Menyusun Semula Keutamaan Kesihatan Menjelang Tahun 2026
Lina Rosli
Apabila menjelang tahun baharu, ungkapan seperti “Tahun Baharu, Azam Baharu” sering menjadi sebutan ramai, bersama pelbagai nasihat tentang cara menetapkan matlamat dan membentuk rutin kesejahteraan bagi meningkatkan tahap kesihatan.
Oleh itu, bagi tahun 2026, pendekatan yang sedikit berbeza boleh dipertimbangkan oleh rata-rata individu.
Daripada terus mencabar diri untuk melakukan lebih banyak perkara, pemilihan amalan yang lebih bijak dan bersesuaian dengan keperluan diri dilihat lebih praktikal dan mampan.

Menurut Dr Vipada Sae-Lao, Ketua Latihan dan Pendidikan Pemakanan Asia Pasifik di Herbalife, kesejahteraan bukan satu proses yang seragam untuk semua individu. Apa yang berkesan untuk seseorang mungkin tidak sesuai dengan kesihatan badan atau gaya hidup individu lain.
Jadinya, matlamat utama adalah untuk membentuk azam yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas kesihatan, malah disesuaikan dengan gaya hidup, tahap kecergasan dan kesibukan harian, agar keseimbangan hidup dapat dicapai secara berterusan.
Beralih Kepada Gaya Hidup Berasaskan Pencegahan
Berdasarkan Tinjauan Pemakanan Tambahan Bertanggungjawab Asia Pasifik Herbalife 2025, ia mendedahkan bahawa penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan semakin diberi keutamaan oleh rakyat Malaysia.
Perubahan ini mencerminkan peralihan minda ke arah pengurusan kesejahteraan yang lebih proaktif.
Selain itu, Tinjauan Perhubungan Awam Memperkasakan Kesihatan & Ekonomi APAC 2025 turut mendapati bahawa 61 peratus responden di Malaysia menilai tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka sebagai sangat baik atau lebih baik, manakala 57 peratus menjangkakan penambahbaikan berterusan pada masa hadapan.

Harus diingatkan bahawa, pelaburan di dalam kesihatan diri tidak semestinya memerlukan perubahan ketara.
Sebaliknya, amalan yang konsisten, sihat dan berlandaskan sains merupakan pendekatan paling berkesan untuk memastikan tubuh kekal berdaya tahan.
Sebagai contoh, pengambilan pemakanan seimbang yang kaya dengan nutrien, aktiviti fizikal yang digemari, tidur berkualiti, pengambilan air mencukupi serta pengurusan tekanan yang berkesan merupakan unsur penting dalam mengekalkan kesejahteraan keseluruhan.
Amalkan Pengambilan Nutrien Yang Diperlukan Oleh Tubuh
Secara umumnya, kesihatan tubuh dapat dikekalkan apabila keperluannya dipenuhi secara menyeluruh, dan bukan sekadar mengikut trend semasa. Pendekatan ini menuntut pemahaman terhadap keperluan sebenar badan, agar setiap amalan yang dilakukan menyokong kesejahteraan dalam jangka panjang.
Pemakanan yang diamalkan seharusnya mencerminkan metabolisme, keperluan nutrisi, matlamat kesihatan serta latar belakang budaya individu, supaya ia dapat disesuaikan secara semula jadi dalam rutin harian. Pendekatan pemakanan yang seimbang bukan sahaja memudahkan pematuhan jangka panjang, malah menyokong fungsi tubuh secara menyeluruh.

Makanan berkhasiat merangkumi protein rendah lemak bermutu tinggi, karbohidrat sihat, asid lemak penting, serat, vitamin, mineral serta pelbagai jenis antioksidan yang berperanan menyokong tahap tenaga, pemulihan badan dan kesejahteraan keseluruhan. Keperluan nutrisi ini perlu dipenuhi secara konsisten bagi memastikan tubuh kekal bertenaga dan berfungsi dengan baik.
Selain itu, pengambilan air yang mencukupi, pengurusan tekanan yang berkesan serta sokongan terhadap kesihatan usus menerusi makanan kaya serat, probiotik dan amalan makan secara sedar turut menjadi pelengkap penting kepada pemakanan harian yang sihat.
Pemakanan yang baik perlu digabungkan dengan pergerakan atau senaman yang digemari dan mampu diamalkan secara konsisten. Aktiviti fizikal yang sesuai membantu mencergaskan tubuh dan menyokong kesihatan secara keseluruhan, tanpa memberi tekanan berlebihan kepada badan.

Dalam masa yang sama, tidur dan rehat berkualiti wajar diberi keutamaan kerana ia memainkan peranan penting dalam menyokong metabolisme, mengekalkan keseimbangan hormon serta membantu proses pemulihan badan.
Sokongan Berlandaskan Sains Untuk Memenuhi Keperluan Anda
Dalam menyesuaikan rutin kesihatan, pemakanan tambahan atau suplemen wajar dipertimbangkan secara berhati-hati.
Hasil Tinjauan Pemakanan Tambahan Bertanggungjawab Herbalife Asia Pasifik 2025 menunjukkan bahawa 43 peratus rakyat Malaysia mengambil suplemen setiap hari, manakala 63 peratus melaporkan pengambilan lebih daripada satu jenis suplemen.
Walau bagaimanapun, 34 peratus responden menyatakan kurang yakin dalam memilih suplemen yang sesuai.
Pendekatan terbaik adalah dengan menjadikan suplemen sebagai pelengkap kepada diet harian, bukannya pengganti.
Pemilihan suplemen seharusnya berlandaskan sains, berkualiti tinggi dan diperoleh daripada sumber yang dipercayai. Mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan atau pakar pemakanan berkelayakan dapat membantu menyokong keperluan tenaga, keimunan dan fungsi harian tubuh secara berkesan.

Menguruskan Tekanan Sebagai Asas Kesejahteraan Jangka Panjang
Gaya hidup moden yang pantas sering dikaitkan dengan waktu kerja yang panjang, corak pemakanan tidak teratur, peningkatan tanggungjawab dan pendedahan digital yang berterusan.
Tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh memberi kesan terhadap sistem imun, fungsi usus, metabolisme serta keseimbangan hormon kortisol.
Amalan pengurusan tekanan yang ringkas seperti rehat berkala semasa bekerja, rutin menenangkan pada waktu malam, corak tidur yang konsisten serta mendapatkan sokongan profesional apabila diperlukan dapat membantu mengurangkan kesan tekanan harian.
Hubungan kekeluargaan dan sokongan komuniti yang kukuh juga dikenal pasti sebagai faktor penting dalam menyokong kesejahteraan mental dan emosi.
Teknologi Harian Yang Menyokong Kesihatan
Penggunaan teknologi juga boleh membantu memudahkan pemantauan kesihatan harian. Aplikasi dan peranti yang menjejak aktiviti fizikal, corak tidur, pengambilan makanan dan air mampu menyediakan struktur serta maklumat yang membantu mengekalkan amalan sihat.
Apabila digunakan secara konsisten, teknologi ini dapat menyokong pembentukan rutin kesejahteraan yang mampan dalam jangka panjang.

Secara keseluruhan, peningkatan kesihatan jangka panjang bermula dengan fokus kepada asas, pembentukan rutin yang realistik serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Dengan pendekatan yang praktikal dan berterusan, tahun 2026 berpotensi menjadi tahun yang lebih seimbang dan sejahtera.