Malaysia Menjadi Tarikan Utama Pelancong Global Suku Pertama 2026

January 12, 2026
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Seiring pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia kini semakin menyerlah di peta pelancongan dunia.

Data terbaharu yang dikeluarkan oleh Trip.com Group menunjukkan negara ini muncul sebagai antara destinasi utama pilihan pelancong antarabangsa bagi suku pertama tahun 2026.

Berdasarkan data tempahan, Malaysia berada dalam kelompok lima teratas destinasi percutian bagi pelancong dari Asia Tenggara dan China, serta tersenarai dalam 10 teratas untuk pengunjung dari Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.

Di peringkat global pula, Kuala Lumpur mencatat kedudukan ke-8 dalam senarai bandar paling popular yang dirancang untuk dilawati, sebaris dengan bandar ikonik seperti Tokyo, Seoul dan Bangkok.

Menurut Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Ms Stephane Thong, perkembangan ini mencerminkan daya tarikan Malaysia yang semakin kukuh di mata dunia. Kepelbagaian landskap semula jadi, kemeriahan bandar, tarikan mesra keluarga serta kekayaan budaya menjadikan negara ini relevan untuk pelbagai segmen pelancong.

Corak Perjalanan Rakyat Malaysia Awal 2026

Data Trip.com turut mendedahkan bagaimana rakyat Malaysia merancang percutian mereka pada awal tahun ini. Majoriti tempahan penerbangan tertumpu kepada perjalanan jarak dekat dan sederhana, iaitu kurang daripada 2,000 kilometer serta antara 2,000 hingga 5,000 kilometer. Ini mencerminkan kecenderungan terhadap destinasi serantau yang lebih mudah diakses dan menjimatkan masa.

Di peringkat domestik, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru muncul sebagai bandar paling popular berdasarkan tempahan penerbangan.

Bagi destinasi luar negara pula, China, Singapura, Jepun, Thailand dan Indonesia mendahului senarai pilihan pelancong Malaysia.

Dari segi demografi, golongan milenial kekal sebagai kumpulan terbesar pelancong dengan menyumbang 51% daripada jumlah tempahan.

Angka ini mengatasi gabungan Gen X (24%) dan Gen Z (21%), sekali gus memperlihatkan peranan signifikan generasi ini dalam membentuk landskap pelancongan semasa.

Taman Tema Terus Jadi Tarikan Utama

Trend tempahan turut menunjukkan minat yang tinggi terhadap pengalaman imersif dan mesra keluarga. Taman tema kekal sebagai pemacu utama permintaan, baik di dalam mahupun luar negara.

Di peringkat antarabangsa, tarikan paling kerap ditempah oleh rakyat Malaysia adalah taman tema terkenal di Asia yang berpaksikan francais ikonik.

Dalam negara pula, Genting SkyWorlds Theme Park, Sunway Lagoon Theme Park dan Skytropolis Indoor Theme Park muncul sebagai kegemaran utama untuk tahun 2026.

Corak ini menggambarkan kecenderungan pelancong tempatan terhadap pengalaman hiburan berskala besar yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Kini, Trip.com menawarkan lebih 300,000 aktiviti, tarikan, persembahan, lawatan dan pengalaman di lebih 200 negara dan wilayah, tersedia dalam lebih 24 bahasa.

Daripada tempahan restoran melalui Trip.Gourmet hinggalah kepada pengalaman budaya yang dikurasi, pelancong boleh merancang percutian mereka dalam bahasa dan mata wang pilihan dengan kemudahan masa nyata menerusi aplikasi Trip.com.

Tahun lalu, platform ini turut menjalinkan kerjasama dengan Live Nation bagi menyokong perjalanan konsert, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform pelancongan sehenti yang paling komprehensif di dunia.

Dengan momentum ini, Tahun Melawat Malaysia 2026 dilihat berada pada landasan yang tepat untuk mengangkat Malaysia sebagai destinasi pilihan global – bukan sahaja untuk pelancong antarabangsa, malah sebagai inspirasi kepada rakyat tempatan untuk meneroka dunia dengan lebih aktif dan bermakna.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd