Volvo Car Malaysia Bakal Melancarkan Volvo ES90 CKD – Pendaftaran Minat Kini Dibuka

January 2, 2026
Automotif

Lina Rosli

Volvo Car Malaysia mengumumkan pembukaan pendaftaran minat bagi model sedan terbaru mereka iaitu Volvo ES90.

Untuk pengetahuan anda, Volvo ES90 ini merupakan sedan elektrik penuh terbaharu jenama itu yang akan menyertai barisan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia. Model ini dijadualkan membuat penampilan sulungnya di pasaran tempatan pada suku pertama 2026.

Dari segi teknologi, Volvo ES90 dibina menggunakan seni bina 800-volt, menjadikannya antara model paling canggih dalam segmennya. Ia menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW, membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 22 minit, atau tambahan jarak pemanduan sekitar 300 kilometer dalam hanya 10 minit.

Volvo ES90 ini juga menawarkan kuasa sehingga 333 PS dan 480 Nm tork, dengan jarak pemanduan anggaran sehingga 651 kilometer (WLTP) bagi satu cas penuh. Menurut Volvo, model ini dibangunkan di atas platform SPA2 dan merupakan kenderaan sepenuhnya berasaskan perisian, disokong oleh Superset tech stack yang membolehkan kemas kini perisian secara over-the-air sepanjang kitaran hayat kenderaan.

Selain itu, ES90 turut menjadi model Volvo pertama yang dilengkapi dengan sistem pengkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin, menjadikannya Volvo paling berkuasa dari segi kapasiti pemprosesan. Sistem ini menjadi asas kepada teknologi keselamatan generasi baharu, integrasi kecerdasan buatan, serta pengoptimuman pemanduan berasaskan data.

Bagi yang berminat, pendaftaran minat kini dibuka melalui laman rasmi Volvo Car Malaysia – yang mana maklumat lanjut mengenai pelancaran pasaran, varian yang ditawarkan serta harga akan diumumkan pada tarikh akan datang.

Sebagai keistimewaan kepada pelanggan terawal, pendaftaran minat layak menerima insentif awal sebanyak 2 peratus, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah sehingga 31 Mac 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd