Penyakit Gout – Makanan Yang Perlu Dihindari dan Pilihan Makanan Sewajarnya

January 19, 2026
Kesihatan

Bat

Menurut kajian, dianggarkan seramai 4.35 juta penduduk di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menghidap penyakit gout. Lebih membimbangkan lagi, jumlah kes penyakit ini menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus dalam tempoh antara tahun 1990 hingga 2020.

Peningkatan ini menandakan trend kenaikan yang semakin ketara dari tahun demi tahun dan jika tidak ditangani segera, ia berpotensi memberi impak serius kepada kesihatan awam.

Untuk pengetahuan, penyakit gout atau dikenali sebagai urik asid ini merupakan sejenis artritis yang berlaku akibat pengumpulan kristal asid urik dalam sendi, yang menyebabkan keradangan, bengkak, dan kemerahan secara tiba-tiba. Serangan sakit ini paling kerap berlaku di ibu jari kaki dan juga boleh melibatkan lutut, buku lali, dana pergelangan tangan.

Asid urik akan terbentuk apabila tubuh memecahkan bahan kimia yang dikenali sebagai purin. Dalam keadaan normal, asid urik akan disingkirkan melalui air kencing. Namun, jika badan menghasilkan terlalu banyak asid urik atau buah pinggang gagal menyingkirkannya dengan baik, ia akan terkumpul dan membentuk kristal tajam di sendi.

Oleh disebabkan itu, pemilihan makanan amatlah memainkan peranan besar dalam mengawal paras urik asid dalam badan manusia.

#1 Daging Merah

Antara makanan yang perlu dielakkan termasuk daging merah seperti daging lembu dan kambing, serta organ dalaman haiwan seperti hati, paru-paru, limpa dan usus yang mengandungi purin pada kadar yang sangat tinggi. Pengambilan makanan ini secara kerap boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah dengan cepat.

#2 Makanan Laut

Makanan laut tertentu juga perlu diberi perhatian, terutamanya ikan bilis, sardin, makarel, kerang, udang dan sotong. Walaupun makanan laut mempunyai manfaat nutrisi, kandungan purinnya yang tinggi boleh mencetuskan serangan gout jika diambil berlebihan oleh pesakit.

#3 Minuman Beralkohol dan Bikarbonat

Selain itu, minuman beralkohol, khususnya bir, merupakan antara pencetus utama serangan gout. Alkohol bukan sahaja meningkatkan penghasilan asid urik, malah mengganggu proses penyingkirannya melalui buah pinggang. Minuman bergula tinggi seperti minuman berkarbonat dan jus buah yang diproses juga wajar dielakkan kerana kandungan fruktosa boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

Makanan diproses dan segera seperti sosej, nugget, daging salai serta makanan dalam tin turut menyumbang kepada peningkatan risiko serangan gout kerana kandungan lemak tepu dan bahan tambahan yang tinggi. Pengambilan makanan di atas ini secara berlebihan boleh mencetuskan dan memburukkan serangan gout.

Makanan Yang Digalakkan dan Selamat

Walaupun terdapat pelbagai jenis makanan yang perlu dielakkan, pesakit gout masih boleh mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Sayur-sayuran, buah-buahan segar, bijirin penuh serta produk tenusu rendah lemak merupakan antara pilihan yang lebih selamat dan disarankan untuk membantu mengekalkan kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Bagi sumber protein, ayam tanpa kulit, telur dan kekacang boleh diambil secara sederhana. Walaupun terdapat beberapa jenis sayuran seperti bayam dan asparagus yang mengandungi purin, kajian menunjukkan bahawa purin daripada sumber tumbuhan jarang mencetuskan serangan gout – menjadikannya masih selamat untuk dinikmati sebagai sebahagian daripada diet harian yang seimbang.

Secara keseluruhan, penyakit gout boleh dikawal dengan pemilihan makanan yang betul dan sihat. Mengelakkan makanan tinggi purin serta mengamalkan diet seimbang dapat membantu mengurangkan serangan dan mengekalkan paras asid urik pada tahap terkawal. Jika simptom gout kekal berterusan, dapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar sewajarnya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd