Benarkah Muzik Berupaya Mengatasi Masalah Tekanan Dan Gangguan Mental?

November 24, 2025
fakta menarik

Bat

Dalam era moden ini, kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental boleh dikatakan semakin meningkat dalam kalangan individu. Tekanan kerja, cabaran kehidupan seharian, dan perubahan emosi yang tidak menentu menjadikan pengurusan tekanan dan emosi satu keperluan penting – tidak kira di rumah mahupun di pejabat.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, seramai 4.6% penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding 2019.

Perkembangan ini bukan sahaja membimbangkan, malah menggambarkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha serta memperkenalkan pendekatan yang lebih efektif dan praktikal dalam menangani isu kesihatan mental di negara ini.

Salah satu pendekatan yang semakin diberi perhatian dalam menyokong kesihatan mental ialah muzik. Berdasarkan kajian yang memfokuskan kepada penggunaan muzik dalam kesejahteraan emosi, pakar mendapati bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan alat yang berupaya meningkatkan kestabilan emosi, menurunkan tekanan dan menyokong fungsi sistem imun.

Dalam konteks kesihatan mental, penggunaan muzik dapat diaplikasikan melalui dua kaedah utama:

  • Terapi Muzik Profesional – Dilaksanakan oleh ahli terapi terlatih untuk individu yang berdepan kemurungan, kebimbangan atau kesukaran mengekspresikan emosi secara lisan.
  • Intervensi Muzik Harian – Melibatkan aktiviti ringkas seperti mendengar lagu, menyanyi atau bermain alat muzik bagi tujuan menenangkan diri dan menyokong kesejahteraan emosi.

Secara umumnya, hubungan manusia dengan muzik telah bermula sejak dalam kandungan. Ritma lembut, intonasi suara dan nyanyian ibu bukan sahaja membantu menenangkan bayi, tetapi turut menyokong perkembangan emosi serta mengukuhkan ikatan awal antara ibu dan anak.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa muzik memainkan peranan penting dalam pembentukan kesejahteraan emosi sejak peringkat awal kehidupan.

Melalui pelbagai kajian, muzik didapati memberikan tiga manfaat utama terhadap kesejahteraan mental seperti:

#1 Menurunkan Tekanan Dan Kebimbangan

Muzik dikenal pasti sebagai cara yang berkesan untuk mengurangkan tekanan kerana ia membantu menurunkan paras kortisol, memperlahankan degupan jantung dan menstabilkan kadar pernafasan.

Mendengar muzik yang tenang seperti instrumental atau klasik boleh mencetuskan tindak balas relaksasi yang membuatkan fikiran lebih fokus, tubuh lebih tenang dan tidur menjadi lebih berkualiti.

Kajian juga menunjukkan bahawa muzik yang perlahan dapat mengaktifkan bahagian otak yang mengawal emosi, sekali gus mewujudkan rasa lega dan mengurangkan kebimbangan harian.

#2 Sokongan Emosi Untuk Individu Depresi

Bagi individu yang bergelut dengan kemurungan, muzik bertindak sebagai medium yang memudahkan ekspresi emosi tanpa tekanan untuk berkomunikasi secara lisan.

Melalui rangsangan pada struktur otak seperti amygdala, muzik membantu menstabilkan mood dan mengurangkan rasa terasing. Ia bukanlah rawatan utama, namun ia menjadi pelengkap yang membantu individu mengurus emosi dengan lebih baik, terutama apabila muzik digunakan secara konsisten dalam rutin harian atau dalam sesi terapi.

#3 Memberi Impak Kepada Otak dan Tubuh

Akhir sekali, kesan muzik sebenarnya tidak hanya dirasai secara emosi, tetapi turut memberi tindak balas fizikal terhadap tubuh.

Muzik yang menenangkan terbukti mengurangkan tekanan fisiologi, memperlahankan sistem saraf simpatetik dan membantu menyeimbangkan respons tubuh terhadap tekanan.

Walaupun kajian mengenai peningkatan antibodi masih di peringkat awal, dapatan menunjukkan bahawa aktiviti seperti menyanyi atau bermain alat muzik mampu menurunkan ketegangan otot dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.

Secara keseluruhan, muzik bukan sekadar hiburan tetapi satu alat sokongan emosi yang terbukti membantu menurunkan tekanan, mengurangkan kebimbangan dan menguatkan kesejahteraan mental.

Sama ada melalui terapi profesional atau sekadar mendengar lagu dalam rutin harian, muzik menawarkan ruang selamat untuk menenangkan fikiran, mengawal emosi dan memulihkan tenaga.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd