Pendidikan Bukan Sekadar Peranan Sekolah – Sokongan Ibu Bapa Juga Penting
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa setiap 24 Januari, dunia meraikan Hari Pendidikan Antarabangsa? Sambutan ini bukan sekadar tentang angka statistik atau silibus sekolah, tetapi satu peringatan daripada UNESCO bahawa tiada kanak-kanak yang harus ketinggalan dalam mendapatkan akses pendidikan berkualiti, tanpa mengira jantina atau latar belakang.
Namun, di sebalik peranan besar sekolah dan guru, ada satu tunjang utama yang sering terlepas pandang iaitu sokongan ibu bapa.
Untuk pengetahuan anda, dalam kebanyakan kes, kejayaan atau kegagalan seorang pelajar tidak hanya ditentukan di bilik darjah, tetapi bermula di rumah. Penglibatan aktif ibu bapa terbukti menjadi faktor pembeza yang signifikan dalam membentuk prestasi akademik, sahsiah, dan hala tuju masa depan anak-anak.

Pendidikan Sebagai Pemutus Rantai Kemiskinan
Prinsip yang digariskan oleh UNESCO jelas menyatakan yang mana tiada kanak-kanak seharusnya tercicir daripada pendidikan. Namun untuk merealisasikan prinsip ini, sokongan keluarga memainkan peranan yang sama penting dengan dasar negara.
Banyak kisah membuktikan bahawa walaupun dalam keadaan serba kekurangan, kepercayaan ibu bapa terhadap pendidikan mampu mengubah nasib generasi seterusnya. Apabila ibu bapa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan, tanpa mengira jantina atau latar belakang, ia membuka peluang mobiliti sosial yang lebih luas.
Penglibatan ini bukan sekadar menghantar anak ke sekolah, tetapi turut merangkumi kehadiran dalam mesyuarat PIBG, hari laporan, dan aktiviti sekolah. H
asilnya, anak-anak membesar dengan kefahaman bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan beban individu.

Lebih Daripada Sekadar Buku Teks
Sokongan ibu bapa tidak terhad kepada aspek kewangan. Ia melibatkan pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk:
- Sokongan kognitif melalui pembinaan rutin harian, pemantauan tugasan, dan perbincangan terbuka tentang cabaran pembelajaran.
- Sokongan emosi dengan memahami gaya pembelajaran anak serta memberi galakan ketika mereka berdepan kegagalan.
- Penerapan nilai seperti empati, kerjasama dan tanggungjawab melalui aktiviti kemasyarakatan atau penglibatan dalam komuniti sekolah.
Apabila anak-anak merasakan kehadiran dan sokongan yang konsisten, mereka cenderung membina daya tahan (resilience) dan keyakinan diri untuk menerokai potensi mereka secara lebih berani.
Cabaran Zaman AI dan Teknologi Digital
Generasi Z dan Generasi Alpha membesar dalam persekitaran yang sangat berbeza berbanding generasi terdahulu.
Teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), dan media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian mereka, membentuk cara berfikir dan melihat dunia.

Dalam konteks ini, peranan ibu bapa menjadi semakin kritikal. Antara langkah penting yang boleh diambil termasuk memantau aktiviti dalam talian serta mendidik anak tentang penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.
Masa skrin juga perlu diimbangi dengan aktiviti tanpa peranti seperti membaca, memasak, berkebun, atau aktiviti fizikal.
Aktiviti luar seperti melawat tapak bersejarah, mendaki gunung atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga turut membantu membina hubungan yang lebih bermakna dan memperkaya pembelajaran di luar bilik darjah.
Tanggungjawab di Sisi Undang-Undang
Kesedaran terhadap kepentingan peranan ibu bapa turut dizahirkan melalui dasar negara. Melalui Rancangan Undang-Undang (Pindaan) Pendidikan 2025, ibu bapa warganegara Malaysia bertanggungjawab secara sah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah.
Langkah ini mengukuhkan hakikat bahawa pendidikan bukan hanya urusan sekolah atau kerajaan semata-mata, tetapi merupakan komitmen bersama antara keluarga dan negara demi masa depan generasi akan datang.

Pendidikan mempunyai kesan berantai yang luas. Sokongan yang diterima oleh seorang anak hari ini berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan — sama ada melalui sumbangan kepada ekonomi, kepimpinan komuniti, atau inspirasi kepada generasi seterusnya.
Apabila ibu bapa memainkan peranan aktif dalam pendidikan anak-anak, kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu tersebut, tetapi turut membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berpengetahuan dan inklusif.
Kejayaan seorang anak akhirnya menjadi pencetus kepada kejayaan yang lain, mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih kukuh dan berterusan.
Artikel oleh Dr. Viji Ramamuruthy merupakan Pensyarah di School of Education, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Masa Lapang, Taylor’s University.