Tahukah Anda Bunyi Lampu Isyarat Volvo Diinspirasikan Daripada Bunyi Ranting Pokok Patah
Lina Rosli
Volvo sememangnya sinonim dengan inovasi keselamatan, dan satu aspek menarik yang mungkin orang ramai tidak tahu adalah ketelitian Volvo Cars dalam membina sebuah kenderaan yang lengkap dan bermutu.
Selain daripada ciri keselamatan dan juga pengalaman pemanduan yang mantap, terdapat beberapa aspek lain yang turut diberi perhatian oleh Volvo. Ini merujuk kepada ciri lain seperti bunyi ‘klik’ untuk lampu isyarat kenderaan mereka ketika pemandu ingin membelok ke kiri atau kanan.

Untuk pengetahuan anda, jurutera audio dari Volvo Cars sebenarnya hadir dengan satu inovasi menarik untuk bunyi indikator lampu isyarat kenderaan atau signal lamp mereka.
Di ibu pejabat Volvo di Gothenburg, Sweden, sebuah fasiliti khas dikenali sebagai Active Sound Experience bertanggungjawab membangunkan bunyi untuk kenderaan Volvo masa kini dan akan datang.

Dalam satu sesi lawatan ke fasiliti tersebut, pereka bunyi Volvo, Frederick Hagman, memperkenalkan bunyi yang bakal digunakan oleh model elektrik XC40 Recharge, termasuk ketika kenderaan berhenti, bergerak perlahan dan mengundur.
Menariknya, Hagman turut berkongsi satu fakta unik tentang bunyi indikator lampu isyarat Volvo yang kita dengar setiap hari. Bunyi ‘klik’ tersebut sebenarnya dihasilkan daripada bunyi ranting pokok yang dipatahkan. Ranting itu diambil daripada pokok spruce atau fir di sebuah hutan yang terletak kira-kira 60 batu dari ibu pejabat Volvo.

Pasukan Volvo merakam hampir 300 bunyi ranting patah di hutan tersebut untuk mendapatkan bunyi asas yang tepat. Selepas meneliti setiap rakaman, bunyi yang dipilih kemudian dilapiskan dan dilaraskan dari segi pitch bagi menghasilkan dua variasi bunyi indikator yang digunakan dalam kenderaan Volvo hari ini.
Menarik bukan? Maka, tidak hairanlah mengpa bunyi indikator lampu isyarat Volvo kedengaran lebih unik dan tidak terlalu “mekanikal” jika dibandingkan dengan pengeluar kenderaan yang lain.

Dengan menggunakan bunyi ini, Volvo Cars menjangkakan yang mana ia bukan hanya membantu pemandu menyedari pengaktifan lampu isyarat dengan lebih mudah, terutama ketika memandu dalam persekitaran yang bising tetapi ia juga selari dengan identiti Scandinavian Volvo yang sering menggabungkan elemen alam semula jadi dengan teknologi moden.
Walaupun inovasi ini kelihatan seperti ciri kecil, namun ketelitian terhadap butiran ini menunjukkan bagaimana Volvo menitikberatkan pengalaman pemanduan secara holistik.