Tesla Model 3 Kini Ditawarkan Pada Harga Mampu Milik – Bermula RM147,600
Lina Rosli
Tesla Malaysia hari ini mengumumkan penurunan harga bagi Tesla Model 3, sekaligus menjadikannya lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan.
Model elektrik popular ini kini ditawarkan pada harga bermula RM147,600, lebih rendah berbanding harga sebelum ini iaitu RM169,000.

Varian baharu yang diperkenalkan ialah Model 3 Standard, yang menggunakan satu motor elektrik di bahagian belakang.
Dari segi prestasi, model ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 201 km/j dengan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam masa 6.2 saat. Jarak pemanduan pula boleh mencapai sehingga 534 km WLTP, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Bagi mengekalkan harga yang lebih kompetitif, beberapa perubahan telah dilakukan pada spesifikasi model ini. Tesla Model 3 Standard hanya ditawarkan dalam warna Stealth Grey, dilengkapi rim tayar 18 inci Prismata, tanpa skrin hiburan sekunder untuk penumpang belakang, serta kemasan dalaman fabrik hitam.
Pendekatan ini selari dengan versi Model 3 Standard yang telah diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat sejak penghujung tahun 2025.

Dengan kehadiran varian Standard ini, Tesla kini menawarkan lima versi Model 3 di pasaran Malaysia. Empat lagi varian terdiri daripada Premium RWD, Premium Long Range RWD, Premium AWD dan Performance AWD, dengan harga jualan bermula daripada RM169,000.
Untuk pembelian, anda boleh kunjungi ke laman web rasmi Tesla untuk mengetahui butiran lanjut.