The Library by BookXcess – Kedai Buku Yang Beroperasi 24 Jam

December 11, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

BookXcess kini rasmi melancarkan pembukaan sebuah kedai buku yang beroperasi 24 jam di Sunway Square Mall – dikenali sebagai The Library by BookXcess.

Menurut BookXcess, The Library by BookXcess ini bukan sahaja berfungsi sebagai ruang membeli buku, tetapi turut direka sebagai destinasi santai dan inspirasi. Ia membolehkan pengunjung menikmati pengalaman membaca, meneliti koleksi buku pelbagai genre atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan pada bila-bila masa.

The Library by BookXcess menampilkan barisan rakan gaya hidup yang juga beroperasi 24 jam bagi melengkapkan pengalaman pengunjung.

Kenny Hills Bakers hadir dengan seleksi roti dan pastri buatan tangan serta menu baharu khusus untuk lokasi ini, manakala Becon Stationery menawarkan rangkaian alat tulis berkualiti keluaran tempatan. FRAK/TURE Fashion Studio pula membawa pilihan fesyen terpakai berkonsepkan brutalist, dan Good Mojo Smoothies melengkapkan ruang dengan minuman berasaskan bahan bersih dan perisa yang menyegarkan.

Kesemua elemen ini digabungkan untuk mewujudkan sebuah ruang yang terbuka kepada semua — tempat untuk membaca, berehat, belajar, berkumpul atau berkarya pada bila-bila masa sepanjang hari.

Dengan operasi tanpa henti, The Library by BookXcess dijangka menjadi salah satu tarikan utama di Sunway Square Mall serta mengukuhkan lagi peranan BookXcess sebagai peneraju dalam memperluaskan akses kepada ilmu dan budaya membaca dalam masyarakat. Ini adalah ruang yang dirancang untuk menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian, sekaligus mengangkat kedai buku ke tahap yang lebih moden dan inklusif.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd