON, penyerahan kereta kepada pelanggan dijadualkan bermula sebaik sahaja pelancaran rasmi berlangsung, dan usaha meningkatkan kapasiti produksi di Tanjong Malim sedang dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Untuk pengetahuan anda, model Saga baharu ini dipacu enjin i-GT 1.5L generasi baharu yang digandingkan dengan transmisi CVT untuk pemanduan lebih lancar dan cekap.
Ia juga turut menerima penaiktarafan yang ketara dari aspek keselamatan berbanding model sebelumnya yang mana PROTON Saga 2025 ini hadir dengan sembilan ciri ADAS serta enam beg udara. Bahagian dalaman pula menerima transformasi besar dengan paparan skrin berkembar bersepadu 16-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dipasang secara nirwayar.

Rekaan luarannya juga diperkemas dengan identiti Saga yang lebih kontemporari, termasuk sentuhan perincian berinspirasikan sulaman songket, sekaligus mengekalkan jiwa Malaysia dalam model ini.
Tawaran Awal Eksklusif Untuk 10,000 Pelanggan Seterusnya
Bagi meraikan permintaan tinggi, PROTON menawarkan pakej eksklusif kepada 10,000 pelanggan berikutnya yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi, dengan pendaftaran lengkap sebelum 31 Disember 2025. Tawaran ini merangkumi:
- Servis percuma 1 tahun atau 20,000 km (termasuk caj buruh dan alat ganti)
- Kad Touch ‘n Go Edisi Terhad PROTON Saga 2025
— tertakluk kepada terma dan syarat

Bagi yang berminat, anda boleh mula melakukan pratempah bermula hari ini di rangkaian PROTON di seluruh negara. Harga yang disasarkan untuk model Saga 2025 ini adalah sekitar RM40,000 hingga RM50,000.