Volvo ES90 Kini Rasmi Untuk Pasaran Malaysia – Dijual Pada Harga RM339,888

January 22, 2026
Automotif

Lina Rosli

Volvo Cars kini rasmi memperkenalkan model baharu Volvo ES90 untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan model kereta elektrik sepenuhnya yang menggabungkan keanggunan sedan, fleksibiliti fastback, ruang dalaman luas dan ruang kaki seperti SUV. 

Untuk model ES90 ini, ia direka dengan kuasa komputer teras generasi baharu yang 8x lebih maju berbanding generasi sebelumnya.

Model ini juga merupakan kereta Volvo pertama yang menggunakan teknologi 800V, membolehkan jarak pemanduan elektrik lebih jauh dan pengecasan lebih pantas berbanding mana-mana Volvo elektrik sebelum ini.

Volvo ES90 – Menampilkan Rekaan Unik Tetapi Praktikal

Volvo ES90 hadir dengan garisan bumbung yang elegan – membantu meningkatkan aerodinamik, sekaligus meningkatkan kecekapan dan jarak pemanduan elektrik.

Bahagian hadapan menampilkan rekaan lampu ikonik Volvo, Thor’s Hammer, memberikan identiti Volvo yang moden dan mudah dikenali. 

Bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang LED berbentuk ‘C’ yang disertakan dengan lampu LED tambahan pada tingkap belakang. Ia menghasilkan susunan cahaya yang eksklusif setiap kali anda masuk dan keluar dari kenderaan.

Sementara untuk ruang but pula menawarkan kapasiti sehingga 424 liter, dan tempat duduk belakang boleh dilipat untuk memberikan kapasiti tambahan sehingga 904 liter. Di bahagian hadapan, Volvo hadir dengan ruang frunk berkapasiti 27 liter sesuai untuk menyimpan kabel pengecasan.

Keselesaan Dan Fungsi Maksimum Di Dalam Kabin

Volvo ES90 memperlihatkan jarak roda sejauh 3.1 meter, menawarkan ruang kaki yang luas untuk penumpang barisan kedua, menjadikannya sebuah kenderaan yang sangat selesa untuk perjalanan jauh. 

Ia juga hadir dengan bumbung panoramik yang memberikan perlindungan UV sehingga 99.9%. Jika anda memilih versi elektrokromik, tahap ketelusan kaca boleh diselaraskan untuk mengurangkan silau dan meningkatkan privasi dengan hanya satu sentuhan butang.

Untuk tetapan, ES90 mempunyai enam pilihan tema pencahayaan ambien bersama pelbagai pilihan upholsteri untuk penyesuaian peribadi. Seterusnya, ia juga menampilkan sistem bunyi mewah Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara berdefinisi tinggi, termasuk pembesar suara pada tempat duduk kepala dan siling.

Beralih ke sistem inforia, ES90 mempunyai dua skrin utama, iaitu satu skrin di hadapan pemandu yang menampilkan saiz skrin 9-inci – dan juga skrin tengah 14.5-inci. ES90 dilengkapi dengan sistem generasi baharu yang mempunyai Google built-in, termasuk Google Maps, Google Assistant serta lebih banyak aplikasi melalui Google Play. 

ES90 juga merupakan kereta Volvo pertama yang dilengkapi dengan konfigurasi dua NVIDIA DRIVE AGX Orin, menjadikannya model Volvo dengan kuasa pengkomputeran teras paling berkuasa pernah dihasilkan. Dengan kuasa pengkomputeran 508 trilion operasi sesaat (TOPS), ia mengurus fungsi seperti keselamatan aktif berasaskan AI, sensor kenderaan dan pengurusan bateri yang lebih cekap.

Teknologi 800V baharu Volvo turut diperkenalkan dalam ES90, membolehkan pengecasan lebih pantas, prestasi lebih baik dan kecekapan lebih tinggi.

Menurut Volvo, bagi model baharu ini, ES90 mampu menambah 300 kilometer jarak pemanduan dalam hanya 10 minit di stesen pengecasan pantas 350 kW, dengan jarak pemanduan maksimum sehingga 651 kilometer berdasarkan ujian WLTP.

Manakala dari 10 hingga 80 peratus pula mengambil masa kira-kira 22 minit menggunakan pengecas pantas 350 kW.

Teknologi Safe Space – Perlindungan Menyeluruh

Volvo ES90 dibangunkan mengikut Volvo Cars Safety Standard, yang menggunakan 55 tahun penyelidikan keselamatan dunia nyata dan melangkaui keperluan ujian rasmi.

Struktur badan yang kukuh, sistem keselamatan pasif termaju serta zon perlanggaran yang dioptimumkan memberikan perlindungan tambahan. Sistem keselamatan aktifnya pula menggunakan satu lidar, 5 radar, 7 kamera, dan 12 sensor ultrasonik.

Set sensor ini membolehkan penglihatan lebih luas daripada keupayaan manusia, membantu mengelakkan perlanggaran dan bahaya di jalan raya. 

Bagi yang berminat, Volvo ES90 kini boleh dilihat di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara bermula hari ini, dengan harga bermula dari RM339,888.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan terawal yang menyertai fasa baharu ini, Volvo Car Malaysia menawarkan rebat pembelian awal 2%, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah sebelum 31 Mac 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd