Haier Melangkah Ke 2026 Dengan Inovasi Pintar – Memperkenalkan Mesin Basuh 3-Dram Pertama Di Malaysia

January 12, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Haier Malaysia baru-baru ini memperkenalkan hala tuju strategik 2026 menerusi tema “Premium Intelligence, Forward Together” yang mana ia memperlihatkan variasi pilihan produk baharu yang sesuai untuk gaya hidup individu masa kini.

Pengumuman ini dibuat dalam sebuah sesi pameran eksklusif di Kuala Lumpur, yang memperlihatkan visi Haier untuk bergerak melangkaui peralatan berdiri sendiri, ke arah ekosistem rumah pintar yang saling berhubung.

Menurut Haier, hala tuju ini mencerminkan komitmen jenama untuk membina pengalaman kehidupan yang lebih pintar, lebih mudah dan lebih relevan dengan keperluan isi rumah moden di Malaysia – melalui gabungan kecerdasan buatan, kesalinghubungan dan reka bentuk premium.

Haier Smart Home – Teras Kepada Kehidupan Pintar

Pada acara ini, Haier turut menegaskan yang mana teras utama strategi ini ialah Haier Smart Home, sebuah penyelesaian rumah pintar generasi baharu yang mengintegrasikan peralatan berkeupayaan Wi-Fi di seluruh kediaman ke dalam satu platform bersepadu.

Melalui interaksi pintar dan operasi berasaskan senario adaptif, peranti Haier bukan sahaja boleh dikawal dari satu aplikasi, malah mampu berfungsi secara harmoni mengikut rutin pengguna.

Pendekatan ini menjadikan rumah lebih responsif, cekap dan selesa selain turut efisien dari sudut pengurusan tenaga, penjagaan pakaian, hinggalah kepada kualiti udara dan hiburan di ruang tamu.

Sebagai sokongan kepada visi ini, Haier memperkenalkan rangkaian produk 2026 yang merangkumi pelbagai kategori utama rumah pintar:

  • Mesin Basuh Pelbagai Cucian 3-Dram – Mesin basuh tiga dram pertama di Malaysia.
  • Penyaman Udara UV Cool AI Voice (Siri VSC) – Penyaman udara dengan kawalan suara AI dan penulenan UV.
  • Koleksi Horizon – Peti sejuk dengan teknologi kesegaran kawalan magnet pertama di dunia.
  • TV QD-Mini LED 100-inci – Televisyen berskala pawagam dengan Homey AI.
  • Peti Sejuk Beku HCF-249MEB – Storan sejuk tahan lama dengan pembekuan –30°C.
  • Peralatan Dapur Pintar – Hud dapur dan mesin basuh pinggan pertama Haier Malaysia.
  • Pemanas Air Siri K – Pemanasan pantas dengan sistem penapisan mikron.

Kesemua produk ini direka untuk berfungsi sebagai sebahagian daripada ekosistem Haier Smart Home, bukan sekadar peranti berdiri sendiri.

Pengenalan Mesin Basuh Pelbagai Cucian 3-Dram Yang Pertama Di Malaysia

Menjadi tonggak portfolio Haier 2026 ialah Mesin Basuh Pelbagai Cucian 3-Dram, mesin basuh tiga dram pertama di Malaysia yang akan mula ditawarkan pada Januari 2026.

Mesin ini menggabungkan dua dram kecil 1kg di bahagian atas yang sesuai untuk cucian stoking, pakaian bayi atau fabrik sensitif serta satu dram utama 12kg di bahagian bawah yang ditampilkan untuk cucian harian berskala besar.

Reka bentuk ini membolehkan tiga cucian berasingan dijalankan secara serentak, menjimatkan masa, tenaga dan air. Ia turut dilengkapi pensterilan UV terbina dalam serta kecerdasan AI yang melaraskan tetapan secara automatik mengikut jenis muatan.

Hasilnya, pengguna menikmati pengalaman mencuci yang lebih pantas, lebih bersih dan lebih teliti terhadap penjagaan fabrik – satu pendekatan baharu dalam rutin dobi harian.

Penyejukan Lebih Pintar Dengan Kawalan Suara AI

Dalam kategori penyaman udara, Haier memperkenalkan UV Cool AI Voice (Siri VSC) yang membolehkan pengguna mengawal penghawa dingin melalui arahan suara tanpa sentuhan.

Model ini dilengkapi:

  • Teknologi AI ECO untuk pengoptimuman tenaga.
  • Pemantauan penggunaan elektrik secara masa nyata.
  • Pensterilan UVC Pro untuk udara lebih bersih.
  • Salutan Black Fin bagi ketahanan jangka panjang.

Gabungan ini menawarkan keselesaan yang diperibadikan, udara yang lebih sihat dan kecekapan tenaga yang lebih pintar untuk kediaman moden.

Peti Sejuk Horizon Tampil Dengan Teknologi Kesegaran Kawalan Magnet

Koleksi Horizon memperkenalkan teknologi kesegaran kawalan magnet pertama di dunia pada peti sejuk Haier. Teknologi ini berupaya memecahkan kristal ais besar kepada saiz lebih kecil bagi melindungi sel makanan, mengekalkan rasa dan nutrisi.

Hasilnya, daging yang disimpan akan kekal segar sehingga 10 hari – manakala Salmon pula boleh disimpan sehingga 7 hari.

Dari segi reka bentuk, koleksi Horizon menawarkan kapasiti sehingga 800L serta pintu lutsinar berasaskan sensor manusia yang menyala apabila didekati, membolehkan pengguna melihat kandungan tanpa membuka pintu – mengurangkan kehilangan udara sejuk dan meningkatkan kecekapan tenaga.

Televisyen 100-inci Yang Dikuasakan Homey AI

Haier turut memperkenalkan televisyen 100 inci pertamanya, TV QD-Mini LED 100-inci yang dikuasakan Homey AI dan pemproses Haier SR UltraSense.

Dengan ini, televisyen ini menawarkan kualiti gambar dan bunyi dipertingkatkan AI – selain turut menampilkan gerakan ultra-lancar 144Hz. Bukan itu sahaja, TV QD-Mini LED 100-inci ini juga turut hadir dengan mod permainan AI dan perlindungan mata.

Dapur Dan Mandian Lebih Pintar

Dalam ruang mandian, Pemanas Air Siri K direka untuk memberikan pengalaman mandi yang lebih selesa dan selamat. Ia dilengkapi kuasa 4,500 watt bagi memastikan air cepat panas, tangki tembaga yang lebih tahan lama, serta skrin sentuh penuh yang memudahkan kawalan suhu.

Turut disertakan ialah sistem penapisan mikron yang menyingkirkan kotoran halus, menjadikan air lebih bersih dan selamat untuk kegunaan harian.

Bagi ruang dapur pula, Haier memperkenalkan dua peralatan pintar yang memudahkan rutin harian. Hud Dapur HH-N8908B hadir dengan reka bentuk nipis 325mm dan fungsi auto-teleskopik, membolehkan asap serta bau masakan disedut dengan lebih cekap sambil mengekalkan rupa dapur yang kemas dan moden.

Melengkapkan ruang dapur anda juga ialah Mesin Basuh Pinggan HDWA18-686BK5MY, mesin basuh pinggan pertama Haier Malaysia yang direka khusus untuk keluarga Asia. Dilengkapi teknologi Quattro Dual Wash, ia memberikan cucian yang lebih menyeluruh dan berkuasa, memudahkan kerja mencuci pinggan serta menjimatkan masa seharian.

Dengan kehadiran pelbagai produk ini, Haier dijangka akan terus membina ekosistem rumah pintar yang bukan sahaja memudahkan, tetapi memperkayakan kehidupan seharian – membawa masa depan kehidupan lebih dekat ke rumah.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd