UNIQLO Malaysia Raikan Ulang Tahun Ke-30 Tamagotchi Dengan Koleksi UT Eksklusif
Lina Rosli
UNIQLO Malaysia meraikan ulang tahun ke-30 Tamagotchi menerusi pelancaran koleksi UT eksklusif yang mengangkat nostalgia permainan digital ikonik era 90-an.
Koleksi istimewa ini menggabungkan elemen seni piksel klasik Tamagotchi dengan rekaan moden LifeWear yang sesuai untuk gaya harian, sekaligus menyatukan memori masa lalu dengan sentuhan kontemporari.

Untuk yang tidak mengetahui, Tamagotchi diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1996 oleh Bandai dan ianya pernah menjadi fenomena global dengan konsep haiwan peliharaan digital berbentuk telur yang perlu dijaga setiap hari.
Sempena ulang tahun ke-30 jenama tersebut, UNIQLO menampilkan koleksi UT yang diinspirasikan daripada rekaan asal Tamagotchi, termasuk grafik antaramuka permainan vintaj serta karakter ikonik yang pernah menemani zaman kanak-kanak ramai.
Koleksi ini menampilkan rekaan seni piksel klasik yang memaparkan cangkerang Tamagotchi generasi pertama serta karakter popular seperti Ginjirotchi, Kuchipatchi, Mametchi, Mimitchi dan Pochitchi.

Beberapa koleksi fesyen ini juga turut dilengkapi dengan perincian sulaman dan cetakan belakang yang meraikan kitaran kehidupan Tamagotchi, daripada peringkat telur hingga menetas, menjadikan setiap helaian lebih istimewa dan bernilai koleksi.

Bagi menyemarakkan pelancaran koleksi ini, UNIQLO turut memperkenalkan mini permainan digital khas bertajuk Tamago Catch yang boleh diakses menerusi laman web rasmi UNIQLO Malaysia.
Permainan interaktif ini menampilkan Mametchi yang mengenakan UT, keluar daripada peranti Tamagotchi untuk mengumpul item dan makanan yang jatuh. Pengenalan permainan ini dilihat sedikit sebanyak menghidupkan semula pengalaman bermain Tamagotchi dalam bentuk digital moden.

Koleksi UNIQLO UT x Tamagotchi akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Disember 2025 dan boleh didapati di semua butik UNIQLO di Malaysia serta melalui kedai atas talian uniqlo.com.
Koleksi ini merangkumi empat rekaan eksklusif T-shirt UT lengan pendek untuk wanita dengan harga RM59.90 setiap satu, serta satu item UT Original Tamagotchi berharga RM99.90.