8 Produk Kecantikan Yang Tidak Disarankan Disimpan Di Bilik Mandi
Bat
Bilik mandi sering menjadi tempat utama bagi barangan kecantikan seperti solekan, serum, daan minyak wangi. Namun, pakar dermatologi memberi amaran bahawa kelembapan tinggi serta perubahan suhu di bilik mandi boleh merosakkan banyak produk tanpa kita sedari. Menyimpan produk di tempat yang salah buka sahaja mengurangkan keberkesanan, malah boleh mempercepatkan kerosakan bahan aktif di dalamnya.

#1 Minyak Wangi
Minyak wangi mungkin kelihatan estetik apabila dihias di atas rak tandas, tetapi haba dan kelembapan yang terkumpul mampu memecahkan molekul haruman dan membuatkan bau berubah atau hilang lebih cepat daripada sepatutnya. Penyimpanan yang lebih baik adalah di tempat yang sejuk dan gelap seperti dalam almari atau kotak asalnya.
#2 Pengilat Kuku
Pengilat kuku tidak boleh diletakkan di bilik mandi kerana kelembapan yang hadir boleh menyebabkan cecair pengilat kuku berubah menjadi pekat, berketul atau kering dalam botol. Akibatnya, tekstur warna yang keluar mungkin tidak sekata atau rapuh lebih awal daripada tarikh jangka hayat biasa. Untuk penyimpanannya, lebih baik di simpan di tempat yang kering atau sejuk untuk memastikan warna tahan lama dan mudah digunakan.

#3 Serum
Serum muka atau serum yang mempunyai bahan aktif seperti Vitamin C amatlah sensitif kepada cahaya, haba dan kelembapan. Apabila disimpan di bilik mandi, bahan aktif ini cenderung megoksida lebih cepat, menyebabkan serum hilang keberkesanan dan tidak memberi manfaat. Menyimpan serum ini lebih baik di tempat yang gelap dan sejuk.
#4 Ubat-ubatan
Walaupun ianya nampak praktikal untuk meletakkan ubat atau suplemen di kabinet tandas, fakta menunjukkan bahawa kelembapan boleh merosakkan kestabilan ubat – berpotensi tidak lagi selamat untuk digunakan. Simpan di tempat kering dengan suhu bilik yang stabil.
#5 Pelindung Matahari
Pelindung matahari jenis kimia boleh pecah lebih cepat apabila terdedah kepada haba dan wap di bilik mandi. Ini boleh mengurangkan kemampuan SPF untuk melindungi kulit daripada UV. Daripada menyimpannya di bilik mandi, letakkan di tempat yang lebih sejuk dan kering supaya formula pelindung kulit di dalamnya kekal berkesan.

#6 Topeng Muka
Topeng muka jenis helaian atau hydrogel mengandungi nutrien dan bahan aktif akan mudah hilang kesegaran apabila terdedah kepada kelembapan bilik mandi. Menyimpannya dalam peti sejuk biasanya membantu mengekalkan kesegaran serta memberi kesan yang lebih menyegarkan apabila digunakan.

#7 Berus Solekan
Berus dan span yang disimpan di bilik mandi boleh menjadi pembiakan bakteria akibat kelembapan. Bakteria ini bukan sahaja merosakkan alat itu sendiri, malah boleh menjangkiti kulit ketika digunakan. Selepas dicuci, biarkan ia kering sepenuhnya di tempat terbuka yang tidak lembap sebelum disimpan di luar bilik mandi.
#8 Alat Solek
Produk seperti bedak, bronzer, dan pembayang mata juga tidak sesuai berada di bilik mandi kerana kelembapan boleh menyebabkan serbuknya menjadi keras, retak atau hancur. Sebaiknya simpan di dalam laci atau rak yang sejuk dan kering untuk mengekalkan tekstur yang baik.
Walaupun bilik mandi kelihatan tempat yang praktikal untuk menyimpan segala barangan kecantikan – akan tetapi kelembapan, suhu panas dan stim air boleh mempercepatkan kerosakan produk serta mengurangkan keberkesanannya.
Sebolehnya, simpan produk-produk sensitif ini di tempat yang sejuk, kering dan stabil seperti laci, almari, dan meja solek. Dengan cara ini, produk anda bukan sahaja tahan lebih lama tetapi juga memberi manfaat yang sepatutnya kepada kulit dan rutin kecantikan anda.