Mengapa Azam Tahun Baharu Sukar Bertahan?

January 7, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Setiap Januari, ramai individu memulakan tahun dengan azam untuk berubah. Mengurangkan pengambilan gula, bersenam dengan lebih konsisten, mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan, serta menjaga kesihatan mental antara matlamat yang sering diulang. Namun, menjelang Februari, sebahagian besar azam ini mula pudar dan ditinggalkan.

Fenomena ini bukan sesuatu yang baharu. Budaya popular telah lama menggambarkan realiti ini, antaranya menerusi filem Bridget Jones’s Diary (2001). Watak utama memulakan tahun dengan senarai azam yang jelas, namun berulang kali kembali kepada tabiat lama.

Walaupun sering gagal menepati azamnya, perkembangan diri tetap berlaku secara perlahan dan tidak sempurna. Kisah ini mencerminkan hakikat bahawa perubahan jarang berlaku secara mendadak atau konsisten.

Kegagalan mengekalkan azam sering disalahertikan sebagai kelemahan disiplin atau kemahuan diri. Hakikatnya, cabaran sebenar terletak pada persekitaran moden yang direka untuk keselesaan, gangguan berterusan dan kepuasan segera. Telefon pintar yang sentiasa berbunyi, akses pantas kepada makanan, serta budaya kerja yang sukar diputuskan menjadikan matlamat jangka panjang seperti berhenti merokok atau bersenam secara berkala semakin sukar untuk dikekalkan.

Dari sudut sains tingkah laku, manusia secara semula jadi cenderung memilih ganjaran segera berbanding manfaat jangka panjang, satu kecenderungan yang dikenali sebagai present bias.

Faktor ini menjelaskan mengapa melayari telefon sering mengatasi keinginan untuk bergerak aktif, atau makanan tinggi gula lebih mudah dipilih berbanding pilihan yang lebih sihat.

Selain itu, struktur pilihan atau choice architecture turut memainkan peranan penting, apabila susunan pilihan harian mempengaruhi tingkah laku tanpa disedari.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila hanya sebilangan kecil individu sahaja yang berjaya mengekalkan azam Tahun Baharu melepasi beberapa bulan pertama. Kebanyakan azam terhenti bukan kerana kegagalan peribadi, tetapi disebabkan persekitaran yang tidak menyokong perubahan berpanjangan.

Bukan itu sahaja, kajian turut menunjukkan bahawa perubahan tabiat lebih mudah kekal jika persekitaran menyokongnya. Program yang berkesan biasanya fokus pada mengurangkan halangan harian, memberi sokongan sosial, dan menyelaraskan rutin dengan nilai bersama, bukannya bergantung sepenuhnya pada kekuatan diri seseorang.

Perubahan kecil di tempat kerja juga boleh memberi kesan besar. Contohnya, mesyuarat lebih pendek dengan rehat terancang, waktu kerja fokus tanpa gangguan digital, serta meletakkan air dan snek sihat di tempat mudah dilihat, semuanya membantu pekerja membuat pilihan yang lebih baik secara semula jadi.

Di rumah pula, susun atur harian boleh memudahkan tabiat sihat. Contohnya, meletakkan buah-buahan di tempat mudah nampak, menyediakan ruang bebas telefon untuk berehat, atau menyimpan kasut dan payung berhampiran pintu, menjadikan pergerakan dan rehat lebih mudah dilakukan tanpa perlu paksa diri.

Selain itu, komuniti juga boleh menyokong perubahan tabiat yang mana anda mungkin boleh menyertai aktiviti senaman berkumpulan atau kelab memasak – menjadikan perubahan sesuatu yang dilakukan bersama, bukan bersendirian. Tidak ketinggalan juga untuk mengiktiraf pencapaian kecil dalam komuniti lebih berkesan daripada menekankan matlamat besar sahaja.

Jika azam ingin bertahan melepasi minggu kedua Januari, fokus perlu beralih daripada “mengapa saya lemah?” kepada “apakah dalam persekitaran saya yang memudahkan pilihan tidak sihat?”. Apabila tempat kerja, keluarga, dan komuniti mengambil perkara ini serius, tabiat sihat menjadi lebih mudah dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Artikel ini dari Dr Indra Yohanes Kiling yang merupakan Profesor Madya di Sekolah Seni Liberal dan Sains, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Universiti Taylor’s

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd