Luckin Coffee Malaysia Rai Ulang Tahun Yang Pertama – Menampilkan Dua Minuman Baharu
Lina Rosli
Sedar atau tidak, kini jenama kopi popular daripada China iaitu Luckin Coffee kini meraikan ulang tahun mereka yang pertama sejak kemasukannya ke pasaran Malaysia.
Dan bersempena sambutan ulang tahun ini, Luckin Coffee hadir dengan kempen istimewa yang bertemakan “One-derful Year, Perfected Together”.

Bagi yang tidak mengetahui, sejak kehadiran Luckin Coffee ke pasaran tempatan, ia secara tidak langsung telah memeriahkan lagi ekonomi kopi tempatan – menerusi pengenalan siri minuman edisi terhad dan pelbagai lagi aktiviti.
Bukan itu sahaja pada bulan Oktober yang lepas juga, Luckin Coffee turut mengumumkan yang mana mereka telahpun diiktiraf Halal oleh JAKIM bagi beberapa cawangan terpilih.
Sehingga kini, Luckin Coffee telah menunjukkan pertumbuhan yang signifikan dengan menyajikan jutaan cawan kopi sepanjang tahun 2025.

Bersempena sambutan ulang tahun yang pertama ini, Luckin Coffee Malaysia turut memperkenalkan dua siri minuman baharu serta menganjurkan giveaway ulang tahun dengan ganjaran baucar bernilai keseluruhan RM1 juta sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pengguna tempatan.
Bagi yang berminat, anda boleh mencuba siri baharu Luckin Coffee iaitu Sea Salt Caramel Series, yang akan mula ditawarkan bermula hari ini (9 Januari 2026). Siri ini diinspirasikan daripada keseimbangan dalam kehidupan seharian, menggabungkan rasa manis karamel dengan sentuhan masin garam laut Australia. Gabungan ini menghasilkan profil rasa yang seimbang, sesuai untuk dinikmati setiap hari tanpa rasa terlalu berat.

Antara minuman yang ditampilkan ialah Sea Salt Caramel Shakerato, yang menggunakan espresso pekat digoncang sehingga berbuih halus, menghasilkan kemasan rasa yang ringan dan menyegarkan.
Turut diperkenalkan ialah Sea Salt Caramel Latte, minuman kegemaran pelanggan di Singapura pada tahun 2025, yang menawarkan rasa karamel lembut dan berkrim dengan sentuhan unik masin-manis.

Selain itu, Luckin Coffee Malaysia turut meluaskan penawaran produknya dengan memperkenalkan siri teh pertama mereka yang akan dilancarkan pada 23 Januari.
Siri teh ini merangkumi menu Jasmine Blossom Milk Tea, diperbuat daripada teh jasmine berkualiti tinggi dari Hengzhou, Guangxi, China. Minuman ini menawarkan aroma floral semula jadi dengan tekstur susu yang lembut.
Turut ditawarkan ialah Ceylon Bloom Milk Tea, gabungan klasik teh hitam Ceylon dengan susu berkrim, menghasilkan rasa seimbang dan bersih yang sesuai untuk pelbagai lapisan pengguna.