Sekitar 2025 – 10 Perkembangan Besar Jenama Makanan & Minuman Yang Mencuri Perhatian Rakyat Malaysia
Lina Rosli
Tahun 2025 menyaksikan landskap industri makanan dan minuman di Malaysia terus berkembang dengan pelbagai pencapaian baharu yang bukan sahaja mencerminkan keyakinan pasaran tempatan, malah memperlihatkan bagaimana jenama global dan tempatan sama-sama menyesuaikan diri dengan keperluan pengguna.
Daripada pembukaan cawangan baharu berskala besar hinggalah pengenalan sub-jenama dan menu yang mencetuskan fenomena, berikut merupakan 10 berita jenama makanan dan minuman yang mencatatkan perkembangan memberangsangkan sepanjang tahun ini.
#1 Luckin Coffee Mula Memasuki Pasaran Malaysia – Menjadi Pesaing Kepada Jenama Kopi Tempatan
Kemasukan Luckin Coffee ke pasaran Malaysia menjadi antara berita paling mencuri perhatian pada tahun 2025.
Untuk pengetahuan anda, Luckin Coffee merupakan sebuah jenama kopi popular dari China yang menawarkan variasi pilihan kopi – selain turut menonjol dengan pengalaman runcit berasaskan teknologi.

Tidak seperti kebanyakan jenama kopi yang lain, Luckin Coffee hadir dengan solusi pesanan melalui aplikasi yang mana tidak menampilkan juruwang di kaunter – selain turut melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai sepenuhnya.
#2 ZUS Coffee Menjadi Antara Jenama Berkembang Pantas Di Malaysia – Miliki Lebih 1000 Cawangan Di Seluruh Malaysia Dalam Masa 6 Tahun
Bermula dengan sebuah cawangan di Kuala Lumpur pada tahun 2019, ZUS Coffee kini mempunyai 1,000 cawangan di seluruh rantau ini, termasuk Malaysia, Filipina dan Singapura — satu pencapaian luar biasa dalam tempoh hanya enam tahun.


Seiring dengan pertumbuhan pesat tersebut, ZUS Coffee sebelum ini telah mengatasi Starbucks dari segi jumlah cawangan di Malaysia, dengan lebih 740 cawangan beroperasi berbanding kira-kira 320 milik jenama antarabangsa itu.
Lonjakan ini didorong oleh strategi harga yang berpatutan, variasi pilihan menu setiap bulan, penggunaan teknologi untuk pesanan tanpa sentuhan dan juga kempen gaya hidup serta kolaborasi yang aktif bersama jenama tempatan.
#3 Paris Baguette Lancar Hab Pembuatan Halal Pertama Di Malaysia
Paris Baguette Malaysia pada taun ini juga dilihat komited dalam menembusi pasaran Muslim di Malaysia menerusi pelancaran hab pembuatan makanan halal pertamanya di Johor.
Langkah strategik ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran jenama ini di Malaysia tetapi juga mengukuhkan rantaian bekalan globalnya, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat dalam segmen makanan dan minuman halal di peringkat antarabangsa.

Dengan pasaran halal yang merangkumi lebih 2 bilion pengguna di seluruh dunia, pembukaan hab ini membuktikan komitmen Paris Baguette dan kumpulan induknya, SPC Group, dalam memenuhi standard halal yang ketat serta keperluan pengguna Muslim di seluruh dunia.
Hab ini juga akan menjadi pusat pengeluaran utama bagi produk halal Paris Baguette yang bukan sahaja akan memenuhi permintaan tempatan tetapi juga pasaran eksport.
#4 Lotteria, Jenama Makanan Segera Popular Korea Kini Dibuka Di The Curve
Jenama makanan segera dari Korea Selatan, Lotteria, turut mencuri tumpuan apabila membuka cawangan pertamanya di The Curve.
Untuk pengetahuan anda, Lotteria merupakan salah satu jenama di bawah Lotte Group. Jenama makanan ini dikenali di Korea, Jepun dan Vietnam sebagai antara peneraju dalam kategori fast food.

Pembukaan cawangan pertamanya di Malaysia ini menandakan langkah strategik jenama tersebut dalam memperluas kehadirannya di pasaran Asia Tenggara – telahpun menandatangani perjanjian francais induk bersama Serai Group pada awal Ogos 2025.
#5 Mixue Melancarkan Sub-Jenama Baharu – Lucky Cup
Kalau sebut saja Mixue, ramai akan terbayang minuman teh hijau ais krim vanila yang viral dan murah itu. Namun kali ini, jenama popular dari China itu melangkah ke arena baharu dengan memperkenalkan Lucky Cup – sebuah kedai kopi yang baru sahaja membuka cawangan pertamanya di Puchong, Selangor.
Lucky Cup hadir dengan konsep kopi bajet yang menyasarkan generasi muda serta pencinta kopi yang mahukan pilihan minuman pada harga mampu milik. Di China, Lucky Cup terkenal kerana menawarkan kopi pada harga yang sangat kompetitif — jauh lebih rendah berbanding pesaing besar yang lain.

#6 ZUS Coffee Alami Gangguan Bekalan Matcha Sebanyak 2 Kali Untuk Tahun 2025
Namun, tahun 2025 tidak terlepas daripada cabaran. ZUS Coffee dilaporkan mengalami gangguan bekalan matcha sebanyak dua kali sepanjang tahun 2025, selari dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan tersebut.
Untuk pengetahuan anda, pada tahun ini juga, ZUS Coffee mengumumkan yang mana jenama mereka telah berjaya mencatatkan kejayaan baharu – iaitu jualan lebih 1 juta cawan minuman berasaskan matcha dalam tempoh yang singkat. Fenomena ini sekali lagi membuktikan populariti matcha dalam kalangan penggemar minuman di Malaysia.

#7 Fenomena Gepuk Di Malaysia – Ayam Gepuk Top Global Memperkenalkan Sub-Jenama Baharu – Bebeks By Top Global
Dalam kategori makanan tempatan yang semakin berkembang, Ayam Gepuk Top Global memperkenalkan sub-jenama baharu dikenali sebagai Bebeks by Top Global.
Pengenalan ini menandakan usaha jenama tersebut untuk mempelbagaikan penawaran menu dan menembusi segmen pelanggan yang mencari variasi rasa baharu tanpa lari daripada identiti asal mereka.
Apa yang menarik mengenai jenama baru dari Top Global ini adalah ia hadir dengan pendekatan lebih moden. Ini kerana Bebeks menampilkan identiti tersendiri namun masih mengekalkan rasa asli dan pedas ikonik yang sinonim dengan Top Global.

#8 Menu Tiramisu Dari The Coffee Bean & Tea Leaf Mencetuskan Pencuci Mulut Fenomena Tempatan
Sepanjang 2025, tiramisu muncul sebagai antara pencuci mulut paling banyak diberi nafas baharu oleh jenama-jenama di Malaysia. Pelbagai kafe dan jenama pencuci mulut tampil dengan versi tersendiri — ada yang mengekalkan gaya klasik Itali, ada juga yang diinspirasikan oleh perisa tempatan, saiz hidangan individu, serta penyampaian yang lebih moden dan mudah dikongsi di media sosial.
Dalam arus trend tersebut, menu tiramisu daripada The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) muncul sebagai antara yang paling mendapat sambutan luar jangka.

Namun, populariti yang melonjak pantas turut membawa cabarannya tersendiri. Pada satu ketika, CBTL dilaporkan terpaksa mengehadkan jualan menu tiramisu ini di beberapa kafe berikutan kekangan bekalan stok. Situasi ini memperlihatkan bagaimana permintaan yang luar biasa boleh memberi tekanan kepada rantaian bekalan, terutamanya bagi pencuci mulut yang bergantung kepada bahan khusus dan penyediaan segar.
#9 Sushi King 30 Tahun
Tahun 2025 juga menjadi detik istimewa buat Sushi King yang meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya di Malaysia. Tiga dekad kehadiran jenama ini mencerminkan penerimaan berterusan rakyat Malaysia terhadap konsep sushi mampu milik, selain keupayaan Sushi King untuk terus relevan dalam pasaran yang semakin mencabar.
#10 MyKori Mengemaskini Penjenamaan Mereka – Lebih Moden Dan Segar
Akhir sekali, MyKori kembali dengan versi baharu yang tampil lebih segar dan moden. Penjenamaan semula ini dilihat sebagai usaha MyKori untuk kembali menawan hati pengguna, khususnya generasi muda, sambil menyesuaikan konsep pencuci mulut ais dengan trend semasa dan jangkaan pengguna yang semakin tinggi.

Secara keseluruhan, perkembangan jenama makanan dan minuman sepanjang 2025 memperlihatkan industri ini terus bergerak dinamik, dipacu oleh inovasi, pengembangan pasaran dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cita rasa pengguna tempatan.
Dengan momentum yang ditunjukkan tahun ini, industri makanan dan minuman dijangka terus memainkan peranan penting dalam landskap gaya hidup rakyat Malaysia pada tahun-tahun mendatang.