Seri Negara Diberi Nafas Baharu, Serai Group Kini Buka Semuka Café Di Bangunan Bersejarah Negara

January 26, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Seri Negara, sebuah bangunan kolonial yang sarat dengan nilai sejarah dan menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting negara, kini secara rasmi dibuka semula kepada umum.

Melalui penglibatan Serai Group, peneraju industri hospitaliti tempatan, mercu tanda bersejarah ini diberi nafas baharu sebagai ruang kulinari yang menghormati warisan sambil meraikan kebersamaan.

Majlis pembukaan semula Seri Negara telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekaligus menandakan kembalinya bangunan ini sebagai sebahagian daripada legasi hidup negara dan juga ruang bersejarah yang terus relevan dan dapat dinikmati oleh masyarakat hari ini.

Semuka Café – Ruang Bersemuka Di Bangunan Bersejarah

Buat masa ini, Semuka Café merupakan satu-satunya konsep yang beroperasi di Seri Negara.

Mengambil inspirasi daripada perkataan “semuka” yang bermaksud berhadapan, kafe ini dibina atas idea kebersamaan yang mana mengajak kumpulan individu untuk duduk semeja, bertentang mata dan berkongsi hidangan dalam suasana yang tenang dan bermakna.

Di Semuka Cafe, fokus utamanya adalah hidangan tempatan yang dimasak mengikut cara tradisional yang menyelesakan. Antara tarikan utama yang wajib dicuba:

  • Klasik Minum Petang – Menyajikan hidangan minum petang kegemaran rakyat Malaysia seperti Cucur Udang, Cekodok Pisang serta Roti Bakar Pandan Kaya yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia sepanjang zaman.
  • Hidangan Utama – Hadir dengan konsep makanan kopitiam seperti Soy Claypot Chicken Rice, Wantan Mee Duck, Nasi Lemak, Angus Beef Sliders dan banyak lagi.

Berlatarbelakangkan seni bina kolonial Seri Negara, pengalaman di Semuka Café bukan sekadar menjamu selera, tetapi turut menghidupkan semula memori dan rasa yang telah menjadi sebahagian daripada budaya makan tempatan sejak sekian lama.

Dari segi julat harga bagi makanan dan minuman yang ditawarkan – ianya dijual pada harga sekitar RM12 hingga RM45 untuk satu hidangan makanan, manakala RM0.80 hingga RM15 untuk minuman.

Dan antara minuman unik yang boleh anda cuba di Semuka Café termasuklah Semuka Kopi, Kit Chai Ping, Markisa Madu Ping, Madu Serai Ping dan banyak lagi.

Serai Group – Dari Asas Keluarga ke Nama Berpengaruh

Bagi yang tidak mengetahui, Serai Group diasaskan pada tahun 1990 yang bermula sebagai perniagaan keluarga dan kini telah berkembang menjadi sebuah kumpulan hospitaliti berpengaruh dengan pelbagai jenama di bawah naungannya.

Dikenali dengan kepekaan terhadap kualiti, estetika dan pengalaman pelanggan, setiap konsep yang diperkenalkan membawa identiti tersendiri namun kekal berakar pada nilai hospitaliti tempatan.

Antara jenama dalam portfolio Serai Group termasuk Serai, Serai Thai, Serai Cafe, Jibby & Co, Jibby Chow, Jibby East Grill, Jibby by The Park, Chum Chum Pizzeria, lola, Super Blonde, Semuka Café, Serai Chicken Rice, Meriah, Makamakan, Taffy Gelato, serta Meet Bros yang beroperasi di London.

Dengan pembukaan semula Seri Negara, Serai Group memperkenalkan semula bangunan bersejarah ini sebagai ruang pertemuan yang meraikan makanan, perbualan dan kebersamaan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd