Seiko 5 Sports X Pink Panther – Jam Tangan Edisi Terhad Dengan Sentuhan Ikonik Animasi Klasik
Lina Rosli
Seiko sekali lagi memperlihatkan kebolehannya menggabungkan warisan pembuatan jam dengan elemen budaya pop menerusi pelancaran Seiko 5 Sports X Pink Panther.
Untuk pengetahuan anda, jam tangan ini dibina berasaskan siri Seiko 5 Sports SKX yang ikonik – kemudiannya digabungkan dengan keunikan watak animasi pendek komedi terkenal The Pink Phink iaitu Pink Panther.

Pada jam ini, ia menampilkan bahagian dail, bezel dan jarum saat dihiasi dengan warna merah jambu ikonik Pink Panther, memberikan kontras yang menyerlah tetapi masih seimbang dengan identiti sporty Seiko 5 Sports.
Menambahkan lagi keunikan, dail jam turut memaparkan corak tapak kaki Pink Panther yang ikonik, seolah-olah meniru detik Little Man menyedari kehadiran watak tersebut dalam animasi asal. Perincian ini menjadi sentuhan akhir yang memperkukuhkan elemen penceritaan pada jam tangan ini.
Bezel jam pula menggunakan tipografi khas yang diinspirasikan daripada animasi The Pink Phink, selari dengan gaya tulisan “WET PAINT” yang sinonim dengan adegan klasik dalam cerita tersebut. Frasa yang sama turut dicetak pada hujung tali jam nilon tambahan yang disertakan bersama jam ini. Tali nilon boleh tukar ini juga dihiasi dengan motif tapak kaki Pink Panther, menawarkan pilihan gaya yang lebih kasual dan ekspresif kepada pemakai.

Pada bahagian belakang sarung jam, Seiko menampilkan salah satu adegan paling diingati dalam animasi, iaitu Pink Panther yang bersembunyi di sebalik dinding merah jambu.
Di sekeliling case back ini, ukiran “Limited Edition” serta nombor siri individu menegaskan status eksklusif jam tangan ini sebagai edisi terhad. Setiap unit adalah sebahagian daripada pengeluaran global yang dihadkan kepada 9,999 unit sahaja di seluruh dunia.
Dari segi spesifikasi, Seiko 5 Sports X Pink Panther dikuasakan oleh kaliber automatik 4R36 dengan rizab kuasa sehingga 41 jam dan 24 batu permata.

Jam ini hadir dengan sarung dan gelang keluli tahan karat, lengkap dengan pengancing tiga lipatan bersama kunci keselamatan.
Ia menggunakan kaca Curved Hardlex dan menawarkan ketahanan air sehingga 10 bar, sesuai untuk pemakaian harian. Jam ini mempunyai diameter 38.0mm dengan ketebalan 12.1mm, menjadikannya selesa untuk pelbagai saiz pergelangan tangan.
Sebagai pelengkap kepada pengalaman koleksi, jam tangan ini turut didatangkan dengan kotak eksklusif yang direka khas, diinspirasikan daripada rumah Little Man yang dicat merah jambu oleh Pink Panther.

Bagi yang berminat,Seiko 5 Sports X Pink Panther Timepiece (SRPM07K1) dijadualkan untuk mula ditawarkan pada Januari 2026 di butik Seiko terpilih dan rakan peruncit rasmi.
Di Malaysia, jam tangan edisi terhad ini ditawarkan pada harga RM2,200 seutas