Dobi Layan Diri Bantu Isi Rumah Jimat 300 Jam Setahun, dobiQueen Rancang Buka 20 Cawangan Baharu Di Sabah Dan Sarawak
Lina Rosli
Ketika Malaysia menetapkan sasaran untuk meningkatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh wanita (KPTB) kepada 60 peratus menjelang 2033, realiti semasa masih menunjukkan jurang ketara antara penyertaan wanita dan lelaki dalam pasaran kerja.
Data terkini merekodkan KPTB wanita pada 56.4 peratus, jauh di belakang lelaki yang mencatatkan 83.3 peratus – dan ini sekaligus menunjukkan cabaran masa kini yang masih membelenggu wanita, khususnya ibu bapa tunggal.
Golongan ini sering memikul tanggungjawab berganda apabila perlu mengimbangi pekerjaan bergaji dan kerja pengasuhan tidak bergaji secara serentak.

Menurut kaji selidik Khazanah Research Institute (KRI) pada 2019, wanita di Malaysia menghabiskan masa yang jauh lebih panjang untuk kerja pengasuhan dan pengurusan rumah tangga berbanding lelaki, walaupun jumlah masa bekerja bergaji adalah hampir setara.
Beban kerja seperti memasak, mengemas dan menjaga anak bukan sahaja memerlukan tenaga fizikal, malah menuntut fokus mental serta pengurusan masa yang konsisten.
Dalam usaha menyokong agenda pekerjaan inklusif, dobiQueen tampil sebagai antara syarikat tempatan yang mengambil langkah proaktif dengan menggaji ibu bapa tunggal serta komuniti B40. Melalui pendekatan ini, syarikat tersebut bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang stabil, malah menawarkan sokongan jangka panjang bagi membantu pekerja membina keyakinan dan kestabilan ekonomi.
Sebagai lanjutan kepada komitmen tersebut, dobiQueen memperkenalkan Program Sokongan Kebajikan Ibu Bapa Tunggal yang menawarkan insentif bulanan sehingga RM500 kepada pekerja ibu atau bapa tunggal berprestasi tinggi.

Inisiatif ini bertujuan mengurangkan tekanan kewangan harian, di samping memperkukuh daya tahan tenaga kerja dalam jangka masa panjang. Pendekatan ini selari dengan matlamat syarikat untuk memperkasa wanita dan membina ekosistem kerja yang lebih menyokong keperluan keluarga.
Komitmen dobiQueen terhadap kebajikan komuniti turut dilaksanakan melalui kerjasama bersama beberapa organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan kesejahteraan wanita dan keluarga. Antaranya termasuk Yayasan Dignity for Children, Kintry, PichaEats, Komuniti Tukang Jahit (KTJ) dan The Asli Co.
Melalui kolaborasi ini, ibu tunggal, ibu pelarian serta wanita daripada kumpulan B40 telah diberi peluang menjana pendapatan dan meningkatkan kemahiran, sekali gus membuka laluan kepada mobiliti sosial yang lebih mampan. Antara inisiatif kebajikan yang dilaksanakan termasuk pemberian beg Raya peribadi kepada kanak-kanak melalui kerjasama dengan Yayasan Dignity for Children.

Dalam masa yang sama, dobiQueen turut memainkan peranan dalam mentakrifkan semula konsep kemudahan harian apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada perkhidmatan dobi layan diri. Tinjauan pelanggan menunjukkan bahawa keluarga, golongan bekerja dan pelajar memilih perkhidmatan dobi profesional untuk menjimatkan masa dan tenaga.
Secara purata, pengguna dapat menjimatkan antara 150 hingga 300 jam setahun, bersamaan kira-kira 25 jam sebulan, yang boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan diri dan keluarga.
Daripada lebih 15 juta cucian yang direkodkan, data pengguna mendapati sebahagian besar pelanggan menggunakan masa tambahan tersebut untuk mengeratkan hubungan bersama anak-anak, diikuti aktiviti sosial, pengurusan perniagaan dan penjagaan diri.

Trend ini sejajar dengan peningkatan penggunaan dobi layan diri di rantau Asia Pasifik, yang didorong oleh urbanisasi pesat, pertumbuhan kelas pertengahan dan penggunaan teknologi digital.
Dengan lebih sedekad pengalaman dalam industri, dobiQueen memanfaatkan data daripada aplikasi mudah alihnya untuk memahami tabiat mencuci pelanggan. Aplikasi ini membolehkan pengguna mencari cawangan terdekat serta mengendalikan mesin basuh dan pengering melalui imbasan kod QR, tanpa keperluan token atau kiosk fizikal, sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Ke hadapan, dobiQueen merancang untuk mengembangkan operasinya ke Sabah dan Sarawak dengan sasaran membuka 20 cawangan baharu setahun, merangkumi bandar utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching.

Strategi ini disokong oleh amalan penanda aras dengan peneraju industri dobi global seperti Jepun dan Korea, sambil menyesuaikan inovasi mengikut tingkah laku dan keperluan pengguna tempatan, terutamanya dari aspek keselamatan dan kebolehpercayaan.
Dengan nilai pasaran perkhidmatan dobi global dianggarkan mencecah AS$45.85 bilion pada 2025 dan dijangka berkembang kepada AS$273.0 bilion menjelang 2032, langkah dobiQueen memperkukuh sokongan sosial dan memanfaatkan teknologi dilihat bukan sahaja relevan dari sudut perniagaan, malah signifikan dalam menyokong kesejahteraan isi rumah dan penyertaan wanita dalam ekonomi negara.