Luckin Coffee Kini Memperkenalkan Trak Kopi Khusus Untuk Festival Dan Acara Komuniti, Seperti Majlis Perkahwinan
Lina Rosli
Luckin Coffee baru-baru ini hadir dengan pendekatan strategik baharu dalam memperluaskan akses mereka kepada umum menerusi pelancaran trak kopi pertama mereka iaitu Luckin Coffee Mobile Truck – sebelum ini, mereka turut mengumumkan pembukaan kedai mercu pertama mereka di SkyAvenue, Resorts World Genting.
Menurut Luckin Coffee, pengenalan trak kopi ini adalah bertujuan untuk memperlihatkan pendekatan jenama yang lebih dinamik dalam meluaskan jangkauan. Unit bergerak ini direka untuk membawa menu signature Luckin Coffee ke festival, universiti, kawasan kejiranan, hab gaya hidup dan acara komuniti di seluruh negara.

Selain meningkatkan keterlihatan jenama, inisiatif ini juga berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkenalkan produk kepada pelanggan baharu serta mengukuhkan kehadiran Luckin Coffee di lokasi berimpak tinggi.
Untuk pengetahuan anda, kedai mercu Luckin Coffee hadir dengan kapasiti ruang sebesar 2,084 kaki persegi – yang mana apa yang membezakan cawangan ini dengan kedai biasa mereka adalah penampilan susun atur berkonsepkan taman tema yang menyatu dengan suasana hiburan dan gaya hidup dinamik di Resorts World Genting.
Reka bentuknya menampilkan elemen unik seperti ruang tempat duduk “Luckin” bersaiz besar, bar kopi berkonsepkan Merry-Go-Round, zon tempat duduk bertemakan roller coaster, pengenalan zon interaktif “Charge Your Luck” serta dinding IP yang menampilkan karakter ikonik jenama, Lucky.

Bagi anda yang ingin berkunjung ke cawangan ini, Luckin Coffee turut memperkenalkan minuman eksklusif Grape Cloud Frappe, tersedia hanya di cawangan Genting Highlands – ia merupakan minuman berasaskan anggur yang menawarkan rasa segar dengan tekstur berkrim dan kemasan krim putar lembut, sesuai dinikmati dalam suasana percutian seisi keluarga.

Kehadiran stor flagship ini melengkapkan rangkaian Luckin Coffee di Genting Highlands yang kini merangkumi tiga konsep berbeza, termasuk cawangan ambil dan pergi di Highlands Hotel dan Antara Genting Relaxed Store.
Menjelang akhir 2025, Luckin Coffee Malaysia kini dilihat berada pada landasan kukuh untuk menamatkan fasa pengembangan pesatnya, selari dengan strategi jangka panjang dalam membina kehadiran nasional yang mampan.