Seiko Hadir Dengan Dua Utas Jam Tangan Seiko 5 Sports Edisi Terhad – Eksklusif Thong Sia
Lina Rosli
Khusus untuk anda yang mengemari model Seiko 5 Sports, jenama jam tangan terkemuka Jepun ini dilihat hadir dengan dua model baharu iaitu SRPM11K1 dan SRPM13K1 yang ditawarkan secara eksklusif untuk Thong Sia Group – yang mana ia menampilkan reka bentuk yang mengambil inspirasi daripada sukan musim sejuk seperti ski dan snoeboarding.
Berdasarkan perkongsian Seiko, dua jam tangan ini hadir dengan skema warna ungu dan coklat yang mencerminkan estetika fesyen musim sejuk moden. Ia direka dengan teliti di samping masih mengekalkan ciri ketahanan koleksi Seiko 5 Sports.

Untuk kedua-dua model ini, ia hadir dengan saiz jam 42.5mm – selain turut hadir dengan antaramuka yang minimalis. Ia dilengkapi dengan jarum dail dan indeks berwarna putih terang dengan kemasan Lumibrite. Ini bagi memastikan pengalaman penggunaan dan membaca waktu lebih konsisten dalam pelbagai keadaan cahaya.
Selain itu, jam tangan ini turut digerakkan oleh Caliber 4R36 yang mana ia hadir dengan fungsi seconds-stops serta paparan hari dan tarikh pada dail jam 3.

Bukan itu sahaja, model SRPM11K1 dan SRPM13K1 dilengkapi sarung serta gelang keluli tahan karat, kaca Hardlex, penutup belakang lutsinar jenis skru, serta ketahanan air sehingga 10 bar. Jam tangan ini turut mempunyai rizab kuasa selama 41 jam, 24 batu permata, dan rintangan magnet sehingga 4,800 A/m.

Bagi yang berminat, Seiko 5 Sports edisi terhad ini telahpun mula ditawarkan di butik Seiko dan pengedar sah terpilih di Malaysia, Brunei, Hong Kong, Macau dan Singapura. Untuk setiap model, ia dihasilkan dalam kuantiti terhad iaitu sebanyak 1,000 unit sahaha. Dari segi harga, ia ditawarkan pada harga RM1,600 bagi setiap unit.