Alahan Dalam Kalangan Kanak-Kanak – Ini Langkah Awal Yang Perlu Ibu Bapa Ambil Berat
Lina Rosli
Di tengah-tengah persekitaran bandar yang semakin padat dan penuh pencemaran, Malaysia menyaksikan peningkatan yang ketara dalam kes alahan kanak-kanak. Jika dahulu alahan dianggap masalah kecil, kini ia menjadi isu kesihatan yang memberi kesan langsung kepada rutin harian, pembelajaran dan kualiti hidup kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, kini, dianggarkan seorang daripada lima kanak-kanak di negara ini mengalami alahan, menjadikan pengetahuan dan tindakan awal oleh ibu bapa sebagai faktor penting dalam menguruskan keadaan ini.

Menurut Dr. Noor Zehan Abdul Rahim, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Pernafasan Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, alahan tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan jauh melangkaui simptom yang kelihatan.
Kehidupan bandar turut meningkatkan pendedahan kepada alergen seperti hama habuk, asap dan pencemaran – keadaan yang boleh memburukkan gejala bagi kanak-kanak yang sensitif. Di rumah sendiri, alergen ini banyak tersembunyi dalam tilam, permaidani atau barangan fabrik lain yang jarang dibersihkan secara mendalam.
Bentuk Alahan Yang Lazim Dan Bagaimana Ia Muncul
Di Malaysia, hama habuk kekal sebagai pencetus utama bagi alahan pernafasan. Bukan itu sahaja, alergen lain seperti:
- bulu haiwan peliharaan
- kulat
- debunga serta alahan makanan seperti kacang tanah, makanan laut dan susu turut berada dalam senarai punca lazim.
Sebahagian besar simptom mula dikesan antara usia dua hingga tiga tahun, namun alahan makanan boleh muncul seawal enam bulan. Sementara itu, rinitis alergi juga merupakan antara alahan paling lazim – sering muncul sekitar usia lima hingga enam tahun.

Dan kebiasaannya, gejala alahan biasa dialami oleh individu termasuklah:
- bersin berulang
- hidung berair dan tersumbat
- batuk
- kulit merengsa atau ekzema
Dalam kes alahan makanan, simptom gastrointestinal seperti muntah dan cirit-birit menjadi petunjuk penting yang tidak boleh diabaikan. Ibu bapa disarankan mengenal pasti corak atau kekerapan simptom melalui catatan diari, terutama apabila ia muncul selepas pengambilan makanan tertentu atau selepas terdedah kepada persekitaran khusus.
Risiko Alahan Kepada Kanak-Kanak
Kesan alahan tidak terhad kepada ketidakselesaan fizikal. Jika tidak dirawat, ia mampu membawa kepada komplikasi jangka panjang seperti sinusitis kronik atau asma.
Peningkatan kadar asma dalam kalangan kanak-kanak Malaysia juga menambah kebimbangan, dengan peratusan meningkat dalam kedua-dua kategori umur 6 hingga 7 tahun dan 13 hingga 14 tahun. Keadaan ini berpotensi mengganggu tidur, fokus pembelajaran dan aktiviti seharian mereka.
Dr. Noor Zehan menegaskan bahawa pencegahan dan rawatan awal mampu mengubah sepenuhnya perjalanan kesihatan seseorang kanak-kanak.

Panduan Praktikal Untuk Ibu Bapa
Untuk memastikan kesihatan terjamin, amalan mudah boleh dilaksanakan di rumah bagi membantu mengawal persekitaran anak:
- Mengurangkan perabot atau barangan yang mengumpul debu serta menggunakan sarung kalis hama pada tilam dan bantal.
- Membersih secara berkala menggunakan vakum dengan penapis HEPA.
- Mengehadkan akses haiwan peliharaan ke ruang tidur kanak-kanak, terutama bagi mereka yang sensitif.
- Memperkenalkan makanan berisiko dengan panduan doktor, terutamanya kacang dan telur, sambil memastikan bentuk tekstur yang selamat untuk elakkan tersedak.
- Mengelakkan penggunaan pewangi atau bahan kimia yang boleh merengsakan saluran pernafasan.
Selain langkah pencegahan, cabaran lain ialah mitos seputar alahan kanak-kanak. Ramai beranggapan bahawa semua alahan akan hilang dengan sendirinya apabila anak semakin dewasa, sedangkan hakikatnya kebanyakan alahan kekal sehingga usia dewasa sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Begitu juga dengan kepercayaan bahawa minuman sejuk mencetuskan masalah pernafasan, sedangkan faktor sebenar adalah pendedahan kepada alergen dan bukannya suhu minuman.
Untuk pengetahuan anda, apabila meminum air sejuk atau berada di kawasan sejuk, tahap sensitiviti tekak atau saluran pernafasan adalah lebih tinggi. Individu yang mempunyai alahan mungkin akan berasa tightness selepas minum ais. Ini kerana saluran pernafasan boleh mengecut sedikit apabila terdedah kepada suhu yang sangat sejuk
Selain daripada suhu minuman, kebimbangan mengenai penggunaan inhaler juga sering timbul. Ramai yang berpendapat yang mana penggunaan inhaler ini akan membuat ketagihan. Namun ia sebenarnya merupakan alat penting untuk mengawal simptom. Dalam kebanyakan kes, rawatan yang betul membantu mengurangkan kebergantungan terhadap ubat secara beransur-ansur apabila keadaan anak bertambah baik.
Kesan Pandemik Dan Keperluan Membangunkan Semula Imuniti
Selepas perintah kawalan pergerakan dilaksanakan pada tahun 2021 yang lalu, ia secara tidak langsung telah mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan dan pencetus persekitaran, sekaligus mengurangkan risiko alahan kepada kebanyakan individu.
Dan ini, secara tidak langsung turut mengekang peluang kanak-kanak membina imuniti semula jadi terhadap persekitaran. Apabila aktiviti sosial kembali seperti biasa selepas pandemik, lebih ramai kanak-kanak dilihat menunjukkan sensitiviti terhadap alahan kerana kekurangan pendedahan tersebut.

Sehubungan itu, Dr. Noor Zehan menyarankan agar ibu bapa memperkenalkan anak kepada pelbagai jenis persekitaran secara beransur-ansur sambil mengekalkan tahap kebersihan asas. Pendekatan ini membantu sistem imun mereka kembali berfungsi secara seimbang, di samping memudahkan pengenalpastian pencetus yang mungkin mencetuskan simptom alahan.
Menguruskan alahan kanak-kanak bukan sekadar usaha harian di rumah. Pemeriksaan berkala bersama pakar pediatrik penting untuk memastikan pengesanan awal, rawatan yang sesuai dan pemantauan berterusan. Tahun-tahun awal kehidupan merupakan tempoh yang paling kritikal untuk membentuk asas kesihatan masa hadapan anak.
Dengan pengetahuan yang tepat dan tindakan yang konsisten, ibu bapa bukan sahaja dapat mengurangkan beban alahan yang dialami anak, tetapi juga membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih sihat, aktif dan berkualiti.