Melangkah Ke 2026 Dengan Sikap Bersyukur – Baik Untuk Emosi Dan Jantung

December 31, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Dalam kesibukan kehidupan seharian, ramai antara kita hanya meluangkan masa untuk bersyukur apabila tibanya musim perayaan atau ketika sesuatu yang baik berlaku.

Tahukah anda sebenarnya amalan bersyukur bukan sekadar satu bentuk penghargaan terhadap kehidupan, malah turut memberikan kesan positif terhadap kesihatan fizikal dan mental?

Di dalam sebuah kajian yang diterbitkan pada Oktober 2025 dalam The Journal of Positive Psychology mendapati bahawa aktiviti berkaitan kesyukuran seperti menulis jurnal atau surat penghargaan selama dua minggu mampu memberi kesan positif terhadap pengawalan sistem saraf jantung.

Apabila seseorang berasa syukur, tubuh sebenarnya memberi tindak balas fizikal yang nyata, bukan sekadar perubahan emosi. Rasa syukur membantu menenangkan sistem saraf, mengurangkan pengeluaran hormon tekanan seperti kortisol, serta menyokong kestabilan degupan jantung dan tekanan darah.

Dalam masa yang sama, ia mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik yang berperanan membantu tubuh berehat dan pulih. Inilah sebabnya mengapa rasa syukur dikatakan memberi manfaat secara fisiologi kerana ia mempengaruhi fungsi tubuh, terutamanya jantung dan sistem kardiovaskular – bukan hanya perasaan atau minda semata-mata.

Hubungan Antara Rasa Syukur Dengan Kesihatan Fizikal Dan Mental

Dari sudut kesihatan fizikal, amalan bersyukur didapati dapat meningkatkan keupayaan jantung untuk menyesuaikan diri dengan tekanan melalui apa yang dikenali sebagai vagal flexibility.

Menurut pakar perubatan, peningkatan keupayaan ini membantu tubuh mengurus tekanan dengan lebih baik, seterusnya menyokong fungsi jantung yang lebih sihat dalam jangka masa panjang.

Individu yang kerap mengamalkan rasa syukur juga menunjukkan reaksi tekanan yang lebih rendah, termasuk bacaan tekanan darah sistolik yang lebih stabil apabila berdepan situasi mencabar.

Selain itu, sikap syukur yang konsisten turut dikaitkan dengan kadar degupan jantung rehat yang lebih baik serta variasi degupan jantung yang lebih sihat.

Bukan itu sahaja, perkara ini turut dipengaruhi dengan amalan gaya hidup individu. Individu yang bersyukur juga cenderung mengamalkan gaya hidup lebih sihat, seperti bersenam secara konsisten dan menjaga pemakanan, yang secara tidak langsung menyumbang kepada kesihatan kardiovaskular.

Dari sudut kesihatan mental pula, amalan bersyukur membantu individu mengalihkan fokus daripada tekanan dan kekurangan kepada perkara positif dalam kehidupan seharian.

Contohnya dalam rutin harian anda, bayangkan selepas seharian bekerja, anda pulang ke rumah dan mengambil masa beberapa saat untuk mensyukuri perkara kecil seperti mempunyai tempat tinggal yang selesa atau seseorang yang sudi mendengar cerita anda. Tanpa disedari, badan menjadi lebih tenang, bahu terasa kurang tegang dan fikiran tidak lagi terlalu dibebani dengan masalah seharian.

Apabila keadaan ini berlaku, tubuh tidak lagi berada dalam keadaan tertekan berpanjangan, sekaligus membantu menurunkan tahap kebimbangan dan memperbaiki kestabilan emosi. Inilah antara sebab mengapa rasa syukur dilihat mampu memberi kesan positif bukan sahaja kepada perasaan, tetapi juga kepada tindak balas tubuh secara fizikal.

Oleh itu, melangkah masuk ke tahun baharu ini, marilah kita sama-sama mula mengamalkan kesyukuran dalam kehidupan seharian.

Tabiat ini boleh dilaksanakan dengan mudah. Antara contoh atau cara mudah untuk anda menunjukkan rasa syukur, anda boleh mula dengan mencatat satu perkara yang dihargai setiap hari, walaupun sekecil-kecil perkara.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh membiasakan diri dengan mengucapkan terima kasih secara langsung atau menghantar mesej penghargaan kepada insan tersayang. Langkah ini dilihat turut dapat mengukuhkan hubungan sosial dan emosi antara individu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd